“KAU jangan nak mengarut. Dari aku join camping tak berfaedah tu, baik aku duduk rumah tidur!” ucap Faris mengatur tapaknya ke tempat letak kereta di luar bangunan fakulti.
“Suka hati kaulah. Tak nak sudah!” ujar Azril yang turut sama menyaingi langkah Faris menuju ke keretanya. “Malam ni jangan lupa datang discussion. It’ll be the last discussion. Everyone must be present!”
“Yalah... jangan risau, aku orang pertama yang sampai nanti,” balas Faris sambil tersenyum kambing.
Azril mencebik. Mereka terpisah di situ. Faris mengundur keretanya keluar dari tempat parkir. Namun ketika menoleh, anak matanya tertancap pada seraut wajah yang sedang berjalan menuju ke kawasan itu. Serentak juga pandangan si gadis tertepat pada mukanya.
Mangkuk hayun ni lagi! Gumamnya dalam hati. Sekilas dia mengerling ke arah Jasmyn ketika gadis itu melintas di hadapan keretanya.
Pandangan gadis itu tajam memerhatinya. Namun sesaat kemudian dia memecut keretanya. Sengaja ditekan pedal minyak sekuat-kuat hati ke arah gadis itu. Dia tersenyum puas.
“NI nak ke mana ni?” tanya Faziela yang kebetulan baru hendak memanjat tangga ke tingkat atas. Dipandang adiknya itu dari atas sehingga ke bawah.
“Pergi kampus sekejap. Ada discussion.”
“Hmm, yalah tu. Nak ke kampus konon. Malam-malam nak pergi kampus buat apa?” Faziela menyoal bak penjaga yang prihatin.
Faris mengeluh. Kenapalah aku bertembung dengan dia ni? “Yalah Kak Fazie. Ingat Ris tipu ke? Habis beg besar gedabak ni apa dia? Agak-agaklah nak keluar bawak beg macam ni,” ucap Faris sambil menunjukkan beg alatan studionya ke arah Faziela. Wajahnya jelas bengang dengan teguran kakaknya itu.
“Dah... pergi cepat. Jangan lewat sangat balik,” pesan Faziela seraya berlalu ke atas.
“Dah... pergi cepat. Jangan lewat sangat balik.” Faris mengejek kembali cara dan gaya Faziela sebentar tadi. Sehari kalau tak membebel tak sah! gumamnya dalam hati.
Tiba di kampus, dia terus melangkah ke studio. Sekilas dia mengerling jam di tangan. Pintu studio di buka.
“Sorry guys. Jalan jammed tadi,” ujarnya memberi alasan. Dia mengambil tempat. Kelihatan rakan-rakan sekumpulannya sedang sibuk mengerjakan projek berupa struktur bangunan yang hampir siap sepenuhnya itu.
“Haa, tadi bukan main lebat cakap nak datang awal? Awallah sangat...” Tiba-tiba Azril dan Nizam muncul di muka pintu.
“Ni nak bincang pasal apa lagi? Aku tengok dah okey aje semua?” ujar Faris sambil memandang projek kumpulan mereka itu.
“Presentation lusa. Kenalah prepare. Kelas Dr. Muhayyat ni. Kau ingat boleh belasah suka hati?” ujar Nizam.
“Ooh...” Terangguk-angguk kepala Faris. Sebetulnya dia tidak terlalu mengambil tahu akan tugasan itu. Hanya perihal-perihal tertentu sahaja yang diketahuinya. Sungguhpun begitu, kos projek banyak juga ditaja olehnya. Sememangnya dari dulu Faris tidak lokek mengeluarkan wang untuk membeli bahan projek.
Ketika berbincang, masing-masing memberi pandangan sendiri kecuali Faris yang banyak mendiamkan diri. Setiap bahagian telah dibahagikan untuk dibentangkan nanti.
Hampir dua jam juga mereka berbincang dan menokok tambah idea di situ. Setelah berpuas hati, barulah mereka bersurai.
“Jom lepak minum-minum dulu?” ajak Faris memandang Azril dan Nizam.
Tanpa banyak soal mereka hanya bersetuju. Kedai mamak di sekitar Bangsar menjadi pilihan. Orang ramai masih memenuhi ruang kedai makan tersebut. Barangkali musim pertandingan bola mempengaruhi mereka bertandang ke kedai-kedai seperti itu.
Faris, Nizam dan Azril masing-masing memesan menu yang sama; Mee Goreng Mamak dan teh tarik. Sekali sekala ada waktu Faris lebih suka meluangkan waktu bersama dua sahabat karibnya itu.
“Cuti sem ni korang ada plan ke?” soal Faris sebaik sahaja menyudahkan makanan di pinggannya.
“Tolong mak kat dapur,” balas Nizam bersahaja.
Serentak tawa mereka meletus.
