Sekebun Bunga Cinta #17

“Morning sir! Buat apa tu?” soal Zaihan tatkala terlihat Ikram yang sedang berada di dalam kayak di tengah tasik.
“Nak bawak kayak ni ke tepi. Takut hanyut jauh,” jawab Ikram seraya menolak kayak kosong ditepinya itu ke tebing.
Zaihan berdiri sambil memerhati gelagat Ikram. Tiba di tepi kayak itu ditolak masuk ke ruang yang masih kosong di antara kayak-kayak lain.
“Macam mana boleh hanyut?”
“Kena tiup angin kot malam semalam? Bila air ni berombak, kadang-kadang kayak boleh hanyut. Haa, nak buat apa ni?” tanya Ikram sebaik sahaja kakinya memijak tebing. Dia berdiri menghadap Zaihan.
Zaihan menunjukkan berus gigi dan ubat giginya ke arah Ikram. Dia tersengih kemudiannya.
Ikram ketawa. Entah kenapa setiap kali berhadapan dengan pelajar itu, hatinya akan terhibur. Ikutkan, dia bukanlah jenis orang yang peramah tetapi dengan Zaihan dia boleh berinteraksi seolah-olah sudah lama dia mengenali gadis itu.
“Sir dah gosok gigi belum?” tanya Zaihan dengan gaya selambanya.
“Mestilah dah. Saya bangun awal dari awaklah, Zaihan,” balas Ikram sambil tersenyum.
Zaihan tersengih. “Eh, kat sini memang tak boleh mandi ke?”
“Siapa cakap tak boleh? Pandai berenang tak?”
Zaihan mengangguk-angguk.
“Haa, kalau pandai, bolehlah mandi kat tasik ni,” ucap Ikram sambil menunjuk ke arah tasik. Wajahnya tampak serius.
Zaihan tersenyum sumbing. “Mandi kat tasik ya? Heee... kalau saya perenang wakil Malaysia pun belum tentu lagi, sir...”
Ikram tertawa kecil. “Tak apa, masa aktiviti floating nanti, mandi puas-puas ya? Dah, kamu pergi gosok gigi cepat-cepat. After breakfast kita nak mula berkayak.”
Zaihan mengangguk lalu tersenyum.

FARIS dan beberapa lagi rakan sekumpulannya duduk di tebing menghadap tasik sambil memerhatikan gelagat beberapa orang rakan yang lain bersiap sedia untuk berkayak.
Setiap mereka akan pergi secara berpasangan iaitu antara lelaki dan perempuan. Sebelum berkayak, mereka akan diajar terlebih dahulu untuk menggerakan kayak. Mana-mana yang sudah tahu menggunakan kayak akan berlepas terlebih dahulu.
Beberapa buah bot mengawal mereka di tengah tasik. Masing-masing kelihatan gembira di sana. Ada juga yang dibawa menaiki bot bersiar-siar di sekitar tasik sementara menanti giliran.
“Kau kena cuba Ris. Serius aku cakap memang best!” ujar Azril bersungguh ingin meyakinkan temannya itu. Dari tadi dah macam ayam berak kapur sahaja keadaannya.
“Apa guna kau join semua ni kalau tak gain experience? Bukan susah pun berkayak,” tokok Nizam pula.
“Faris!” Tiba-tiba namanya dipanggil oleh Ikram. Kelihatan pensyarah itu menggamitnya ke pinggir tasik.
Hendak tidak hendak dia bangun juga menuju ke sana. Azril dan Nizam turut menuruti langkahnya.
“It’s your turn. Awak pair dengan Jasmyn okey? Dia boleh ajar awak berkayak,” ucap Ikram memandang tepat ke wajah Faris.
Faris tersentak. Jasmyn dan Zaihan berpandangan.
“Tak naklah, sir!” tentang Jasmyn tidak bersetuju.
“Kenapa? Kawan-kawan sekumpulan awak semua dah kat tengah tasik kan? Tinggal awak dengan Faris aje sekarang. Then, you must go with him and teach him how to move the canoe. Bolehkan?” Ikram tersenyum.
Jasmyn menarik muka masam. Hendak melawan rasa segan pula dengan pensyarah itu.
“Dengan puaka ni?” Faris menuding jari ke arah Jasmyn.
Serentak Azril dan Nizam tertawa.
‘Hei, mulut kau jangan nak kurang ajar ya!” Mencerlang biji mata Jasmyn memandang pemuda itu.
“Come on. Buat apa nak bergaduh ni? Kita pergi sini untuk suka-suka, bukan nak cari gaduh,” bicara Ikram persis seorang abang menasihati adik-adiknya.
“Ambil ni ya?” Zaihan menghulurkan jaket keselamatan ke arah Faris dan Jasmyn. Hendak tidak hendak terpaksa juga mereka rela hati.
“Jom cepat!” gesa Nizam yang sudah siap memakai jaket keselamatan. Dia dan Zaihan akan berkayak bersama-sama. Manakala Azril pula berpasangan dengan Suraya.
Sempat mereka tertawa sesama sendiri melihat gelagat Jasmyn dan Faris.

“PEGANG macam ni!” ujar Jasmyn kuat sambil menunjukkan cara memegang pendayung dengan betul.
“Cakap perlahan tak boleh ke? Kau ingat aku tuli ke?!” marah Faris geram. Ketika itu kayak mereka berada di tengah tasik berhampiran dengan tebing.
“Banyak bunyi pulak. Ikut ajelah!” arah Jasmyn seperti seorang askar pelatih lagaknya.
Faris mengangkat pendayungnya ke belakang kepala gadis itu. Serasa mahu sahaja dihentak kepala Jasmyn dengan objek tersebut. Minah ni kalau koma tiga bulan baru puas hati aku!
“Kalau nak gerakkan kayak ke depan, tolak air ke belakang. Macam ni...” Jasmyn menguak air dengan pendayung dan kayak mereka mula bergerak.
Faris menurut apa yang dilakukan oleh Jasmyn. Sekejap pendayung itu di dayung di sebelah kiri dan sekejap akan digunakan di bahagian kanan secara bergilir-gilir.
Perlahan-lahan kayak mereka bergerak ke tengah tasik. Sesekali Faris mencuri pandangan ke dalam tasik. Takut juga kalau-kalau ada sesuatu di dasar air.
“Lepas tu, kalau nak reverse, kau tolak air ke depan. Kau tengok aku buat ni. Ikut perlahan-lahan...” ajar Jasmyn lagi. Ikutkan hati memang dia tidak ingin mengajar lelaki itu. Namun apa boleh buat. Sudah terpaksa...
Faris hanya diam di belakang. Mengikut sahaja apa yang ditunjuk oleh Jasmyn. Lama kelamaan, tangannya semakin pandai menggunakan pendayung. Tidak lagi kekok. Rasa takut juga mula beransur hilang. Tambahan pula, ramai lagi rakan sekelas lain yang berkayak di sekeliling mereka.
“Bila aku kuak air sebelah kanan, kau kena kuak belah yang sama. Kalau sebelah kiri, kau kena dayung belah kiri. So, sekarang dah tahu macam mana nak berkayak?” tanya Jasmyn bersahaja. Tangannya terus menolak air mengemudi kayak ke tengah tasik.
“Hmm...” balas Faris tiada perasaan.
Mereka mengelilingi beberapa pulau yang berada di situ. Jasmyn mendayung kayak mereka menuju ke pokok-pokok teratai yang tumbuh banyak di situ. Beberapa gambar dirakam.
“Pokok apa ni?” tanya Faris ingin tahu sambil menyentuh bunga teratai yang berwarna merah jambu di situ.
“Teratailah wei. Tu pun tak tahu ke?” ujar Jasmyn sinis. Buat malu betul belajar kat Fakulti Alam Bina tapi tak tahu pokok teratai! Bisiknya dalam hati.
“Kalau aku tahu tak adalah aku tanya!” balas Faris pula. Kau ingat kau hebat ke tahu nama pokok ni? Hatinya mendongkol geram.
Tiba-tiba Jasmyn mendayung kayak mereka meninggalkan kawasan pokok teratai itu. Faris hanya menurut. Semakin lama kayak mereka semakin menghampiri rimbunan pokok mengkuang di tepi tasik.
“Kau nak ke mana ni?”
Jasmyn diam. Semakin laju tangannya menguak air. Akhirnya kayak mereka tersadai di tepi pokok-pokok mengkuang di situ.
“Kejadahnya kau pergi sini?!” tengking Faris bagai hendak terkeluar anak tekak.
“Aku nak, kau gerakkan kayak ni sampai kat hujung sana,” ujar Jasmyn seraya menuding jarinya ke hujung tasik belah sana.
“Nak buat apa?” tanya Faris sedikit meninggi. Bulat matanya memandang wajah gadis itu.
“Aku nak tengok kau reti ke tidak praktik apa yang aku ajar. Mana tahu kau buat-buat reti ke tadi? Sebab aku pun dayung sama kan? Sekarang, kau sorang aje dayung bawak kayak ni kat sana. Haa, cepatlah. Kau tunggu apa lagi?”
“Malas! Aku dah penat!” ucap Faris tidak bersetuju. Memang benar tangannya sudah terasa lenguh saat itu. Perempuan ni suka-suki pula nak menyuruh aku dayung kayak ni sampai ke hujung sana.
“Kalau kau tak nak, aku pun malas nak dayung kayak ni. Kau dayung kayak ni sorang-sorang sampai kat campsite!” ugut Jasmyn sambil merakam beberapa lagi gambar di sekitar kawasan itu.
“Okey, tak ada hal. Kita duduk sini sampai malam!” Faris bertegas. Kali ini dia tidak mahu kalah dengan gadis di hadapannya itu. Apa dia fikir dia bagus sangat ke?
Jasmyn berpaling memandang Faris. Wajah lelaki itu tampak angkuh. Mahu sahaja rasanya dilibas muka pemuda itu dengan pendayung di tangan. Hui! Sabar aje aku!
“Kau nak buat ke tak nak?” soal Jasmyn meminta kepastian.
“Aku penat. Tangan aku lenguh. Kau ni tak faham bahasa ke wei?”
“Ah, suka hati kaulah. Cakap dengan orang tak reti bahasa ni memang susah. Aku nak pusing sekali lagi kat kawasan belah sana. Nak ambik gambar sekejap. Kau nak ke tak nak lantak kaulah.” Tanpa menanti Jasmyn mengundur kayaknya bergerak ke hujung sana. Tidak dihiraukan lagi perihal Faris.
Faris sekadar menurut. Malas ingin bersuara. Tangannya sudah lenguh. Dibiarkan sahaja Jasmyn mendayung sendirian. Kudrat gadis itu boleh tahan juga. Namun dia hairan, kenapa gadis itu tidak memaki hamunnya sebentar tadi. Selalunya, respon gadis itu agak aggressif.
“Sebenarnya berkayak ni boleh bagi ketenangan. Cuba kau kuak air ni perlahan-lahan, tengok keadaan sekeliling, ada angin, nampak langit yang luas, tasik yang tenang,” bicara Jasmyn sambil menghayati permandangan Tasik Chini itu.
Entah kenapa Faris terpaku seketika. Barangkali belum pernah Jasmyn bertutur sedemikian cara dengannya. Kata-kata gadis itu cuba dihayati. Beberapa saat dia cuba menikmati apa yang ada di sekeliling. Benar, jiwa ini terasa seakan tenang takala melakukan semua yang diperkatakan Jasmyn.
Kayak mereka berhenti di tengah tasik. Di situ Jasmyn tidak henti-henti merakamkan gambar dengan kameranya. Gelagat Jasmyn diperhati. Dah macam-macam rupa dan gaya posisi dah dia ingin merakam gambar. Jelas gadis itu seorang pencinta alam. Ah, buat apa aku nak selam perangai puaka ni?!
“Dah! Jom balik! Aku dah panas ni!” ujar Faris lantas mendayung kayak mereka ingin beredar membuatkan Jasmyn terpinga-pinga sebentar. Namun seketika kemudian dia menahan tawa melihat reaksi gadis itu.
Jasmyn menahan geram. Pandai pun dayung sendiri. Haa, kau dayunglah sampai campsite!


P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/

No comments: