Sekebun Bunga Cinta #19

PULAU itu ditinggalkan sebaik sahaja semua alatan siap dikemas. Segala sampah sarap juga sudah dibersihkan dan dibakar di satu tempat. Mereka kembali meredah hutan untuk pulang.
Kali ini mereka mengikut haluan yang berbeza dengan jalan ketika pergi. Menurut Ikram, seelok-eloknya ketika pulang mereka harus menggunakan jalan yang lain bagi mengelakkan pokok-pokok rosak dipijak.
Tiada jalan berbukit dan curam-curam bahaya yang perlu dilalui. Kawasan tanah lebih rata dan jalannya lebih mudah. Cuma, banyak pokok-pokok besar yang tumbang menjadi halangan. Seperti biasa, pelajar perempuan akan berada di barisan tengah dan pelajar-pelajar lelaki akan berada di barisan paling hadapan dan belakang.
Ketika itu jam baru sahaja menunjukkan pukul 11 pagi. Bermakna lebih kurang pukul 1 tengah hari mereka akan tiba di pulau yang menjadi tempat permulaan mereka memulakan aktiviti menjejak hutan kelmarin.
Faris melangkah perlahan menyusuri denai-denai di situ. Sesekali pandangannya meliar ke sekitar hutan yang hanya dipenuhi dengan pokok-pokok liar. Sebatang kayu besar dipegang sebagai sokongan.
Tiba-tiba pandangannya tertancap pada Jasmyn yang sedang berhenti mengambil gambar seekor binatang berupa lipan yang sedang menyusur batang pokok besar di situ.
Siap mengambil gambar, Jasmyn kembali memasuki barisan betul-betul di hadapannya. Seketika gelagat gadis itu diperhati. Langkahnya agak laju. Setiap kali pasti sahaja lensa kameranya dihalakan ke mana-mana tempat untuk merakam gambar.
Tiba-tiba entah macam mana ketika cuba memanjat sebatang pokok besar yang tumbang di situ, kaki Jasmyn tergelincir. Spontan lengannya ditarik oleh Faris yang berada di belakang.
“Adooiii, tercabut lutut aku!” Jasmyn menjerit kesakitan sambil memegang lututnya yang sudah terseliuh.
“Okey ke?” soal Faris meminta kepastian.
Serentak Jasmyn mengalihkan pandangannya ke muka Faris. Jika tidak kerana lelaki itu pasti tubuhnya sudah tersembam ke tanah tadi.
Namun seketika kemudian Qaisyah dan Natalia menariknya supaya berdiri.
“Tak apa, tak apa. Kau orang boleh terus jalan. Tak ada apa ni. Sikit aje,” beritahu Jasmyn. Wajahnya berkerut menahan sakit.
“Are you sure, Jasmyn?” tanya Ikram yang kelihatan risau.
Jasmyn mengangguk-angguk. Perlahan-lahan dia cuba menapak. Sakitnya hanya TUHAN sahaja yang tahu. Tangannya ada kesan calar kerana tergesel dengan batang pokok tadi. Bukan main pedih lagi rasanya.
Seketika dia memeriksa kameranya. Mana tahu kalau-kalau rosak ketika tergelincir tadi. Setelah puas dibelek, dia menarik nafas lega. Mujurlah tidak mengalami sebarang kerosakan.
Qaisyah dan Natalia terus bergerak. Bimbang ditinggal oleh orang di hadapan. Sakit itu harus ditahan. Dikuatkan juga kakinya melangkah.
“Kau boleh jalan ke tak ni?” tanya Faris meminta kepastian. Dilihat lain macam benar cara Jasmyn menapak. Jika tadi bukan main lincah lagi  dia menyusup ke setiap celah denai. Kini, pergerakan gadis itu lebih perlahan dan berhati-hati.
“Boleh...” balas Jasmyn mendatar. Rasa asing pula rasanya bercakap dengan pemuda itu kali ini.
Setelah sejam lebih, akhirnya perjalanan menyusuri hutan berakhir jua. Beberapa buah bot menanti mereka di situ untuk pulang ke seberang.
Selepas dijamu makan tengah hari dan solat Zohor, mereka mengucapkan selamat tinggal kepada pihak pengurusan Tasik Chini. Satu demi satu kereta bergerak meninggalkan zon tasik.
Daerah Pekan bakal meninggalkan seribu satu kenangan buat mereka. Biar sekejap, pengalaman yang diperoleh tidak ternilai harganya.

