SEJAK kebelakangan ini Hykal semakin kerap berada luar dari studionya. Lelaki itu seringkali dilihat melukis di laman. Kalau dahulu hendak melihat mukanya dalam sehari pun bukan main susah. Sekarang setiap kali selepas pulang dari kampus Hykal akan membawa peralatan lukisannya keluar dan menghabiskan masa di taman luar rumah melukis sesuatu di kanvas.
Pagi itu, ketika hendak mengambil surat khabar di pintu pagar, Anis terlihat kelibat Hykal sedang berada di sudut laman. Lelaki itu sedang mencanting sesuatu di kain kanvas.
Hatinya tergerak untuk mendekati pemuda itu. Sekadar ingin bertegur sapa tidak ada salahnya. Lagipun sudah lama dia menumpang di rumah itu. Apa salahnya dia beramah mesra dengan anak sulung Zarina dan Azizul itu.
“Hai Anis..” Belum sempat Anis menyapa, Hykal terlebih dahulu menegurnya.
Anis hanya melemparkan senyuman. Anak matanya tertancap pada lukisan yang sedang dilakar Hykal.
“Assignment abang ke?” soal Anis ingin tahu. Anak matanya meneliti setiap seni kerja tangan Hykal itu. Lukisan pemandangan tepi laut itu benar-benar menarik minatnya.
“Taklah. Saja suka-suka nak melukis. Mana Qis? Tidur lagi?”
“Ada kat atas tu. Tengah mandi kot. Hmm, mana abang belajar melukis ni ek?”
Dilihat Hykal mengukir segaris senyuman. “Everything starts with interest, Anis,” ucapnya penuh makna.
Anis terdiam untuk beberapa waktu. Pandangannya dialihkan pula pada peralatan lukisan Hykal di atas meja. Berus dari saiz besar sehinggalah saiz kecil bertaburan di atas meja. Di tepi berus-berus itu pula kelihatan bekas-bekas warna yang diisi dengan beberapa jenis warna. Kebanyakkannya sudah bercampur antara satu sama lain. Kemudian pandangannya teralih semula pada lukisan Hykal.
Keinginan untuk melukis hadir serta-merta. Dia teringin benar memegang berus-berus lukisan itu dan melukis di atas kain kanvas tersebut. Namun rasa itu hanya dipendam.
“Anis pandai melukiskan?” tanya Hykal tiba-tiba. Anak matanya masih tertancap pada kanvas.
“Boleh. Tapi tak adalah pandai sangat. Sikit-sikit tu bolehlah.”
“Anis tahu lukis potret?” soal Hykal lagi.
“Boleh.” Anis mengangguk yakin. Eh, eh.. Memandai aje kau ni ya, Anis? Padahal bukannya pandai sangat. Bisiknya sendirian seakan-akan memarahi ketelanjuran katanya tadi.
Hykal tersenyum. “Nah...” Berus lukisan yang dipegang tadi dihulurkan kepada Anis. Lukisan yang telah siap diletakkan di tepi. Sebuah papan yang diletakkan kertas besar di situ diletakkan di hadapan Anis.
“Eh, nak buat apa ni, abang?” Anis terpinga-pinga sambil memandang pensil melukis yang sudah berada di tangannya.
“Draw me...”
“Hah?” Anis tercengang.
“Eh, Anis tak pandailah. Kalau setakat lukis-lukis bodoh tu bolehlah. Kang lain jadinya..”
Hykal menarik kerusi, lantas didudukkan Anis di situ. Papan kertas lukisan tadi didekatkan kepada Anis. Dia kemudiannya mengambil tempat berhadapan dengan gadis itu.
“Alah, buat cincai-cincai aje. Jadi tak jadi belakang kira. Sekarang abang just nak Anis lukis...” Hykal meleret senyumannya sambil menjungkit kening.
Alamak! Mati aku macam ni. Kalau lukisan aku tak menjadi macam mana? Aku jugak yang malu. Nak lukis potret wajah lelaki ini? Nanti tidak pasal-pasal wajah Hykal yang elok sempurna itu bertukar menjadi wajah alien dalam lukisannya. Adusss...