“Nak buat apa lagi cuti, rehat puas-puaslah. Kenapa kau nak mintak jadi cikgu tuisyen ke?” Azril tersenyum mengejek memandang Faris.
Faris tertawa kecil. “Aku tak sabar gila nak cuti... Tiga bulan tu kalau ikutkan sekejap sangat. Pejam celik pejam celik dah masuk sem baru,” tutur Faris.
Nizam dan Azril saling berpandangan. Masing-masing tersenyum penuh makna lantas mencebik.
“Mana tak rasa sekejap. Berkepit dengan orang ni, keluar dengan orang ni...Ke hulu ke hilir, ke desa ke pekan...” perli Azril. Masak benar dengan sikap Faris. Makin tua, makin menjadi-jadi sikapnya yang suka berfoya-foya. Soal pelajaran diambil mudah. Namun hairan, setiap kali keluar keputusan peperiksaan akhir, tuahnya selalu ada. Padahal malas bukan main. Hairan... ada bela kot?
Faris hanya menayang muka selamba.
“Haaa, siapa latest stock kau sekarang?” tanya Nizam sekadar ingin tahu. Tidak berminat pun mencampuri perihal itu. Kalau ada kesempatan bertanya, barulah dia bertanya.
“Ah, semua stok dah nak expired. Nak kena cari yang baru.” Seketika wajah Iloura muncul di layar mata. Kalau dahulu, wajah itulah yang menjadi igauannya siang dan malam, kini tidak lagi. Semakin hari dia sengaja menjauhkan diri dari gadis itu. Seperti biasa yang dilakukan kepada perempuan-perempuan sebelumnya. Saat tahap bosan itu hadir... Aku peduli apa cantik ke hebat ke?!
“Awek mana pulak kau nak samun lepas ni?” tutur Azril mendatar. Sifat Faris yang satu itu memang tidak boleh diubah. Namun dia sudah lali. Nak cakap lebih nanti, dah besar panjang. Pandai-pandailah fikir sendiri.
“Awek yang berkeliaran di merata-rata tempat. Petik jari sudah dapat,” balas Faris lalu tertawa. Azril dan Nizam hanya tersenyum nipis.
“Budak mana?” Giliran Azril pula bertanya.
“Rakyat Malaysia jugak,” balas Faris lantas menyedut minuman yang masih berbaki. Gayanya jelas menunjukkan dia tidak berminat untuk berbual mengenai itu. Azril dan Nizam tertawa.
“Rakyat Malaysia bangsa apa? Apa punya jawapan daa...” Azril menggeleng-gelengkan kepala.
“India-Jerman kot?” jawab Faris kurang pasti.
“Pehh... good combination tu. Baka baik,” ejek Nizam meledakkan tawanya. “Cun tak?”
“Cun memanglah cun tapi kepala tak betul sikit. Sakit jiwa melayan. Sekali dia bercakap, jadi batulah aku jawabnya.”
“Gen dominan... kau gen resesif. Memanglah kalah.” Giliran Azril ketawa lepas.
“Kepala otak kau! Minah tu memang jenis serabut. Kau bayangkan, dua jam aku dengan dia dua jam tu jugak mulut dia takkan berhenti bercakap. Sekejap kang cerita pasal mak dia, lepas tu pasal kakak dia. Lepas tu merebak-rebak sampai cerita jiran, jiran kepada jiran...”
“Kau jugak yang cari pasal. Haa, padan muka. Hai, Faris... kau tak bosan ke hidup macam ni?” Azril menyoal. Adakalanya dia sungguh hairan dengan sikap Faris. Tidak jemukah bertukar-tukar pasangan setiap masa? Ke sana ke sini berkepit dengan perempuan. Pulak tu, perempuan-perempuan yang menjadi pasangannya bukan calang-calang.
“Nak bosan apa? Aku rasa cara macam ni lagi enjoy dari kau stick pada sorang perempuan, layan dia bagai nak rak... Oh... I’m not that kinda manlah, bro.”
“Dah tu kau nak macam ni sampai ke tua? Berkepit dengan perempuan sampai mati?” soal Nizam membuka mulut. Wajah Faris direnung tepat.
Faris mengangkat bahu sambil tersenyum lebar. Setiap kali diajukan soalan sedemikian, itu respon yang akan diberi. Sememangnya dia tidak terfikir untuk setia pada yang satu suatu hari nanti.
Mana-mana perempuan yang ditemui, seorang pun tidak mampu mengikat hatinya. Malah, dia sendiri tidak pernah tahu apa itu erti jatuh cinta. Tidak pula dia menunggu seseorang itu akan hadir dalam hidupnya nanti. Semua itu jarang sekali dihiraukan. Yang dia tahu, dia seronok menjalani kehidupan sedemikian cara. Tiada komitmen dan dia bebas melakukan apa sahaja yang dia suka!
No comments:
Post a Comment