“SAAT yang bahagia, datang sekejap saja...” Tiba-tiba Zaihan muncul menyanyikan lagu dendangan Almarhumah Saloma itu ke telinga Jasmyn. Ketika itu dia sedang berbaring di dalam khemah.
“Kau ni kenapa? Gila eh?” Wajah Zaihan dipandang tepat. Sahabatnya itu sudah tersengih-sengih.
“Mengenang saat-saat romantik ke?” ejek Zaihan lagi.
“Tak ada maknanya... kau nak buat apa lepas ni?” Jasmyn mengubah topik. Nanti, makin giat gadis itu mengusiknya.
“Water floatinglah! Dia orang semua dah duduk dalam air tu. Aku tengok macam seronok aje. Jomlah? Takkan kau nak duduk dalam ni aje kot?”
“Sekejap lagi aku datang. Kau orang pergi dulu...”
“Hmmm.. Yalah. Kau cepat sikit tahu? Kita terjun sama-sama nanti!”
Zaihan beredar keluar dari khemah. Seketika Jasmyn memejamkan matanya. Ish, kenapa pula tiba-tiba rasa mengantuk ni?
Tidak sedar hampir 15 minit dia terlelap di dalam khemah. Ketika tersedar cepat-cepat dia bangun menyarung kasut menuju ke tasik. Kelihatan sudah ramai yang berada di dalam tasik.
Beberapa orang pelajar lelaki kelihatan turut bermandi-manda di sana. Jadi meriah pula kawasan tasik itu dengan suara tawa mereka.
“Ish, berani dia orang mandi kat dalam tasik?” Tiba-tiba kedengaran satu suara dari tepi membuatkan Jasmyn berpaling. Seperti yang sudah dijangka, tubuh Faris sudah terpacak di sebelahnya.
“Nak takut apa? Buaya? Wei, kalau ada buaya pun tak ingin buaya tu nak makan kau,” ucap Jasmyn sinis membuang pandang ke arah rakan-rakan yang lain di tengah tasik.
Agak panas juga telinga Faris mendengarnya. Namun dia sekadar tertawa kecil. “Ni kau ni dah mandi belum? Aku ada bau macam bangkailah kat sini.”
Wajah Faris direnung bengis. Namun belum sempat dia bersuara, lelaki itu sudah beredar menuju ke pinggir tasik.
AKTIVITI hari itu berakhir sebaik sahaja menjelang senja. Masing-masing sudah lencun kebasahan. Secara tidak langsung dapat juga membersihkan badan biarpun tanpa sabun dan shampu.
Selepas menyalin pakaian, mereka solat berjemaah bersama-sama. Malam itu pihak pengurusan Tasik Chini menghantar juadah makan malam buat mereka. Jadi, tidak perlulah mereka memasak untuk malam itu.
Masing-masing sudah keletihan. Ada yang awal-awal lagi sudah tidur. Yang masih berjaga mereka berkumpul beramai-ramai menghadap unggun api mendengar cerita seorang pekerja yang sudah hampir 20 tahun bekerja di Tasik Chini itu.
Pelbagai jenis cerita yang diceritakan oleh lelaki separuh abad itu mengenai Tasik Chini. Mengenai pengalamannya sendiri mahupun pengalaman orang-orang yang pernah melalui kejadian aneh di situ.
“Ish, seriau pulak aku dengar cerita pakcik ni,” ucap Qaisyah sambil menggosok-gosok tengkuknya. Bulu romanya tiba-tiba rasa meremang.
“Jadi, pasal naga Tasik Chini tu pakcik tak tahulah betul-betul wujud ke tidak. Kadang-kadang orang zaman dulu suka mereka-reka cerita untuk anak cucu dia orang. Maklumlah, zaman dulu mana ada hiburan sangat. Jadi, cerita-cerita macam ni akan disampaikan dari mulut ke mulut, lepas tu kena tokok tambah jadi macam cerita betul. Lama-lama siapa-siapa pun tak boleh tahu kesahihan cerita tu. Wallahualam...” bicara lelaki yang digelar Pak Husin itu panjang lebar.
“Itulah, kalau nak ikutkan binatang ni banyak yang pelik-pelik. Kalau kat dalam laut tu lagilah macam-macam spesis hidupan yang kita tak pernah tengok. Manusia ni kalau nampak benda pelik sikit mulalah nak reka cerita dongeng, padahal benda tu ciptaan biasa aje. Cuma jarang nampak aje,” celah Ikram memberi pandangannya.
Selama beberapa jam mereka berbual di situ. Kelihatannya mereka begitu berminat mendengar cerita Pak Husin. Ramai juga yang bertanya bermacam perkara kepada orang tua itu.
Sehingga lewat malam barulah mereka bersurai dan masuk ke khemah masing-masing. Namun, beberapa orang pelajar diarahkan supaya berjaga di tepi unggun api. Bimbang kalau-kalau terpadam sebelum waktu siang.
Jasmyn menawarkan diri untuk berjaga malam itu bersama beberapa orang pelajar yang lain. Zaihan pun sibuk mahu mengikutnya ingin menunggu unggun api. Tak ada kerja lainlah tu nak berbual-bual dengan Ikram!
Natalia dan Qaisyah sudah pun dibuai mimpi di dalam khemah. Jasmyn dan Zaihan bersila menghadap unggun api yang menyala. Dingin malam kian terasa menggigit kulit mereka.
“Tak penat ke?” soal Ikram sebaik sahaja melihat Zaihan dan Jasmyn muncul.
“Tak... enjoy sangat!” ucap Zaihan ceria.
Jasmyn mencangkung sambil menyusun kayu-kayu api yang sudah terbakar. Soal Zaihan dan Ikram tidak dihiraukan.
Beberapa batang kayu dimasukkan ke dalam unggun api supaya nyalaan tidak mengecil. Dibiar sahaja Zaihan dan Ikram berbual sesama sendiri. Beberapa orang rakan sekelasnya di situ kelihatannya sedang asyik bersembang sesama sendiri.
“Tak tidur ke?” soal Nizam yang baru sahaja muncul di situ bersama Azril.
“Tak... tak mengantuk lagi,” balas Jasmyn lalu melabuhkan punggung menyaksikan api yang giat menjilat kayu-kayu kering yang dipungut. Nizam dan Azril sudah duduk menghadapnya.
“Aku ada bawak ni,” ujar Azril sambil menunjukkan sebungkus sosej yang diletak di dalam sebuah bekas plastik. Dia tersengih-sengih kemudiannya.
“Wah, sempat lagi... Tak basi ke?” soal Jasmyn tergelak kecil.
Azril mengangkat bahu. Bungkusan sosej itu dibuka. “Cuba kau cium. Elok lagi ke tak. Kalau elok lagi bolehlah bakar.” Bekas plastik itu dihulur ke arah Jasmyn.
Jasmyn menghidu bau sosej itu beberapa kali. “Okey lagi ni...” ujar Jasmyn mengembalikan semula bekas itu kepada Azril.
“Apa lagi, bakarlah. Perut tengah lapar ni,” celah Nizam sambil memandang Azril.
“Nak bakar pakai apa?” tanya Azril sambil meletakkan bekas itu ke tanah.
“Pakai garfu pun boleh. Ada bawak?” soal Jasmyn memandang kedua-dua pemuda di hadapannya itu.
“Ha’ah... sekejap aku ambik kat khemah.” Azril bangun dan kemudian beredar. Lima minit kemudian dia muncul. Namun kali ini muncul bersama Faris.
“Tak boleh tidurlah. Panas!” adu Faris sambil duduk mencangkung di sebelah Nizam bersetentang dengan Jasmyn. Lelaki itu hanya mengenakan t-shirt putih dan seluar pendek berwarna hitam.
Jasmyn hanya membisu. Kewujudan lelaki itu tidak dipedulikan. Entah kenapa perasaannya kosong saat itu. Tidak pula berasa jengkel atau pun meluat.
Faris juga berlagak biasa. Dibiar sahaja kehadiran Jasmyn di situ. Namun, entah kenapa suasana antara mereka jadi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi pelajar-pelajar lain yang berada di unggun api bersebelahan.
Nizam dan Azril kelihatan sibuk membakar sosej. Gelagat mereka hanya diperhati oleh Jasmyn dan Faris.
“Jasmyn, kau biasa join camping ke?” tanya Azril tiba-tiba. Sekadar ingin tahu. Dia lihat gadis itu seakan-akan tidak kekok dengan sebarang aktiviti sekalipun. Malah, alatan yang dibawa Jasmyn seolah-olah menunjukkan gadis itu biasa menyertai aktiviti seperti itu.
“Selalu jugak. Kalau ada waktu terluang aku selalu ikut bapak aku,” jawab Jasmyn bersahaja.
“Berapa banyak hutan dah kau masuk?” Giliran Nizam pula menyoal.
“Adalah nak dekat 20...”
Nizam dan Azril terkejut. Serentak pandangan mereka terkalih pada wajah Jasmyn. Faris yang membisu sedari tadi juga sedikit terperanjat. Namun mulutnya terus terkunci tidak bersuara apa-apa.
“Kira memang dah lamalah kau berkecimpung dalam aktiviti macam ni? Patutlah aku tengok macam dah biasa...” ucap Nizam sambil memotong sosej yang siap dibakar itu di dalam pinggan.
Jasmyn tergelak kecil. “Lama jugaklah. Semenjak aku umur 15 tahun. Kebanyakannya hutan-hutan kat Pahanglah tapi Tasik Chini ni belum pernah sampai lagi,” cerita Jasmyn sekadar sahaja.
“Esok kita balik pukul berapa ek?” Tiba-tiba Faris bersuara setelah sekian lama memdiamkan diri.
“Hai, takkan tak sabar dah nak balik kot?” kata Nizam sambil tersenyum penuh makna.
“Aku rasa tak nak balik. Biar duduk sini lagi empat lima hari pun tak apa. Kalau kat sini tak banyak benda kena fikir. Jiwa pun tenang. Kalau kat KL...” Azril menggeleng-gelengkan kepalanya. Kata-katanya dibiar tergantung. Tidak perlu disudahkan masing-masing sudah mampu mengagak apa yang cuba diucapkan.
Faris terdiam. Jauh di sudut hati dia sendiri sudah jatuh hati dengan tempat itu. Banyak benda baru yang dipelajarinya di situ. Malah seumur hidupnya itulah kali pertama dia menempuh pengalaman sedemikian. Tidur di dalam khemah, mandi dengan air tasik dan makan beramai-ramai di dalam satu dulang. Sungguh semua itu terlalu baru baginya.
“Esok pagi lepas siap kemas baliklah...” Jasmyn bersuara dengan intonasi suara yang mendatar.
“Eleh, aku tahulah kau tu dah tak sabar nak balik. Awek-awek hot KL tengah tunggu. Maklumlah, orang penting. Sekali tak ada, semua orang cari,” perli Nizam selamba.
“Haa, tahu pun kau. Tak tahan aku duduk sini lama-lama. Mendap kepala otak!” ujar Faris berbohong. Sengaja mahu memprovok rakan-rakannya. Padahal jiwanya semakin serasi dengan persekitaran di situ.
Jasmyn mencebik. Menyampah pula rasanya mendengar kata-kata-kata Faris itu. Ah, apa sahaja yang lelaki ini tahu tentang menilai alam sekelilingnya? Lelaki sepertinya tidak mungkin akan menghargai semua itu!
“Dah siap! Jemput makan...” pelawa Azril sambil menghulur pinggan yang berisi sosej bakar itu kepada Faris.
“Apa ni?” Faris mengerut dahinya. Matanya tertancap pada sosej-sosej yang sudah dikerat itu.
“Tak nak bagi aku!” Pantas bekas tadi dirampas oleh Jasmyn. Selamba sahaja dia menyuap sosej itu ke mulutnya.
Azril, Nizam dan Faris sama-sama terpinga-pinga dengan tindakan spontan Jasmyn. Sesaat kemudian Nizam dan Azril berpandangan. Masing-masing menahan tawa. Apatah lagi melihat ekspresi Faris yang terkulat-kulat ketika itu.
“Kalau dah puaka, memang puaka jugak!” tempelak Faris selamba.
P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment