KEHIDUPAN sosial di kampus itu agak bebas walaupun pelbagai undang-undang yang telah dilaksanakan. Anis masih mampu menjaga diri. Imannya tidaklah sekuat mana namun dia setakat ini dia masih sedar akan diri sendiri. Pentingnya di situ kena berhati-hati memilih teman. Iltizam dia hanya untuk mencari ilmu. Itu sahaja yang sering dipegang.
Sebulan berada di situ, Anis sudah membiasakan dirinya dengan keadaan sekeliling. Dia sudah mula menghafal beberapan jalan pintas di situ. Adakalanya dia lebih suka berjalan kaki menuju ke kelas dan sebagainya.
Petang itu selepas menyiapkan kerja-kerja di studio, Anis terus menapak pulang ke asramanya. Sebaik dia sampai di bilik, rakan-rakan yang lain masih belum pulang.
Anis bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk. Selesai solat barulah dia merebahkan tubuhnya ke katil. Beberapa minit dia berbaring kedengaran telefon bimbitnya berbunyi tanda ada mesej yang diterima. Lantas telefon bimbitnya dicapai dari atas meja. Dia memeriksa mesej yang dihantar. Dia sedikit terkejut tatkala mendapati mesej itu datangnya dari Hykal. Tidak pernah Hykal menghantar sebarang mesej kepadanya sebelum ini.
Hai Anis. Maaf klu abg mganggu. How’s life so far? Hrp2 dah dpt sesuaikan diri. Minggu ni kalau Anis nak balik abang boleh ambil. Qis pun mungkin blk juga minggu ni.
Anis tersenyum sendirian. Entah kenapa hatinya berasa gembira menerima mesej itu. Dia mula menekan-nekan butang kekunci telefon bimbitnya untuk membalas mesej Hykal.
Anis ok kat sini. Alhamdulillah dah dpt sesuaikan diri. Kwn2 pun dah rmai. Kalau tak ada apa2 Anis blk tp tak pyhlah abg ambil. Anis boleh blk sndri.
Anis menanti mesejnya di balas. Sekali lagi dia terharu dengan sikap baik hati Hykal. Lelaki itu mengambil berat tentang dirinya. Tidak sampai lima minit telefonnya berbunyi lagi.
Tak apa. Lagipun abg free hari Jumaat ni. Anis comfirmkan dulu. Apa-apa nanti, beritahu abg.
Anis benar-benar tersentuh dengan kebaikan Hykal. Dia segera membalas semula mesej Hykal.
Ok.
Itu sahaja yang dihantar. Anis tidak tahu apa lagi yang harus ditulis. Agak lama dia menanti balasan dari Hykal. Lima minit kemudian telefonnya mengeluarkan bunyi isyarat mesej. Apabila diperiksa, kelihatan nama Hykal tertera di skrin. Sangkanya Hykal tidak akan membalas lagi mesej darinya.
Anis buat apa skrg? Kls dah hbs?
Ibu jari Anis Any lincah menari-nari di butang kekunci.
Anis bru hbs kls. Baru smpai blk. Abg? Tak ada kelas?
Tidak sampai seminit menanti Hykal membalas mesejnya.
Abg dkt kampus lg. Skjp lg ada kls. Ok, Anis. I gotta go. Take care.
Sekali lagi Anis tersenyum sendirian membaca mesej dari Hykal. Dia benar-benar tidak faham dengan perasaan yang dirasa kini. Yang pasti, hatinya benar-benar gembira saat itu. Tidak sedar dia terlelap seketika sehinggalah dia dikejutkan oleh Fairuz untuk solat Maghrib.
SUDAH menjadi kebiasaan bagi pelajar-pelajar yang mengambil jurusan seni bina menghabiskan masa di studio menyiapkan projek. Awal pagi keluar, petang baru pulang. Adakalanya mereka tidak akan tidur untuk beberapa hari semata-mata ingin menyiapkan tugasan. Betullah kata Hykal satu ketika dahulu, memilih jurusan ini perlukan minat yang tinggi. Jika tidak kuat, pasti akan mudah berputus asa.
“Esok kelas Dr. Shukri cancel!” maklum Izwan rakan sekelas Anis yang terkenal dengan mulut riuhnya. Ketika itu semua sedang sibuk dengan kerja masing-masing di studio. Namun tatkala mendengar pengumuman itu, masing-masing sibuk bertanya.
Tiba-tiba telefon bimbit Anis bergetar menandakan ada satu mesej diterima. Lantas mesej tersebut dibaca.
Anis! Balik ya esok...