KUALA LUMPUR yang menanti tiada sebarang perubahan. Setiap bangunan pencakar langit yang megah berdiri tidak lagi menarik perhatian tatkala setiap masa itulah sajian mata penduduk-penduduk di situ.
Sudah seminggu camping di Tasik Chini itu berlalu. Selama pulang dari Pahang, Faris langsung tidak keluar dari rumah. Tubuhnya terasa sakit dan lenguh-lenguh. Sepanjang hari dia hanya berehat di rumah menghabiskan masa menonton televisyen dan melayari internet.
Pagi itu, sebaik sahaja selesai mandi dia menghampiri meja studi menghadap komputer riba yang terpasang. Wayar kamera digitalnya disambung ke USB komputer.
Setelah membuka fail yang dikehendaki, serentak puluhan gambar ketika di Tasik Chini muncul di skrin komputernya.
Satu per satu gambar diklik. Faris tersenyum sendirian tatkala melihat aksi lucu rakan-rakan sekelasnya di dalam gambar. Sememangnya kenangan julung kali menyertai ekspedisi seumpama itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Mungkin barangkali jika berpeluang untuk masa yang akan datang menyertai program seperti itu dia tidak akan teragak-agak untuk ikut serta. Benar kata orang; tak kenal maka tak cinta.
Satu per satu gambar dilihat. Tiba-tiba jarinya berhenti pada satu gambar yang tertera. Jantungnya bagai disentap tatkala melihat gambar candid Jasmyn bersama beberapa orang rakan sekelas yang lain jelas kelihatan di situ. Kelihatannya gambar itu dirakam ketika mereka sedang sibuk menyediakan makan malam.
Aik? Masa bila pula gambar ini diambil? Faris tertanya-tanya sendirian. Masakan dia tidak sedar waktu bila gambar tersebut diambil. Apatah lagi wajah Jasmyn cukup jelas terpampang di situ. Namun, ingatannya tidak mampu mengingati sebarang kaitan sekalipun. Barangkali jari aku tertekan kot? Bisiknya hatinya sendirian.
Namun seketika gambar tersebut ditatap. Wajah kaku milik Jasmyn diamati beberapa saat. Serentak bayang kenangan bersama gadis itu ketika di Tasik Chini menjengah memorinya.
Kerana Jasmyn, kini dia tahu bagaimana cara untuk menggerakan kayak. Sedar tidak sedar, banyak perkara yang diketahui olehnya dari gadis itu baik secara langsung mahupun secara tidak langsung.
“Awek baru ke? Boleh tahan!”
Faris tersentak. Serta-merta lamunannya berakhir. Kelihatan Faziela sudah berdiri sambil tersengih-sengih di belakangnya.
“Bila Kak Fazie masuk?” soal Faris memandang tepat ke wajah Faziela.
“Baru masuklah ni. Saja nak tengok kau buat apa dalam bilik. Senyap aje tak keluar-keluar dari tadi. Sejak bila suka berkurung dalam bilik entah,” ucap Faziela sambil melabuhkan punggung di birai katil. Hairan melihat sikap Faris sejak kebelakangan ini. Adiknya itu sudah jarang keluar merayap baik siang mahupun malam.
“Lain kali nak masuk ketuklah dulu pintu. Main redah aje.” Tubuh Faris kembali menghadap komputer. Lantas gambar Jasmyn tadi dipadam.
“Gambar budak perempuan mana tadi tu?” Tiba-tiba Faziela menyoal. Ada sengihan yang terpamer pada wajahnya.
“Siapa-siapa ajelah. Gambar waktu ekspedisi hari tu.” Faris membalas acuh tidak acuh.
“Kak Fazie tengok kau dah jarang keluar lepas balik dari Pahang hari tu. Macam pelik jugaklah bila balik rumah nampak muka kau.”
Faris tersenyum sendirian. Lantas komputernya ditutup. Tumpuannya beralih kepada Faziela.  “Saja malas. Vacation mood. Home would be the best place to put my feet up.”
Faziela mencebik lantas melarikan pandangannya ke arah lain. “Sejak bilalah pulak mamat ni jadi macam ni...”
Faris bangun mencapai alat kawalan jauh televisyen lantas televisyen itu dihidupkan. Dia kemudian mengambil tempat di sebelah Faziela. Pandangannya tertancap tepat ke skrin televisyen.
“Kau ada masalah ke, Ris?” tanya Faziela sekadar ingin meneka. Entah kenapa fikirannya dilanda rasa pelik sejak kebelakangan ini tatkala melihat sikap Faris. Jika sebelum ini pantang sahaja lihat langit cerah, lesaplah dia dari rumah itu. Kini lain pula tabiatnya. Masanya lebih banyak dihabiskan di rumah.
“Masalah apanya? Jadinya kalau tak keluar rumah tu maknanya ada masalahlah? Inilah orang belajar laws. Suka sangat buat andaian sendiri,” perli Faris sambil tersenyum mengejek.
“Manalah tahu kan... Kau tu bukannya boleh percaya sangat. Dahlah, Kak Fazie masuk tidur dulu. Esok pagi kena bangun awal pergi kerja.” Faziela bangkit. Sebelum beredar sempat telinga Faris ditarik.
“Good night!”
“Okay... good night...”
Pintu bilik ditutup rapat. Suasana di dalam bilik hanya terisi dengan suara dari peti televisyen. Sesaat dua kemudian, fikiran Faris seakan melayang. Pandangannya jadi kabur melihat satu arah. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Seakan-akan hilang punca. Fikrahnya seakan-akan dikepung dengan sesuatu.
Tiba-tiba fikirannya tersasar pada nama Jasmyn. Ah, perlu apa nama perempuan itu menceroboh benaknya tika ini?
Faris menggeleng-gelengkan kepalanya. Seketika waktu dia cuba membisukan apa sahaja yang berlegar di hati dan fikirannya. Namun, kesekian kali interaksi kedua-dua pencetus asbab itu menyeru nama yang cuba dipinggir sebentar tadi.


P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/               

No comments: