“JANGAN lupa contact aku lepas ni tau?!” pesan Balqis sebelum Anis menaiki kereta. Zarina dan Azizul sedang menanti di dalam.
“Iye. Kau tu pun sama. Nanti dapat sambung belajar mana-mana jangan lupa bagitahu aku.”
Balqis mengangguk sambil tersenyum. Tubuh Anis dirangkul. “Take care,” ucapnya perlahan.
Anis masuk ke dalam perut kereta. Perlahan-lahan kereta Azizul bergerak meninggalkan kawasan perkarangan asrama.
Terlalu banyak kenangan yang sudah terlakar di situ. Banyak perkara baru yang sudah dipelajari dan segala yang diperoleh tidak ternilai buatnya. Akhirnya setelah hampir dua tahun dia berjaya menamatkan pembelajarannya di situ.
Pintu utama ditinggalkan. Semakin jauh dan terus hilang dari pandangan. Anis menarik nafas perlahan. Rasa sayu melanda sukmanya. Tidak kira apa jua yang pernah berlaku di matrikulasi itu, segalanya ingin diabadikan dalam kenangan terindah dalam kamus hidupnya.
DALAM tempoh beberapa minggu selepas tamat belajar dari matrikulasi, Qistina dan Anis sibuk menguruskan hal-hal permohonan ke IPTA. Sekejap ke sana sejekap ke mari. Mujurlah Qistina sudah mampu memandu sendiri. Tidaklah mengharapkan Hykal mahupun kedua-dua ibu bapanya.
Sejak kecil dia sudah dilatih supaya berdikari. Jadi, segalanya harus dilakukan sendiri tanpa terlalu bergantung pada keluarga.
Pagi itu, selepas bersarapan, Qistina mengajak Anis keluar ke kedai buku. Mereka memilih KLCC sebagai destinasi.
Sebaik sahaja masuk ke dalam kedai buku Kinokuniya itu, entah kenapa perasaan Anis terasa sayu tatkala mengenang dia pernah bekerja di situ satu masa dahulu.
Tidak banyak yang berubah di situ kecuali pekerja-pekerjanya. Wajah Kak Salina tidak lagi kelihatan menanti di kaunter pembayaran. Vincent pun sudah tiada. Selepas keputusan SPM diumumkan, dia tidak lagi berhubung dengan lelaki Cina itu. Barangkali Vincent sudah menyambung pelajaran ke luar negara seperti yang pernah diberitahu kepadanya dahulu.
“Qis!!”
Panggilan itu membuatkan Qistina terus berpaling. Anis yang berada dibelakangnya pula mempamerkan reaksi terkejut.
“Zahin!!” Qistina terjerit kecil di situ. Lantas menghampiri Zahin yang berada tidak jauh darinya.
Anis terpaku di situ. Kakinya seakan-akan tidak mampu bergerak. Hanya anak matanya sahaja mampu memerhati gelagat Qistina dan Zahin.
“Lama tak jumpa kau. Duduk setanah pun tak pernah dengar cerita. Ke mana kau menghilang hah?” soal Zahin kelihatan ceria bertemu dengan rakan sepermainannya sejak kecil itu.
“Menghilang ke mananya? Aku ada aje kat Malaysia ni. Kau tu yang kerek. Lepas SPM entah ke mana pergi. SMS aku pun tak pernah.”
Zahin hanya tersengih. Tahu salahnya. “Kau sihat?”
“Alhamdulillah sihat. Wah, dah makin handsome aku tengok kau sekarang,” puji Qistina tersengih-sengih.
Zahin tergelak besar. “Hai, bukan dari dulu lagi ke aku memang dah sedia handsome?”
Qistina mencebik. “By the way lupa pulak aku nak kenalkan kat kau. Ni kawan aku, Anis. Anis, meet my best playfellow, Zahin,” perkenal Qistina dengan intonasi suara yang ceria.
