HARI ini Anis memulakan rutin hariannya di kampus seperti biasa. Kelas pertama hari itu merupakan kelas yang paling tidak digemari oleh kebanyakan pelajar seni bina UiTM iaitu subjek ekonomi. Termasuklah Anis sendiri yang tidak begitu menggemari subjek berkenaan. Namun suka atau tidak, mereka harus juga mempelajarinya. Sekali sekala perlu juga terdedah pada cabang ilmu lain.
Sebaik sahaja kelas tamat, Anis memeriksa kalau-kalau ada sebarang mesej di telefon bimbitnya. Dan ada satu mesej dari Zahin yang dihantar.
Lelaki itu hanya bertanya khabar dan memberitahu dia kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan perubatan. Anis hanya menjawab apa yang perlu. Namun sekali lagi mesej Zahin mengisi ruangan inboxnya. Kandungan mesej Zahin kali ini menyoalnya tentang pelajaran.
Seperti biasa Anis hanya menjawab apa yang disoal. Langsung tidak menyoal apa-apa berkaitan dengan lelaki itu. Anis menanti kalau-kalau Zahin menghantar mesej yang ketiga namun selepas beberapa minit berlalu telefon bimbitnya tidak lagi berbunyi. Anis menarik nafas lega.
Dia kemudian bergegas pula ke studio bersama rakan-rakan sekelas yang lain. Sehinggalah waktu petang, barulah dia pulang ke asrama.
“HAI, dari tadi dok belek-belek handphone tu. Tunggu mesej boyfriend ke?” sapa Fairuz yang sedang berbaring di katilnya.
Anis mengalih pandangan ke muka Fairuz. Dia tersengih kemudiannya.
“Tak adalah. Aku tengah tengok gambar dalam ni.”
“Gambar? Gambar apa? Boleh aku tengok?” Fairuz bangun dari katilnya lantas berbaring di sebelah Anis.
“Ish, mana boleh. Ini rahsialah!” Anis meletakkan telefon bimbitnya ke dada.
“Eee.. Tak sportinglah kau ni. Dengan member pun nak berahsia,” kata Fairuz sambil mencubit lengan Anis. “Gambar pakwe eh?” soal Fairuz lagi masih belum berpuas hati.
“Pakwe datang manalah aku ni? Mana ada pakwe. Ish kau ni, pergi balik katil kaulah. Menyibuk aje!” Tubuh Fairuz ditolak. Namun gadis itu masih tidak mahu berganjak.
“Habis yang selalu datang ambik kau tu siapa? Kalau tak silap, masa mula-mula register dulu pun dia ada. Haa, kau jangan nak berahsia-rahsia, Anis.” Fairuz tersenyum penuh makna. Dia menarinarikan jari telunjuknya.
Anis ketawa. Fairuz mengerutkan dahi kurang mengerti. “Itu abang akulah.”
“Abang?” Fairuz kelihatan terkejut. Lama dia memerhatikan wajah Anis. Kemudian dia mencebik. “Iyelah abang. Abang sayang kan?”
“Abanglah! Abang sayang kebendanya? Ish kau ni.” Anis menggeleng-gelengkan kepalanya.
Wajah Fairuz sudah berkerut seribu. Selama dia mengenali Anis, dia masih tidak begitu jelas tentang keluarga gadis itu. Anis jarang bercerita mengenai keluarganya. Dia pun tidak berani ingin bertanya.
“Oo.. Abang yang sulung ke? Siapa nama dia ek? Belajar lagi ke?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Fairuz.
Anis berpaling. “Bukan main kau punya soalan. Boleh banyak lagi tak?”
Fairuz tergelak. “Alah, tanya aje.”
“Nama dia Hykal. Sekarang dia tengah belajar lagi. Kat UM,” beritahu Anis serba ringkas.
“Tapi kenapa muka korang tak sama ek?” Fairuz masih ragu. Wajah Anis dan lelaki itu langsung tidak ada persamaan.