Mesej itu tidak terus dibalas. Dia berfikir seketika. Esok kelas Dr. Shukri dibatalkan. Bermakna kelasnya untuk hari esok tidak ada melainkan tugasan-tugasan di studio bersama rakan yang lain. Kalau dia balik, barangkali banyak kerja yang akan tertangguh. Tapi kalau tak balik pun tidak boleh juga. Sejak mula masuk ke situ, dia belum pernah lagi pulang ke rumah. Dan tambahan lagi Qistina sudah awal-awal memaklumkan kepulangannya dan menyuruh dia supaya turut sama pulang.
Ah, balik ajelah! Nak ikutkan kerja memang takkan habis. Bisik hatinya sendirian. Petang itu ketika dalam perjalan pulang ke asrama, Anis menghubungi nombor telefon Hykal. Namun panggilannya tidak dijawab. Anis mengambil keputusan untuk menghantas mesej sahaja. Barangkali lelaki itu sedang sibuk pada waku-waktu begini.
Keesokan harinya, Hykal menghubunginya. Ketika itu dia baru sahaja selesai mandi.
“Abang boleh datang pukul berapa ni?” soal Hykal di talian.
“Kalau sekarang abang free, abang datanglah sekarang. Kalau tak, lepas solat Jumaat pun tak apa,” ucap Anis kedengaran teragak-agak. Bimbang menyusahkan Hykal.
“Abang ambik Anis sekaranglah. Sejam lagi abang sampai. Okey?”
“Okey.”
Talian dimatikan. Anis duduk di atas katilnya. Anak matanya terarah pada Ryana. Gadis itu sedang lena di atas katil bersama teddy bear yang hampir sama besar dengannya.
Tak ada kelas ke budak ni? Asyik tidur memanjang. Celik sahaja mata hilang. Hairan sungguh Anis dengan tabiat gadis yang mengambil jurusan Komunikasi Media itu. Bila masa agaknya kelas dia? Asyik keluar memanjang!
Selama tinggal sebilik, tidak pernah sekalipun dia berbual mesra dengan Ryana. Gadis itu suka membuat hal sendiri. Hendak ditegur, bimbang pula dikata menyibuk.
Johanna dan Fairuz juga sering mengadu kepadanya tentang sikap Ryana yang pemalas dan terlampau sosial itu. Solat memang sekalipun tidak pernah. Hari-hari keluar dari dengan pakaiannya yang menjolok mata
Pernah sekali mereka mengintip Ryana sebaik sahaja gadis itu keluar dari bilik. Sebaik sahaja turun ke bawah, dilihat ada sebuah kereta mewah yang menantinya. Siapa-siapa entah. Pasti orang kaya.
Anis mengemas buku-buku di mejanya. Malas memikirkan soal Ryana lagi. Dia mencapai penyapu lalu menyapu lantai. Sampah-sampah di bakul Fairuz dan Johanna dikumpul lalu dibuang ke dalam tong besar di luar bilik.
Segala objek yang kelihatan berselerak di bilik itu disusun kemas. Setelah semuanya kelihatan rapi, Anis membuka almari untuk mengeluarkan baju yang hendak dibawa pulang. Dua helai t-shirt ditarik dari hanger lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
“Nak ke mana ni kemas-kemas baju?”
Terkejut Anis mendengar suara Ryana dari arah belakang. Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tak dah lama mati tergolek dekat sini. Pelik, tadi bukan main nyenyak tidur, sekarang dah terjaga? Aneh sungguh dia ni...
“Nak balik rumah,” balas Anis mendatar. Walaupun geram dia tidak mahu menunjukkan sikap tidak baik pada Ryana. Lagipun gadis itu bertanya dengan nada yang baik.
“Oh, okey.” Ryana menyambung tidurnya kembali. Matanya kembali terpejam rapat.
Aik? Membuta balik? Mengigau ke apa budak ni? Anis tidak mengendahkan perihal gadis itu. Dia terus mengemas pakaiannya. Setelah semuanya siap, dia mencapai tudung lalu disarungkan ke kepala. Sebentar lagi Hykal akan sampai. Dia melangkah ke pintu.
“Anis!”
Mak ai. Mahu terkeluar jantung aku macam ni! Anis betul-betul tersentak dengan panggilan tiba-tiba dari Ryana itu. Dia berpaling ke belakang sambil mempamerkan reaksi kurang senang. Kelihatan Ryana sedang bersandar di katilnya. Rambutnya yang berkarat itu menggerbang bagai langsuir.
“Bye,” ucap Ryana melambai-lambaikan tangannya sambil tersenyum. Gayanya sedikit mamai. Macam orang mabuk.
Anis terkejut. Hendak tersmbul biji matanya memandang Ryana. Apa kena dengan budak ni? Dah buang tebiat ke apa?
“Okey, aku balik dulu,” balas Anis seperti teragak-agak. Berdiri juga bulu romanya melihat keadaan Ryana yang ketika itu. Rambut, mata dan senyumannya tak tumpah macam Mak Lampir!
No comments:
Post a Comment