Jantung Anis berdegup kencang. Anak mata Zahin tepat memanah wajahnya. Lelaki itu dilihat sedang tersenyum ke arahnya. Ah, mimpikah semua ini?
“Alah, tak payah kenalkan pun tak apa. Aku dah kenal dia. Member waktu matrik dulu,” beritahu Zahin lalu tertawa kecil.
“Really? Jadi, kau belajar dekat matric Johorlah sebelum ni?”
Zahin mengangguk-angguk.
“What a small world,” ucap Qistina turut tertawa dengan kebetulan tersebut.
“Macam mana korang kenal?” soal Zahin ingin tahu. Terkejut juga dia apabila mengetahui Qistina dan Anis saling mengenali.
“Dah lama dah. Dari sekolah lagi. Hai Zahin, Zahin. Kalau aku tak jumpa kau kat sini entah bila lagilah aku boleh jumpa kau agaknya. Jom makan?” ajak Qistina tiba-tiba.
“Boleh jugak,” balas Zahin tidak menolak.
ANIS hanya membiarkan Zahin dan Qistina membeli makanan terlebih dahulu. Perasaannya kurang enak sejak bertemu dengan lelaki itu. Dia cuba berlagak biasa tetapi entah kenapa terasa sukar benar berhadapan dengan lelaki itu. Pandangan Zahin adakalanya terasa seperti membawa seribu satu makna.
Zahin dan Qistina memerhati satu ke satu gerai mencari makanan. Akhirnya mereka memesan makanan panas dari salah sebuah gerai di situ.
“Kau ambil apa course kat matrik dulu?” soal Qistina ketika sedang menunggu makanan mereka dimasak.
“Medic. Kau?”
“Physic Science. Hmm, aku dah agak dah. Korang adik-beradik memang semua pakat nak jadi tabib belaka. Kesian Uncle Nazri terkontang-kanting uruskan bisnes sendiri,” Qistina menggeleng-gelengkan kepalanya.
Zahin tertawa mendengar kata-kata Qistina. Barangkali sudah ditakdirkan dia dan adik beradik yang lain memilih bidang itu.
Kakak sulungnya, kini sudah menjadi seorang doktor. Abangnya pula kini berada di tahun akhir dalam jurusan yang sama di University College Cork, Ireland. Kini gilirannya pula meneruskan generasi perubatan dalam rangkaian abang dan kakaknya.
Ketiga-tiga mereka cenderung mengikut kerjaya ibu. Langsung tidak berminat menjejak langkah bapa mereka dalam bidang korporat dan perniagaan.
“Eh, Anis tu tinggal kat mana ek?” tanya Zahin ingin tahu. Sejak dari dahulu dia tidak pernah tahu di mana gadis itu menetap. Yang dia tahu gadis itu berasal dari Kuala Lumpur. Itu sahaja!
Qistina berpaling seketika. “Dia tak pernah bagi tahu kau?”
Zahin menggeleng. “Aku takdelah rapat sangat dengan dia. Kenal macam tu aje. Dia kawan kepada classmate aku.”
Qistina baru mengerti. “Dia tinggal dengan aku sekarang. Mama dengan papa aku ambik dia jadi anak angkat Mak ayah dia dah tak ada. Mak dia baru meninggal lepas SPM dulu.”
Terkejut Zahin mendengar cerita dari Qistina. “Tinggal serumah dengan kau?” Biar betul?
“A’ah. Dah dua tahun dah. Panjang ceritanya kalau aku nak cerita, Zahin,” ujar Qistina perlahan.
“Mak dia accident sebab apa?”
“Kena gilis dengan lori. Masa tu aku ada sekali tengok kejadian tu. Kesian, Zahin. After that aku suruh mama dengan papa aku ambil dia sebagai anak angkat. Lagipun di dah tak ada siapa-siapa,” cerita Qistina lagi.
Zahin terdiam. Cerita yang diperdengarkan Qistina benar-benar menyentuh perasaannya. Dia benar-benar bersimpati pada nasib Anis. Mana tahu nasib Anis semalang itu.
TERLALU banyak perkara yang dibualkan oleh Zahin dan Qistina. Maklumlah, kedua-duanya sudah lama tidak bertemu dan semestinya banyak perkara yang keluar. Namun kedengarannya, mereka lebih kerap bercerita mengenai keluarga masing-masing.
Menurut cerita Qistina, ibu Zahin ialah anak angkat kepada arwah ibu Zarina sejak dari kecil. Keakraban yang terjalin berkesinambungan sehingga ke generasi seterusnya.
Abang Zahin, Zerril bersahabat baik dengan Hykal sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Dan sehingga kini persahabatan mereka masih seperti dahulu biarpun Zerril sudah berada jauh dari tanah air.
Begitu juga hubungannya dengan Zahin. Mereka memang sudah rapat sejak dari kecil. Malah, Zahin itu sudah dianggap seperti adik beradiknya sendiri. Cuma selepas tamat sekolah rendah mereka sudah jarang bertemu kerana Zahin bersekolah di luar Kuala Lumpur.
Anis sedari tadi lebih banyak membisu dari bercakap. Canggung rasanya berada di antara Qistina dan Zahin yang becok bersuara. Tidak sedar jam sudah menginjak pukul 5 petang.
“Aku balik dululah, Zahin. Lain kali jumpa lagi.”
“Alah, relakslah dulu. Awal lagi ni,” halang Zahin masih belum puas berbual dengan Qistina.
“Tak boleh. Aku bawak kereta mama aku ni. Dah janji nak balik sebelum Asar. Kalau ada masa nanti, kau datang ajelah rumah aku tu. Aku tak ke mana-mana cuti ni,” beritahu Qistina sudah ingin beredar. Dia mengangkat punggung.
“Okeylah, okeylah. Ada masa nanti aku datang,” ujar Zahin ikhlas tak ikhlas.
Qistina hanya tersenyum. Heh Mamat ni. Entah zaman bilalah dia nak datang ke rumah aku tu. Kalau tidak dihubungi, senyaplah dia. Setiap masa ada sahaja yang hendak dilakukan. Ligat sungguh!
Sebelum beredar, anak mata Anis bertembung dengan sepaang mata milik Zahin. Tiba-tiba ada getar yang tercetus di hati kedua-duanya. Bagi Zahin, getar itu menandakan perasaannya masih pada gadis itu. Bagi Anis pula, getar itu lebih kepada rasa kurang selesa yang sedari tadi mengisi hatinya.
Akhirnya mereka berpisah.
DI DALAM kereta Zahin melayani perasaannya sendiri. Tekanan perasaan yang dirasa seakan-akan menghentak kuat pesisir hatinya. Mengapa sukar benar melupakan gadis itu? Bisik hatinya sendirian.
Sejak awal pertemuan tadi, Anis langsung tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berbual seperti biasa dengannya. Dia perasan riak wajah gadis itu menunjukkan dia tidak senang dengan kehadirannya.
Fikiran Zahin semakin bercelaru. Terasa dirinya bodoh terus menyimpan rasa itu dan semakin sakit apabila menyedari masih ada sekelumit harapan untuk menawan hati hati Anis satu hari nanti.
Hendak berbual sebagai seorang rakan pun gadis itu tidak mahu usahkan untuk menjalinkan hubungan yang lebih jauh. Semuanya seakan-akan mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Dia bukan jenis yang terhegeh-hegeh untuk mendapatkan seseorang disukai. Jauh sekali hendak memaksa. Namun entah kenapa rasa hati ini terlalu kecewa.
Ah, Zahin tidak mahu lagi melayan perasaan itu. Dia ingin memulau jauh rasa yang mengepung dadanya. Biar masa sahaja yang menentukan semuanya.
No comments:
Post a Comment