MINGGU ini merupakan minggu terakhir kelas diadakan. Waktu-waktu begini masing-masing semakin santai ke kelas. Jumaat yang dinanti dengan penuh rasa tidak sabar. Sabtu yang menjadi permulaan bebas dari liku-liku kelas.
Kelas terakhir bersama Ikram petang jumaat itu menjadi gamat tatkala pensyarah muda itu menamatkan kelas.
“By the way, saya dah decide tempat untuk camping tu. Lokasi dia kat Tasik Chini. Kalau siapa-siapa nak join, boleh jumpa saya lepas ni. Apa-apahal nanti saya akan beritahu minggu depan,” maklum Ikram pada pelajar-pelajarnya.
“Tasik Chini, Pahang?” soal Natalia memandang wajah rakan-rakannya yang lain.
“Tak tahu pulak Tasik Chini tu ada kat Jamaica? Yalah.. kat Pahang... nak join tak?” tanya Jasmyn kembali.
Qaisyah diam. Zaihan seakan-akan sedang berfikir untuk memberi jawapan.
“Ada apa kat Tasik Chini?” soal Zaihan.
“Ada naga!” Pantas Jasmyn menjawab. Zaihan mencebik.
Mereka sama-sama bangun menuju ke arah Ikram. Rakan-rakan sekelas yang lain sudah mengerumi pensyarah muda itu.
Jasmyn dan rakan-rakannya menanti di belakang sehinggalah seorang demi seorang meninggalkan kelas. Masing-masing hanya memberi nama dan bertanya beberapa perkara mengenai camping tersebut.
“Yes?” Ikram bersuara sambil pandangannya tertancap tepat pada wajah keempat-empat pelajar di hadapannya itu.
“Ada lecturer lain ikut sekali ke?” soal Natalia ingin tahu.
“Mungkin ada, mungkin jugak takde. Sebab benda ni bukan under faculty. It’s just my personal planning. Saja nak ajak you all explore the nature. You all nak join tak?”
“Nak... tapi nak tanya dulu pasal aktiviti-aktiviti yang nak dibuat nanti,” ujar Jasmyn.
“Just common activity. Something for fun...” jawab Ikram sambil tersenyum.
Masing-masing terangguk-angguk. Seketika kemudian mereka berpandangan.
“Okeylah tu. Janji sir ada, everything will be fun.” Zaihan bersuara sambil tersengih-sengih. Serentak rusuknya di siku Jasmyn.
Ikram tertawa kecil. Sudah arif dengan sikap Zaihan yang suka mengusik itu. “Nah, just write down your name and contact number.” Sehelai kertas dihulurkan kepada mereka.
“Nombor telefon kita orang aje? Nombor telefon sir tak ada ke?” soal Zaihan selamba. Natalia, Jasmyn dan Qaisyah berpandangan. Tak malu sungguh budak ni!
“Don’t worry, Zaihan. You’ll get mine later,” tutur Ikram perlahan. Senyuman yang tadi masih tidak lekang.
“Mintak diri dulu, sir. Thank you,” ucap Jasmyn lantas menarik Zaihan keluar dari kelas.
“Amboi-amboi, bukan main gedik lagi kau ya?” Natalia bersuara. Bahu Zaihan ditepuk dengan buku di tangannya.
“Alah, gedik sikit takkan tak boleh? Apa salahnya mintak nombor telefon dia? Cakap ajelah korang pun nak jugakkan kan?” Zaihan tergelak-gelak.
Masing-masing mencebik.
“Kira gentlewoman apa aku mintak nombor dia depan-depan?”
“Kau jangan nak cari pasal, Zai. Entah tunang orang tu. Kau main sesah aje semua benda.” Giliran Qaisyah pula membuka mulut. Namun, jauh di sudut hati geli hati juga melihat gelagat rakannya yang satu itu. Tak makan dek saman langsung!
“Sedangkan kapal terbang di udara boleh dirampas, inikan pulak manusia,” tutur Zaihan berserta dengan gaya sedang bersyair.
Serentak Natalia dan Jasmyn mengetuk kepalanya.
BUNYI telefon bimbit di tepi telinga tidak diendahkan. Sudah masuk sepuluh kali telefon itu menjerit. Alih-alih nama pemanggil yang sama juga tertera di skrin.
Faris mendengus kasar. Tak faham bahasa gamaknya perempuan ni! Lantas telefon bimbit itu dicapai.
“Ya Iloura. You nak apa? Kan I dah cakap I dengan family I sekarang? You nak call I banyak-banyak kali ni kenapa?” soal Faris dengan intonasi suaa yang cuba dikawal. Namun rasa di hati sudah tidak tertahan lagi. Ah, tatkala kebosanan itu melanda... Yang rupa cantik jadi hodoh. Yang suara merdu boleh jadi macam ekzos lori.
“I tak kira. I nak jumpa you sekarang jugak!” rengek Iloura seperti kanak-kanak.
