SEJAK dari tadi Anis perasan anak mata Zahin tidak berkalih memandangnya. Dia benar-benar sudah tidak betah untuk mentelaah pelajaran di situ. Dia perasan sejak dari luar perpustakaan tadi lelaki itu sudah mengekorinya.
Anis bangun lantas mengutip buku-bukunya. Dia mahu keluar dari situ dengan segera. Keluar sahaja dari perpustakaan, Anis terus melangkah laju ke asrama kediamannya. Tiba-tiba kedengaran namanya dipanggil. Langkahnya diteruskan berpura-pura tidak mendengar. Kalau boleh dia tidak mahu langsung bertemu dengan lelaki itu.
“Anis!” Tiba-tiba Zahin menyaingi langkahnya lantas menghalang perjalanannya.
“Apa lagi, Zahin?” soal Anis menunjukkan ekspresi kurang senangnya. Pandangannya dihalakan ke arah lain.
Zahin berdiri menghadap gadis itu. Mengapa payah benar untuk memikat hati gadis yang satu ini? Dan dia juga hairan dengan diri sendiri. Begitu ramai gadis cantik yang dikenali, mengapa Anis juga menjadi pilihan hati?
“Kenapa? Tak suka tengok muka aku? Benci?” soal Zahin sinis berniat untuk menyakitkan hati gadis itu.
“Boleh tak tolong jangan ikut aku lagi?”
“Siapa ikut kau? Dah kebetulan kita jumpa kat sinikan?”
Anis mendengus. Wajah Zahin direnung tepat seraya mempamerkan reaksi yang kurang menyenangkan.
“Kenapa dengan kau ni, Anis? Nampak sangat kau tak suka aku kan? Besar sangat ke salah aku dengan kau?” Zahin terus-terusan mengaju soalan buat Anis. Dia sedikit tidak berpuas hati dengan tindakan gadis itu selama ini.
“Zahin, apa ni? Hei tolonglah... Ya ALLAH!” Anis menepuk-nepuk dahinya menzahirkan rasa serabutnya. Puyeng kepalanya menghadapi lelaki itu. Jelas, Zahin bukanlah jenis yang mudah berputus asa.
Sesaat dua Zahin terdiam. Wajah Anis direnung tepat. Rambutnya yang terjuntai di dahi dikuak ke belakang. “Okay fine. It is all my mistake. Memang aku follow kau selama ni. Sebab aku dah tak boleh tegur kau macam biasa. Kau nampak aku aje, kau lari. Tak boleh ke kita say hi macam biasa macam dulu-dulu?” soal Zahin meminta penjelasan.
Anis melepaskan keluhan. Perlukah dia berterus-terang kepada Zahin yang dia benar-benar terasa canggung untuk bertegur sapa seperti sebelum? Bukan niatnya untuk berlaku sombong namun dia benar-benar tidak betah berlagak biasa di hadapan lelaki itu seperti biasa.
“Kita kawankan, Anis?” soal Zahin tatkala Anis diam seribu bahasa.
“Yes. Kita kawan! Kita kawan sampai bila-bila, Zahin.” Sengaja Anis menegaskan suaranya. Dia mahu Zahin tahu ketetapan hatinya.
Zahin mengangguk perlahan. Wajahnya tampak berubah. Seakan-akan baru tersedar dari sesuatu. Benar kata orang, adakalanya sukar benar meraih rasa bernama cinta itu.
“Kita kawan sampai bila-bila...” Kata itu disebut sebagai tanda peringatan pada diri sendiri. Rasa kecewa menjerut perasaan. Perlahan-lahan dia berundur lantas mengatur langkah dari Anis.
Anis dilanda rasa bersalah. Keras sangatkah lontaran kata aku sebentar tadi.
“Zahin!” Nama lelaki itu dilaung. Dilihat Zahin terus mengorak langkah. Sedikit pun tidak berpaling.
RASA itu tidak mungkin akan padam. Biarpun sudah berkali dicegah namun perasaannya masih menanggung rasa yang sama. Anis, gadis itulah yang pertama berjaya mengusik hatinya.
Zahin terus berlagak biasa walaupun adakalanya sukar untuk mengawal perasaan setiap kali berhadapan dengan Anis. Akhirnya dia redha. Waktu ini, dia hanya menghitung hari untuk menamatkan pengajiannya di martrikulasi tersebut. Biarlah soal itu diketepikan dahulu. Banyak perkara yang perlu diutamakan dalam usia sebegini.
PEPERIKSAAN bermula. Masing-masing tidak punya waktu lagi untuk berleka-leka. Waktu menjadi sedar sepenuhnya sudah bermula. Bagi pelajar tahun akhir, peperiksaan akhir ini merupakan penentu. Sama ada mereka layak atau tidak meneruskan pengajian seterusnya, semua bergantung pada peperiksaan kali ini.
Akhirnya tempoh perjuangan bersama buku itu berakhir. Masa untuk pergi...
“Keep in touch,” ucap Zahin ketika mereka terserempak dengan di luar dewan.
Anis tersenyum tawar. Hanya Balqis yang membalas kata lelaki itu.
“Good luck for the next stage,” ucap Zahin lagi melemparkan senyuman buat kedua-dua gadis di hadapannya. Dia kemudiannya berlalu.
“KAU perasan tak sekarang Mamat tu dah tak macam dulu?” persoal Balqis tiba-tiba. Ketika itu mereka sedang dalam perjalanan balik ke asrama.
“Tak macam dulu macam mana?” soal Anis kurang mengerti.
“Perangai dia dah tak macam dulu-dulu. Kalau dalam kelas, diam aje. Bergurau pun dah kurang. Dah jadi macam lone ranger. Pelik aku,” cerita Balqis.
“Nak cari mood exam kot?”
“Budak genius macam dia tu nak cari mood exam? Hmm, I don’t think so.” Tergeleng-geleng kepala Balqis.
Anis terdiam. Entah kenapa dia dapat merasa perubahan itu disebabkan olehnya. Selama ini tidak terlihat pula dari matanya mengenai sikap Zahin yang sudah berubah. Lelaki itu kelihatan biasa sahaja.
“Ada orang cakap dia frust dengan someone... Ada orang cakap. Aku pun tak tahulah betul ke tidak.”
Berderau darah Anis mendengar kata-kata itu. Spontan Balqis berpaling memandangnya. “Siapa ek perempuan tu?”
“Tanya aku pulak. Manalah aku tahu. Alah, khabar angin aje tu. Mana tahu dia ada masalah lain ke. Eh, singgah kafe kejap ya?” Anis terus mengubah topik. Bimbang juga Balqis dapat membaca gelojak perasaannya. Gadis itu cukup sensitif dengan perasaan orang lain.
No comments:
Post a Comment