Rindu Tercipta #10


HYKAL menuruni setiap anak tangga dengan penuh berhati-hati sambil membawa bahan projeknya yang berupa sebuah struktur bangunan yang sudah siap sepenuhnya. Sebuah kertas putih yang bergulung turut dikelek bersama. Tiba di tengah, kelihatan Anis yang baru sahaja naik.
“Nak Anis tolong?” soal Anis ingin menghulur bantuan. Kelihatannya sukar benar Hykal untuk mengimbang tubuhnya bersama bahan kerja yang hampir menutup pandangannya itu.
“Tak apa,” balas Hykal pendek dan terus menuruni anak tangga.
Anis berhenti untuk memberi ruang pada lelaki itu menapak. Matanya tertancap pada bahan projek Hykal. Cantiknya! Benarlah lelaki itu berbakat dalam hasil kerja seperti itu. Patutlah tak keluar-keluar dari studio.
Pernah Zarina bercerita kepadanya dahulu, kalau pertengahan semester, Hykal tidak akan tidur langsung semata-mata untuk menyiapkan projeknya. Makanan pun akan dihantar ke studio.
Tiba-tiba.. Prapppppppp!!! Anis terperanjat. Bagi hendak tersembul biji matanya melihat apa yang berlaku ketika itu. Bahan projek yang ditatang oleh Hykal tadi jatuh ke lantai. Habis bersepai segala jenis objek yang ada di dalamnya.
Cepat-cepat Anis turun semula ke bawah. Kelihatan Hykal sedang mengutip bahan-bahan yang sudah bersepai di atas lantai. Anis turut membantu. Dikutip bahan-bahan seperti besi-besi kecil yang berterabur di sekelilingnya lalu diberi kepada Hykal.
“Tak apa Anis. Biarkan...” ucap Hykal dengan wajah yang cukup tenang.
Serentak pandangan Anis terhala pada Hykal. “Habis, macam mana ni abang?” soal Anis sambil mencangkung memandang setiap objek bahan yang bersepah di atas lantai itu.
 “Tak ada apa-apalah. Anis tolong bawa benda ni dekat atas, boleh? Letak aje depan pintu studio abang,” pinta Hykal memandang tepat ke muka Anis.
Anis mengangguk-angguk.
 “Thanks okay?” ucap Hykal lantas bangun. Tergesa-gesa dia dia melangkah ke pintu. Barangkali sudah terlambat.
Anis merenung projek Hykal yang sudah rosak itu. Serpihan-serpihan plastik yang menjadi komponen bahan tersebut dipungut lalu dibawa ke studio Hykal. Tiba di depan pintu studio Hykal, pandangan Anis tertancap pada satu lukisan yang tergantung di situ dan ada lagi beberapa kerja tangan Hykal yang tertampal di muka pintu tersebut.
Anis membongkok lalu meletakkan bahan struktur tadi hadapan studio Hykal. Dilihat ada beberapa lagi bahan struktur lain yang disusun di situ. Barangkali projek Hykal yang sudah siap.
Tiba-tiba tergerak sesuatu di hatinya. Anis berkira-kira seketika. Memikirkan sama ada wajar atau tidak dia menurut kata hati itu. Tanpa berfikir panjang lagi lantas bahan tadi diangkat semula.

SUDAH lebih empat jam Anis menghadap bahan projek Hykal. Mencantumkan semula komponen-komponen itu bukan kerja mudah. Anis perlu berfikir untuk menyesuaikan antara satu komponen dengan komponen yang lain. Namun, Anis masih tidak berputus asa. Sudah hampir separuh cantuman plastik itu disambung. Adalah juga rupa bangunan.
Hendak kata berbakat sangat tidaklah. Dia hanya melakukan apa yang termampu dan sekreatif yang mungkin. Sekurang-kurangnya apa yang dihasilkan nanti boleh dinilai mengikut dimensi seni yang tersendiri.
Semuanya komponen sudah dapat dicantum. Tapi, mungkin ada sedikit perubahan yang berlaku pada bahan tersebut. Anis menggunakan kreativitinya sendiri untuk membaiki bahan itu. Strukturnya tidak seperti yang dilihat sebentar tadi. Mana-mana bahagian yang menggunakan kertas pula dilurut sehingga kelihatan tegak seperti sedia kala. Siap!