“I tak boleh keluar malam ni. I need to spend my time with my family. Weekend nantilah...” ucap Faris berbohong. Sebetulnya dia tidak mahu lagi bersua muka dengan gadis itu kalau boleh. Setiap waktu sedaya upaya dia akan cuba mengelak daari Iloura. Sudah cemuh rasanya melayan kerenah perempuan itu. Dan tidak mampu lagi dia mendengar celoteh dongeng ala-ala kisah wonderland perempuan itu.
“Weekend tak boleh. I ada kerja nak kena buat. Please sayang. I betul-betul rindukan you, I nak jumpa you... please?” rayu Iloura manja.
‘Ingat aku kisah?’ Mahu sahaja dijawab sedemikian kepada gadis itu namun kata itu sekadar bergema di dalam hati.
“Tak boleh, Iloura... Nanti I keluar apa pulak family I kata? Next week aje okey?”
“You ni kan, langsung tak pernah faham I! Setiap kali ajak keluar, macam-macam alasan you bagi. Spend time dengan familylah, dengan kawan-kawanlah, ada assignmentlah. Lagi apa lagi yang you nak buat? Hah?”
“Terpulanglah Iloura... You nak percaya, percaya. Tak percaya suka hati you,” balas Faris bersahaja.
“Hei, you ingat you tu bagus sangat ke? You ingat I tergila-gila sangat kat you tu? Oh pleaseee... kalau setakat macam you tu, 15 orang I boleh dapat!” ucap Iloura angkuh. Saat dia menunjukkan belang....
“Oh... then pergilah cari 15 orang tu...” tutur Faris mendatar. Hatinya sudah membengkak melayan gadis itu. Namun serentak itu juga talian dimatikan oleh Iloura.
Faris tertawa kecil. Lantas telefon bimbit di tangan dilemparkan ke tilam. Dia kemudian berbaring lalu memejamkan mata. Cuba menenangkan fikiran untuk beberapa ketika.
Soal Iloura langsung tidak menjengah ke dalam fikiran. Dia sudah tidak berminat untuk mengetahui perihal gadis itu. Segala tentang Iloura dibuang jauh dari memenuhi ruang fikrahnya.
Beberapa minit berlalu tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk. Spontan matanya terbuka lantas mengalihkan pandangan ke pintu. Faris mengeluh perlahan. Baru sahaja ingin berehat, ada sahaja yang menganggu.
Dengan malas dia bangkit juga membuka pintu. Wajah Datin Syahifah terjengul di muka pintu sambil tersenyum memandangnya.
“Mama...” Faris melemparkan senyuman. Sedikit terkejut melihat wajah mamanya itu di situ. “Mama dari mana ni?”
“Mama dari mana? Hai, kau ni sedar ke tak sedar mama ada dalam rumah ni dari tadi?”
“Eh, bukan mama keluar ke tadi?” Faris tersenyum sumbing. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.
“Hmm.. duduk tersumbat dalam bilik ni memanglah tak sedar. Mama baru aje nak keluar ni. Nak pergi majlis kahwin Azella. Mama ingat nak ajak kau sekali,” beritahu Datin Syahifah
“Azella mana ni, ma?” Kening Faris bertaut.
“Ya ALLAH budak ni. Azella anak Pakcik Rahman yang duduk kat Puchong Perdana tu lah. Takkan kau tak ingat? Kawan kau zaman kecik-kecik dulu...”
“Oohh... Azella... Ingat, ingat... dia dah nak kahwin, ma? Awalnya?” soal Faris beriak terkejut.
“Dah jodoh dia awal, nak buat macam mana?. Baguslah kahwin awal-awal. Tak adalah buat maksiat tak tentu hala macam orang sekarang ni. Dah, nak ikut tak ni? Kalau nak ikut, mama boleh tunggu.”
“Ish, tak nak lah. Nak buat apa? Bukannya Ris biasa sangat dengan dia tu. Berkawan dengan Azella tu pun masa kecik-kecik dulu. Dah besar mana pernah bercakap pun. Mama ajelah yang pergi. Ris malaslah nak keluar malam ni.”
“Yalah. Mama dengan papa ajelah yang pergi. Kau tu jangan merayau pulak kang. Kak Fazie tinggal sorang aje tu. Okey, mama pergi dulu ya?”
Faris menangguk-angguk. Lantas tangan Datin Syahifah disalami. Sebaik sahaja mamanya itu berlalu, terus pintu ditutup rapat.
Dia kembali merebahkan tubuh ke katil. Tiba-tiba sahaja wajah Azella rakan sepermainannya waktu kecil itu mengisi fikiran. Dahulu, kerap juga dia membuli gadis itu ketika di Tadika. Pantang sahaja melihat Azella menocang rambut, pasti sampai terlerai tocang itu ditariknya.
Faris tertawa sendirian. Sesekali mengenang kenangan zaman kanak-kanak, terhibur juga rasa hati ini. Namun tatkala membesar hubungannya itu terjarak dengan sendirinya. Adakalanya terserempak, masing-masing berlagak seperti tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Lama Faris mengelamun tidak sedar dia terlena. Sedar-sedar warna langit bertukar cerah. Mujurlah minggu kelas sudah berakhir. Tidak perlulah dia berkejar-kejar untuk ke kampus.
Sebaik sahaja melakukan senaman ringan, Faris mencapai tuala lalu menuju ke bilik mandi. Agak lama dia menghabiskan masa di dalam. Keluar sahaja, telinganya menangkap bunyi ketukan pintu dari luar.
Tidak perlu meneka kerana ketukan itu berserta suara yang jelas kedengaran. Siapa lagi yang menjadi tukang kejutnya waktu pagi kalau bukan Faziela. Sekilas dia mengerling jam di dinding. Pukul 12.30 tengah hari.
Tanpa menghiraukan ketukan pintu itu, dia terus bersiap-siap berpakaian. Beberapa saat kemudian tiada lagi kedengaran bunyi ketukan pintu dan suara Faziela yang memanggil-manggil namanya.
Selesai berpakaian, dia keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Dilihat Faziela sedang bersantai di ruang tamu sambil menonton televisyen. Namun Faris tidak mengendahkan kehadiran kakaknya itu. Terus sahaja kakinya melangkah ke pintu.
“Nak ke mana tu?” Suara Faziela kedengaran sayup-sayup dari pendengaran.
“Keluarlah, Kak Fazie...” jawab Faris acuh tidak acuh. Dia ni kalau tak tanya memang tak sah!
“Eh Ris, sekejap!” Tiba-tiba Faziela bangkit dari sofa mendapatkannya.
Faris berpaling. Baru sahaja tangannya ingin menyentuh tombol pintu. Keningnya bertaut tatkala melihat wajah manis Faziela. “Kenapa?” soal Faris serius merenung hairan ke wajah kakaknya itu.
Faziela tersengih-sengih. “Tak ada, Kak Fazie ada hal sikit nak cakap dengan kau ni...”
“Hal apa?” Benak Faris diserbu rasa hairan yang teramat. Jarang Faziela berkelakuan seperti itu dengannya. Ini mesti ada benda dia nak mintak ni.
“Tak ada Ris. Kak Fazie ada kenal sorang lelaki ni. Colleague Kak Fazie kat UiTM. Hmm, macam mana Kak Fazie nak cerita ek? Kau nak keluar sekarang ke?”
“Yalah... Kan nampak Ris dah depan pintu ni? Cakap ajelah. Apa yang susah sangatnya?”
Faziela menggaru-garu kepalanya. Wajah tampak serba-salah. Macam orang bingung pun ada. “Macam ni... Nanti malam Kak Fazie cerita okey?”
“Ek eleh... cerita ajelah sekarang. Ris bukan nak rush ke mana-mana pun. Kenapa dengan lelaki tu?” Faris menyoal. Sungguh pun dia kerap bertegang leher dengan Faziela, namun setiap kali kakaknya dirundung masalah, jarang sekali tidak dihiraukannya. Luarannya mereka kerap berkasar antara satu sama lain tetapi sebetulnya hubungan mereka agak akrab.
“Duduk sekejap boleh? Takkan nak bercakap depan pintu kot?” ujar Faziela kemudian menapak ke ruang tamu.
Sebaik sahaja melabuhkan punggung di sofa, Faris mula menyoal. “Masalah apa ni, Kak Fazie?”
“Kak Fazie tengah pening fikir pasal lelaki ni Ris. Sebelum ni Kak Fazie kawan dia macam biasa. Tapi lama-lama Kak Fazie perasan dia ni dah macam semacam. Cakap pun bukan main kalah P.Ramlee bersajak. Lepas tu baru-baru ni dia call Kak Fazie... You know what, he proposed me to be his wife!”
Faris tertawa. Entah kenapa rasa lucu sungguh mendengar cerita Faziela. “Alah, lelaki cakap macam tu pun dah cuak. Baru propose, bukan nak datang meminang.”
“Ris! Dia nak bawak family dia datang meminang sekalilah. Itu yang Kak Fazie tengah pening sekarang ni. Heee.. Kak Fazie tak suka dialah! Dia tu mamat jiwang! Kak Fazie tak suka!” luah Faziela menzahirkan rasa meluatnya terhadap pemuda itu.
Tawa Faris semakin galak. “Habis tu, Kak Fazie nak Ris buat apa? Pergi bunuh lelaki tu?” soal Faris dengan tawa yang masih bersambung. Perasaannya bagai digeletek.
“Amboi, bukan main kau ketawa. Kau sukalah kan Kak Fazie macam ni?”
“Alah Kak Fazie, terima ajelah. Dah ada orang nak. Dari tak laku sampai ke tua...” ucap Faris bersahaja.
“Eee... tak naklah! Ni... Ris kena tolong Kak Fazie kali ni. I really need your help!” ujar Faziela bersungguh.
“Tolong apa?”
“Berlakon jadi boyfriend Kak Fazie...” Faziela tersengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya.
“Hah?!” Bagai hendak terbeliak biji mata Faris ketika itu.
No comments:
Post a Comment