TAMAT peperiksaan akhir, masing-masing membawa haluan sendiri. Untuk beberapa waktu mereka bakal meredakan segala tekanan yang merusuh di kepala sepanjang minggu peperiksaan.
Seperti yang telah dirancang oleh Ikram, mereka akan mengikuti satu camping di Tasik Chini. Tamat kertas terakhir mereka berkumpul di dalam kelas yang dijanjikan menjadi tempat mereka bertemu.
Hampir sejam mereka berbincang menyetujui pelbagai tugas dan tanggungjawab. Memandangkan program itu diadakan atas rancangan dan persetujuan mereka sendiri, banyak aspek keselamatan yang perlu dititik-beratkan.
Segala peralatan kelengkapan yang perlu dibawa, makanan dan sebagainya turut diberitahu oleh Ikram. Menurut Ikram, beberapa orang ranjer terlatih kenalannya turut sama menyertai mereka di Tasik Chini nanti. Masing-masing kelihatan teruja mendengar setiap rancangan yang akan diadakan nanti. Tepat jam 6 petang, mereka bersurai.
SEKALI dari dahulu tabiat bersosial Faris sudah sebati dengan dirinya, masakan dia akan melupakan dunia itu selamanya. Minggu peperiksaan sekadar tempoh sementara meninggalkan dunia tersebut. Tamat sahaja tempoh waktu itu, dia akan kembali berlibur seperti biasa.
Waktu muda hanya datang sekali. Jangan sia-siakannya! Itulah prinsip yang selalu dipahat di kepalanya. Malam itu, dia kembali menjadi Faris Aqiel yang liar. Memburu mana-mana sahaja gadis yang cukup mudah tewas dengan ayat-ayat cintanya.
Tidak perlu sehari menunggu malah sekelip mata sahaja dia mampu memikat hati si gadis lantas menjadi teman wanita sementaranya yang bisa dikelek ke mana-mana sahaja.
Jika yang dahulu bernama Iloura, kali ini gadis Melayu tulen yang bernama Syazmen pula menjadi pilihan hatinya. Lenggok tubuh Syazmen yang menari di celah-celah orang ramai menarik minatnya. Gayanya cukup menggoda dengan lirikan mata yang tersendiri. Dia gadis urban yang penuh dengan daya tarikan yang cukup memukau.
Sekali lihat pasti tiada siapa yang menyangka Syazmen seorang gadis berdarah Melayu. Barangkali solekan yang tebal membuatkan wajah gadis itu tidak tumpah seperti seorang gadis berbangsa Inggeris. Ditambah lagi dengan contact lens berwarna biru yang dipakainya.
Rambutnya yang perang mencecah punggung diikat di sebelah kiri dan kanan lalu dibiar jatuh mengurai ke tubuhnya. Meliuk-lentok mengikut gerakan tubuhnya yang kelihatan lincah menari.
Puas terkinja-kinja, Syazmen meninggalkan pentas menari mendapatkan Faris. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di sisi pemuda itu, bahunya dipaut oleh Faris.
“You were sooooo great, Syazmen. I really love the way you danced. Very energetic!” puji Faris sambil meneguk air berkarbonat yang dipesannya sebentar tadi.
Syazmen tertawa manja. “Well, apa guna I jadi choreographer kalau tak tahu menari?”
“Really?” soal Faris kelihatan terkejut. Betapa dia tidak terlalu mengambil tahu akan latar belakang perempuan itu. Apa yang dia mahu sekadar kepuasan berdamping dengan gadis seperti Syazmen di kelab-kelab seakan itu.
“Yea. But it’s only my part time job. Sajasuka-suka join my cousin’s business,” beritahu Syazmen seraya menyedut air di cawan.
“Then, bolehlah I sign up for your class after this?”
“Eh, jomlah! Betul ke ni?” Syazmen kelihatan teruja. Posisi tubuhnya beralih menghadap Faris.
Faris ketawa. “Hmm, if yes?”
“Of course I will feel very excited. Hei, anytime you feel free to join my class, you can just attend it, baby.”
“How about the fee then?”
“Come on...Why must you pay for my class, handsome? Buat apalah I nak berkira dengan you? It’s free. Betul ke ni you nak join?” soal Syazmen masih meminta kepastian dari pemuda itu.
“Hmm, kalau nak join sekejap-sekejap tu bolehlah kot? I’m not really interested in dancing. You tengok sendirilahkan kalau I menari macam mana.”
“Yeah... just like a crab.” Syazmen tergelak kecil dan kembali menyambung kata.“But I can teach you. Dancing is the easiest thing to be followed, dear. As long as you work hard for it, then you’ll become a very good dancer. And whenever you dance, do not try to dance better than anyone else but try to dance better than yourself.”
“Kalau I nak exclusive class, what would you say?” soal Faris dengan lirikan matanya tersendiri. Ada senyuman nipis tergaris pada bibirnya.
“What do you mean?”
“Just you and me?” Faris tersenyum menggoda. Hidung Syazmen dicuit.
Syazmen tertawa kecil. “I’ll consider about it later on,” ucap Syazmen sambil mengusap pipi Faris lembut. Juga melirik matanya dengan gaya menggoda.
“But I think I am not going to risk breaking a leg.”
Syazmen tertawa lucu.
“NAK ke mana pagi-pagi ni?” soal Ainul yang sedang menggunting pokok-pokok hiasan di laman rumah.
“Nak pergi cari barang untuk pergi camping sekejap. Nak ikut ke, mama?” gurau Jasmyn sambil tersenyum nakal. Enjin skuternya dihidupkan.
Ainul mencebik. “Kenapa tak bawak kereta?”
“Myn pergi rumah Lia dulu. Barang-barang nanti tinggal kat rumah dia sebab nanti bertolak pakai kereta Auntie May.”
“Hmm, Yalah. Jangan lewat sangat balik tu. Lunch kat luar ke ni?”
“Ha’ah. Nak tengok wayang sekejap dengan dia orang.” Jasmyn tersengih-sengih.
“Balik terus apa salahnya? Nak jugak melencong ke tempat lain. Tak puas-puas lagi semalam merayap sampai pukul 3 pagi?”
“Ya udah... selesai aja nonton aku terus pulang ya ma? Okey ma, aku permisi dulu ya?” ucap Jasmyn dalam loghat Indonesianya sambil mengundur skuter keluar dari pintu pagar.
“Hai, macam-macam budak ni. Kalau sepuluh orang anak macam dia, alamatnya tunggang terbaliklah hidup aku,” keluh Ainul sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Kelibat Jasmyn sekelip mata sudah hilang dari pandangan.
BEBERAPA alatan seperti sleeping bag dan khemah dibeli oleh mereka. Beberapa barang keperluan makanan juga turut dibeli. Coklat merupakan makanan yang paling ideal untuk dibawa ketika melakukan aktiviti camping. Selain mudah dibawa, ia juga membekalkan tenaga sepanjang aktiviti dijalankan.
Hari itu, mereka berempat meluangkan masa sepenuhnya bersama-sama. Selesai sahaja membeli barang, mereka ke Mid Valley menonton wayang. Habis sahaja menonton mereka bermain bowling. Hingga waktu menginjak malam, barulah mereka meninggalkan pusat membeli-belah itu.
“Tak sabarnya nak pergi!” Zaihan bersuara tiba-tiba. Ketika itu kereta mereka baru sahaja keluar dari tempat letak kereta menuju ke lebuh raya.
“Tak sabar nak pergi ke tak sabar nak menggedik dengan SirIkram?” sindir Natalia bersahaja.
Zaihan menayang gigi. “Mana ada! Aku memang excited gila ni nak pergi. Mana pernah aku join aktiviti camping macam ni. Alah, SirIkram tu kira macam perangsang sampingan macam tu aje. Kalau dia tak ada pun tak apa tapi kalau ada lagi bagus.” Zaihan ketawa sendiri dengan kata-katanya.
Masing-masing mencebik.
“Aku rasa SirIkram tu dah naik muak tengok muka Zai ni. Dahlah hari-hari menempel muka kat bilik dia. Kalau aku, naik menyampah jugak tengok,” kutuk Jasmyn selamba.
“Eh, mana kau tahu? Entah-entah dia teruja bila tengok aku consult dia hari-hari. Kalau tak, tak adalah dia offer nak belanja aku makankan? Tapi aku tak nak aje. Malas... nanti kena gosip pulak. Yalah, orang dah glamour malas nak cari glamour lagi,” ucap Zaihan dengan nada berlagak. Namun niatnya sekadar ingin bergurau.
“Ek elleh. Lu kecahlah Minah!” Serentak suara Qaisyah, Zaihan dan Jasmyn mengutuknya. Gamat keadaan dalam kereta itu dengan suara mereka.
“Entah betul tidak Sir Ikram offer dia. Tak boleh percaya perempuan ni. Bab membohong nombor satu!” bidas Jasmyn.
“Hmmm, nak percaya tak nak percaya lantak kau orang,” ucap Zaihan mendatar.
Serentak suara tawa rakan-rakannya kedengaran. Seperti biasa, dialah yang selalu dibahan oleh mereka biarpun awalnya dia yang paling kecoh.
Hampir setengah jam, barulah mereka sampai di kawasan perumahan Qaisyah dan Zaihan. Setelah menghantar kedua-duanya, Natalia terus memandu pulang ke rumahnya. Hanya tinggal dia dan Jasmyn di dalam kereta.
Tiba sahaja di rumahnya, Jasmyn terus meminta diri untuk pulang. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 10. Teringat akan janjinya dengan Ainul untuk pulang awal. Kesian mama... desis hatinya sendirian.
No comments:
Post a Comment