HARI ini Hykal pulang lewat ke rumah. Jiwanya tidak tenteram di dalam kelas tadi. Fikirannya asyik melayang pada projeknya yang sudah rosak. Lusa adalah hari terakhir untuk menghantar projek tersebut kepada pensyarah.
Berminggu-minggu dia berhempas pulas menyiapkan projek itu. Setiap malam dia bersengkang mata semata-mata untuk mencari idea yang paling baik untuk menghasilkan rekaan bangunan tersebut dan dalam sekelip mata sahaja semuanya telah ranap.
Ketika tiba hadapan pintu bilik studio, pandangan Hykal terus tertancap pada bahan projeknya. Dia terkejut. Semua komponen dan cantuman sudah dicantumkan dan berubah pada struktur yang berbeza dari yang asal.
Hykal tunduk mencangkung meneliti struktur tersebut. Siapa yang buat ni? Dia tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba dia melihat kelibat Qistina tidak jauh dari situ.
“Qis, mari sini kejap,” panggilnya sambil menggamit Qistina supaya ke situ.
 “Kenapa?”
“Siapa yang buat ni?” soal Hykal seraya menuding jarinya ke arah struktur bahan tersebut.
Pandangan Qistina terus teralih pada struktur bangunan tersebut. Kemudian beralih semua ke wajah Hykal. Dia menggeleng. “Tak tahu...”
Hykal terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan Anis. Jangan-jangan Anis yang melakukan semua itu. Masakan struktur yang telah punah itu telah menjadi sempurna kembali. 
“Anis mana?” tanya Hykal lagi.
“Ada dalam bilik. Tidur. Kenapa ni, abang?” soal Qistina sedikit bingung melihat telatah Hykal. Dia sendiri tidak tahu menahu mengenai bahan yang ditunjukkan abangnya itu.
“Takde apa-apa. Saje tanya,” ucap Hykal sambil tersengih. Tanpa berkata apa-apa dia terus masuk ke studionya lantas membawa masuk struktur bangunan tadi.
Lama Hykal meneliti bahan projek tadi. Habis semua bahagian dibeleknya. Dahinya berkerut seribu. Hairan, pelik.. Itulah yang dirasa kini.
Jika benar Anis mengubah struktur bangunan tersebut, masakan gadis itu boleh menyiapkan dalam satu hari? Benak Hykal diserbu rasa ingin tahu yang teramat.

PAGI itu ketika hendak ke kelas, Hykal terserempak dengan Anis. Gadis itu baru sahaja mencecah lantai tingkat atas.
“Anis...”
Anis tersentak. Sudah mengagak lelaki itu akan memanggilnya. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Dia jadi takut untuk menghadap lelaki itu. Lambat-lambat dia berpaling.
“Abang nak tanya, Anis ke yang adjust projek abang tu?” soal Hykal dengan riak wajah yang serius.
Anis mengangguk perlahan. Kecut perutnya saat itu. “Maafkan Anis.. Anis takde niat nak pandai-pandai usik kerja abang tu. Anis cuma nak cuba betulkan... Anis mintak maaf sangat-sangat. Kalau abang tak suka, abang boleh cabut semula komponen-komponen tu,” bicara Anis dengan suara yang bergetar.
“Bukan macam tu maksud abang. Abang cuma pelik macam mana Anis boleh buat semua tu dalam masa yang singkat? Abang nak buat tu pun berminggu-minggu. How you did that?”
Anis tercengang. “Aaa...” Dia kehilangan kata-kata. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk soalan itu. Segalanya dilakukan dengan kreativiti sendiri.
“I still wonder... But honestly, abang suka struktur yang baru tu. Nice... Hmm, Okeylah Anis, abang dah lambat ni. Abang pergi dulu ya.” Hykal terus melangkah pergi.
Aik? Lain aku jangka lain pulak yang jadi? Anis seakan-akan tidak percaya. Namun, kata-kata Hykal tadi sedikit sebanyak membuat perasaannya jadi senang. Seulas senyuman tergaris pada bibirnya.

No comments: