ARCHITECTURE FESTIVAL atau singkatannya, Archifest merupakan program khusus yang dianjurkan oleh pelajar Jurusan Seni Bina di UiTM, Shah Alam. Kebiasaannya festival itu akan diadakan pada hari minggu. Pelbagai jenis pameran hasil kerja pelajar akan dipamerkan di festival itu.
Beberapa minggu sebelum festival tersebut berlangsung, mereka semua akan bertungkus lumus menyiapkan pelbagai jenis projek dan atucara majlis. Siang dan malam sudah tidak ada bezanya bagi mereka. Bekerja memanjang!
Hampir tiga jam Anis dan Hykal meluangkan waktu di festival itu. Hykal kelihatan begitu berminat dengan setiap pameran yang dipamer oleh para pelajar di situ. Setiap perkara diteliti dengan penuh kusyuk.
Sesekali telinga Anis menangkap usikan nakal dari rakan-rakannya yang berada di sekeliling. Ah, pasti selepas ini dia dan Hykal menjadi bahan gosip teman-temannya yang lain.
Sudah puas berjalan di sekitar kawasan festival, Hykal bersuara ingin pulang. Sudah lenguh rasanya kaki ini berdiri dan berjalan sejak tadi.
“Abang baliklah dulu. Anis kena stay kat sini dengan kawan-kawan,” ujar Anis sambil menuding jari ke arah sekumpulan pelajar yang berpakaian seragam sama tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
“Kalau tak join dia orang tak boleh?” soal Hykal dengan nada bergurau.
“Boleh! Abang ganti, Anis balik rumah. Bak sini kunci kereta!” seloroh Anis sambil menghulur tangannya ke arah Hykal meminta kunci kereta.
Hykal tertawa. “Ingat kalau Anis boleh teman abang pergi makan, abang nak ajak Anis pergi makan.” Hykal menyuarakan permintaannya secara berterus-terang. Memang waktu ini perutnya sedang berkeroncong. Pagi tadi entah macam mana dia terlupa untuk bersarapan.
Anis terdiam sejenak. Seolah-olah sedang berfikir.
“Kalau Anis ada kerja, tak payahlah. Abang balik makan kat rumah aje,” sambung Hykal lagi.
“Kejap ya Anis tanya dia orang.” Anis terus melangkah tanpa sempat Hykal memanggilnya.
Serba salah Hykal dibuatnya. Dia bukan berharap sangat pun Anis dapat menemaninya. Macamlah tak boleh makan sorang-sorang!
Tidak lama kemudian Anis datang kembali mendapatkannya. “Dia orang cakap, boleh. Event Anis continue malam ni. Hmm, abang nak makan kat mana?” tanya Anis ceria. Entah kenapa dia senang benar melayan pemuda itu.
“Kat sini kat mana tempat makan yang famous?”
“Kalau nak dikira famous pada kita orang ni, Hakim tu lah. Kat seksyen 7. Tapi masakan mamak. Amacam?”
“Bolehlah...” setuju Hykal tanpa sebarang sikap cerewet.
WAKTU-WAKTU begini kebiasaannya ramai pelanggan yang datang makan di kawasan restoran-restoran mamak itu. Lokasinya agak strategik dan berdekatan dengan kolej-kolej lain di sekitar bandar Shah Alam.
Anis memilih restoran biasa yang selalu dikunjungi bersama rakan-rakan sebelum ini. Masakan-masakan ala-carte di situ boleh tahan juga.
Anis dan Hykal sama-sama memilih juadah yang disediakan di situ. Sebaik sahaja selesai, mereka mengambil tempat di luar restoran.
Teh ais yang baru dihantar itu dihirup sedikit bagi menghilangkan rasa dahaga di tekak. Gelagatnya hanya diperhati oleh Anis.
“Makanlah. Kenapa tengok-tengok lagi tu?” tegur Hykal sambil mencapai sudu di tepinya.
Anis terpinga-pinga sebentar. Lantas dia menyuap perlahan nasi berkuah kari itu ke mulutnya.
“Anis, apasal lebam bawah mata tu? Tak tidur ya?” soal Hykal tiba-tiba.
“Seminggu dua ni busy sangat. Bukan tak tidur langsung. Tidur jugak tapi sekejap-sekejap. Obvious ke?”
Hykal mengangguk.
“No choice, abang. Macam yang abang pernah cakap dulu, budak archi standard busy dia, kalah menteri,” ucap Anis dengan tawa di hujung kata. “Ni pun dah kira release lepas submit indivual project minggu lepas. Tapi still kena buat macam-macam drawings. Pening-pening,” keluh Anis menggeleng-gelengkan kepalanya.
Hykal hanya mendengar segala aduan gadis itu dengan senyuman di bibir. Dia juga pernah mengalami perkara yang sama. Jadi, dia mengerti kondisi yang dihadapi oleh Anis.
“Sampai ke tahap yang paling maksimum, dia orang akan stay up kat studio secara haram. Silap hari bulan boleh kena saman dengan pak guard,” cerita Anis sekadar ingin berkongsi cerita.
“Anis selalu buat ke?” Hykal menjungkitkan kening.
“Sekali dua aje.” Anis tersengih. “Tapi tak pernah kena saman lagi.”
Ah, kalau nak cerita kisah-kisah budak ni memang tak habis. Ada yang lebih dasyat sampai bawa sabun, shampu dengan berus gigi lagi semata-mata untuk mandi di tandas studio. Tinggal lagi bawa tilam dengan bantal aje. Namun Anis tetap berbangga menjadi salah seorang dari pelajar jurusan seni bina. Segala yang dilakukan hanyalah untuk kerja dan tugasan, bukan untuk suka-suka.
“Baru first year dah berani langgar rules ya? Boleh tahan jugak Anis ni ek?” ucap Hykal lalu tertawa kecil. Lucu juga mendengar cerita Anis itu.
Adakalanya dia senang mendengar gadis itu bercerita. Ya, sememangnya Anis seorang yang sangat suka bercerita.
“Bukan langgar peraturan tapi pengorbanan.” Anis menayang gigi.
“HAA! Baru nampak muka kau! Amboi, busynya kau Mak Enon!” sergah Johanna ketika Anis sampai di biliknya.
Anis hanya mengukir senyuman. Kepalanya pening-pening lalat. Biasanya dia akan terus mencapai tuala lalu ke bilik air tetapi hari ini dia terus merebahkan tubuh ke katil.
Johanna dan Fairuz menghampirinya. Hai, jangan korang ajak aku bergosip sudahlah. Aku tak larat nak melayan waktu ni. Bisiknya sendirian.
“Kenapa ni, Anis? Sakit kepala ke?” soal Fairuz beriak risau. Kawannya yang satu ini pantang melihat orang sakit. Risau sungguh dia.
“Pening sikit. Korang nak pergi mana ni pakai lawa-lawa?” tanya Anis tatkala melihat Fairuz dan Johanna berpakaian hendak keluar.
“Nak makan kat luar lepas Maghrib ni. Ingat nak ajak kau sekali. Tapi kau tak larat, kita orang pergi berdua ajelah,” ujar Johanna.
“Lepak Mc’D ke?” tanya Anis lagi.
“Yelah... Mc’Dollah... Tempat mencari ilmu,” seloroh Fairuz bersahaja.
“Bestnya! Aku nak ikut!” rengek Anis seperti anak kecil. Sudah tiga minggu dia terperap di dalam kampus menyiapkan kerja-kerja di studio. Langsung tidak ada masa keluar meluangkan waktu di luar. Otak ini sudah hampir menjadi tepu. Alam pun dah tak kenal.
“Larat ke? Kita orang nak stay sampai pukul 5 pagi ni. Ingat nak study kat sana sekali,” beritahu Johanna masih setia berdiri di tepi katil Anis.
“Larat, larat!” Anis bangkit serta-merta. Terperanjat Johanna dan Fairuz dibuatnya.
“Uih, ada saka apa budak ni? Kau biar ni biar betul? Kang tumbang kat tengah jalan, siapa nak angkat kau?” Fairuz bercekak pinggang.
“Betullah. Aku okey. Pening sikit aje. Telan panadol, okeylah ni,” ujar Anis bersungguh. Wajah yang tadi kelihatan sugul terus berubah ceria.
Johanna dan Fairuz berpandangan. Masing-masing tersenyum sumbing.
No comments:
Post a Comment