Anis menggaru-garu kepalanya. “Kalau adik beradik, muka kena samalah ya? Bagus kau ni!”
Fairuz tertawa lagi. “Ish, tapi handsome jugak ek abang kau tu. Boleh kenalkan kat aku tak?” seloroh Fairuz dengan senyuman nakalnya.
“Tak boleh, tak boleh!” Anis berpaling kembali. Bantal di kepala dicapai lalu diterkup ke muka.
“Alaaa, kau ni kedekutlah!” ujar Fairuz sambil menepuk bantal yang menutupi muka sahabatnya itu. Dia kemudiannya beredar dari katil Anis.
SEMAKIN lama, semakin banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Anis semakin sibuk di studio. Kalau dahulu dari pagi sampai ke petang tapi kini sudah membawa ke malam.
Dunianya seolah-olah hanya di dalam studio. Tidak ada masa untuk keluar berhibur mahupun bersenam pada waktu petang. Cuti pertengahan semester pun dia masih dengan segala tugasan yang seolah-olah tidak pernah siap.
Namun tanpa pengetahuan sesiapa dia dan Hykal sudah kerap berhubung sejak kebelakangan ini. Adakalanya Hykal akan datang ke situ semata-mata ingin menjenguknya.
Sekali lagi perasaan Anis dihuni perasaan asing yang pernah dirasa dahulu. Saban hari dia memikirkan soal perasaan itu namun hingga kini tiada jawapan dan hanya dibiar berlalu.
Sifat ambil berat yang ditunjukkan Hykal mendatangkan rasa yang cukup sukar diungkap dengan kata. Anis semakin tidak berani mentafsir mainan perasaan itu. Namun segala-galanya menyesakkan fikrahnya. Apa tidaknya, setiap hari dia akan memikir perkara yang sama.
Tidak sedar segala tindak tanduk dan kelakuannya diperhati oleh Johanna dan Fairuz. Siapa lagi kalau bukan askar kiri dan kanannya itu. Bab-bab bergosip, bercerita bagilah pada mereka. Namun masing-masing masih belum mengetahui siapa Hykal yang sebenar. Sangka mereka Hykal itu betul-betul abang kandung kepadanya.
Petang itu Hykal menghubunginya. Lelaki itu sekadar memaklum dia akan ke UiTM Shah Alam keesokan hari kerana ingin berkunjung ke Architecture Festival yang dianjurkan oleh pelajar Fakulti Seni Bina. Anis juga terlibat sama dalam menjayakan festival tersebut.
“Hai, Anis...” sapa Hykal sambil melemparkan senyuman ke arah Anis. Lelaki itu kelihatan cukup bergaya dengan jeans dan kemeja yang dipakainya.
Untuk sesaat dua Anis terpaku tatkala menatap wajah pemuda itu. Namun cepat-cepat dia menyedarkan diri. Malu kalau Hykal dapat mengesannya.
“Jom, kita pergi sekarang,” ajak Anis ceria.
Hykal masih bersandar di keretanya. Tidak berganjak. Anak matanya tertancap tepat ke muka Anis.
“Anis, you look very nice in this maroon blouse.”
Pujian yang tidak semena-mena membuatkan Anis serba tidak kena buat beberapa ketika. Dikawal ekspresi mukanya supaya tidak dilihat terlalu canggung.
“Ni puji ni memang ikhlas ke ada kepentingan-kepentingan lain?” Anis berpeluk tubuh sambil menentang pandangan Hykal. Namun saat itu hanya TUHAN sahaja tahu bagaimana fenomena yang sedang melanda ruang jiwanya.
Hykal tertawa. “Tell me what a senior will get by praising his junior?”
Tergelak besar Anis mendengar balasan yang kedengaran cukup ‘sinis’ itu. “Dahlah, abang. Tak habis-habis nak kenakan oranglah dia ni. Jom, bergerak sekarang!” gesa Anis berlagak biasa.
Perasaan ini semakin sukar dimengerti!
No comments:
Post a Comment