Anis masih teragak-agak ketika itu. Sekilas wajah Hykal dipandang. Pemuda itu sedang terenyum ke arahnya. Tiba-tiba ada debar yang mengetuk dadanya. Entah kenapa dia terawang-awang sekitika tatkala melihat lelaki itu mengukir senyuman. Ah, gila ke aku ni?
“Okay, you may start,” ucap Hykal seakan memberi arahan.
“Lambat sikit, boleh?”
“Just take your time.”
Masam kelat wajah Anis saat itu. Hendak tidak hendak terpaksa juga dia mencuba. Tangannya mula melakar di atas permukaan kertas. Setiap saat pandangan bersilih ganti dengan wajah Hykal dengan apa yang dilukis.
Hampir setengah jam Anis menumpukan perhatiannya pada lukisan yang hampir siap itu. Sesekali dia menjeling Hykal dan membandingkan lukisan potret yang dilukisnya. Hai, jadi ke tidak ni?
Sepuluh minit berlalu akhirnya lukisan tersebut siap. Anis meletakkan pensil ke meja. “Dah!” Papan kertas lukisan itu dipusingkan menghadap Hykal tanpa berfikir panjang lagi. Anis tersengih di belakang papan kertas.
“Wow!” Hanya itu yang keluar dari mulut Hykal. Dia bangun lalu menghampiri potret yang siap dilukis oleh Anis itu. Benar, gadis di hadapannya itu mempunyai bakat.
“Macam mana? Ada nak ke arah alien tak?” soal Anis lalu tergelak.
“Anis, this is a great drawing. It is up to my expectation. You really got a talent,” puji Hykal seakan-akan takjub.
“Heee.. Iyelah tu. Padahal biasa aje tu.”
“Betullah. Ini kalau asah lagi bakat ni boleh jadi pelukis yang bagus ni,” ujar Hykal lagi.
Aish, malunya dipuji sebegini. Bisik hati Anis. Namun kembang juga hatinya mendengar pujian dari Hykal itu.
“Ke sebab lukisan ni muka abang? Tu sebab nak puji lebih-lebih. Padahal nak sampaikan mesej lain,” tutur Anis penuh makna. Entah kenapa hari ini mulutnya terlebih ramah pula sedangkan selama ini dia tidak pernah berbual seperti itu dengan Hykal.
“Hee budak ni...” Hykal bercekak pinggang memandang Anis.
“Tapi takdelah sehebat yang abang lukis.”
“Eh, memanglah. Anak murid mana boleh lawan sifu!”
Kata-katanya disambut dengan tawa Anis.
“Boleh abang simpan lukisan ni?”
“Eh, mestilah. Dah memang abang punya. Anis tolong lukis aje.”
“Ish, ini kalau jual ni mahal ni, Anis.”
Anis mengerut dahi. “Apa yang mahal lukisan cikai macam ni?”
“Sebab orang dalam lukisan ni handsome.” Hykal mengekek ketawa.
Lah, ingatkan apa tadi. Anis mencebik. “Tak sangka ada penyakit perasan rupanya.”
HYKAL sudah jarang memerap di dalam studionya. Maklumlah, masa untuk menyiapkan projek sudah tamat. Waktu yang terluang hanya diisi dengan kegiatan melukis. Sudah berbelas-belas lukisan yang sudah dilukis olehnya.
Semenjak hubungan dengan Najwa putus, dia semakin belajar menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Menjadi seorang yang ceria dan kembali melakukan aktiviti sosial bersama rakan-rakan lain di luar.
Ada waktu yang terluang lagi, dia akan ke gelanggang futsal bermain dengan kawan-kawan sekampus. Sedikit sebanyak dia sudah mampu melupakan Najwa.
Hubungan dengan Anis juga semakin rapat semenjak mengetahui gadis itu mempunyai minat yang mendalam dalam seni bina dan seni lukis. Anis kerap juga bertanya itu ini kepadanya mengenai dunia seni bina. Baru kini dia tahu sejak dari kecil Anis sudah bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek suatu hari nanti.
Kedua-duanya kelihatan semakin selesa antara satu sama lain. Dan antara sedar dan tidak Anis mula berasa sesuatu yang asing di dalam dirinya setiap kali berasa dekat dengan pemuda itu.
No comments:
Post a Comment