Sekebun Bunga Cinta #12

SUDAH dua kali mereka memusing kawasan tasik itu. Yaish dan Afreena sudah kelihatan termengah-mengah dengan renek-renek peluh yang mula kelihatan di dahi mereka. Faris membawa kedua-duanya duduk di bangku di tepi tasik.
Botol air yang dibekalkan oleh Datin Syahifah tadi diberikan kepada Yaish dan Afreena. Hampir separuh air di dalam botol itu diteguk oleh mereka.
“So, how is it?” soal Faris sambil tersenyum memandang kedua-duanya.
“Kaki adik sakit...” jawab Afreena sambil menjulurkan kakinya ke arah Faris. Perlahan-lahan kaki Afreena diurut-urut.
“It’s great but quite tired.” Perlahan sahaja suara Yaish menjawab. Nafasnya masih termengah-mengah.
“How about if we walk for the next round?” Ada senyuman sinis terukir pada bibir Faris. Serentak Afreena dan Yaish memandangnya. Masing-masing menggeleng laju membuatkan Faris tertawa.

“MYN, Myn!!” Tiba-tiba lengan Jasmyn ditarik oleh Zaihan dari belakang. Habis tercabut earphone yang melekat di telinganya.
“Woit! Kau ni kenapa? Kena sampuk apa?” soal Jasmyn yang terkejut dengan tindakan Zaihan sebentar tadi.
“Ish!!” Lengan Jasmyn dipukul. “Itu, kau tengok sana tu!” ujar Zaihan sambil menuding jarinya ke arah satu kawasan di hadapan mereka.
Serentak Jasmyn menghalakan pandangannya ke arah yang ditunjukkan Zaihan. “Apa dia? Kau nak tunjuk apa ni?”
“Farislah! Kau tak nampak?”
Seketika Jasmyn memakukan pandangannya. Beberapa saat kemudian barulah dia perasan akan seraut wajah yang dikenali itu. “Bujang Sudin!” ujarnya lantas mencebik. “Dah, biarlah dia kat sana. Yang kau sibuk-sibuk sangat apasal?”
“Tak adalah... Budak-budak dengan dia tu anak siapa erk?”
Jasmyn berpaling kembali melihat kelibat Faris. Barulah dia perasan ada dua orang kanak-kanak di sebelah pemuda itu. “Ah, anak buah dia kot. Dah, dah, dah... kau tak payah nak sibuk pasal dia. Jom!” Tangan Zaihan ditarik seiring dengan lariannya membuatkan gadis itu terpinga-pinga.
Namun, ketika melintasi laluan di hadapan Faris, sempat Jasmyn menjeling. Namun sesaat kemudian cepat-cepat dia mengalihkan pandangan. Topi yang dipakai ditarik sedikit bagi melindungi wajahnya. Lariannya diteruskan.
“Zai, balik nanti aku nak singgah supermarket sekejap ya? Mak aku suruh beli barang dapur sikit,” beritahu Jasmyn terus berlari menyusuri tasik. “Oi Zai, kau dengar tak aku cakap ni?” Serentak Jasmyn berpaling tatkala tiada sebarang sahutan dari Zaihan dari belakang.
Bagai hendak terkeluar biji matanya tatkala melihat Zaihan sedang berbual-bual dengan Faris di sana. Dia mengetap bibir geram. “Tak guna punya kawan. Aku bercakap sorang rupanya!” gerutu Jasmyn sendirian di situ.
“Zaihan!!!” Sekuat hati dia bertempik memanggil nama sahabatnya itu.
Zaihan terkesima. Spontan pandangannya terarah pada sebatang tubuh Jasmyn di kejauhan sana. Lantas dia melambai-lambaikan tangannya ke arah Jasmyn. Seketika kemudian fokusnya kembali ke wajah Faris.
“Kau cakap tadi kau sorang?” persoal Faris dengan dahi yang berkerut. Hatinya sudah berkepal tatkala melihat figura Jasmyn di sana.
“Lah... memanglah sorang. Sorang waktu aku pergi kat kau. Datang sini dengan Jasmyn.” Zaihan tersengih lebar. Sepintas lalu dia memandang ke arah Jasmyn. Dilihat kelibat gadis itu sudah jauh berlari.
“Ni dah tak larat nak larilah ni ya?” ujar Zaihan sambil tersenyum memandang kedua-dua anak buah Faris. Masing-masing mengangguk.
“Selalu ke datang sini joging?” tanya Faris sekadar berbasa basi. Sungguhpun Zaihan ialah teman rapat kepada Jasmyn, namun dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan gadis itu. Namun hubungan mereka tidaklah terlalu rapat. Sekadar teman biasa. Kalau bertembung sekadar berbalas senyuman, itu sahaja.
“Tak adalah selalu. Kalau rasa nak joging datanglah. Lagipun joging ni pun sebab nak hilangkan tekanan sebelum exam. Hmm, rajin jugak kau datang berjoging dengan anak-anak buah kau ek?”
Faris tersenyum. Sekilas dia memandang Afreena dan Yaish yang sedang berbual. Bermacam soalan yang keluar dari mulut Afreena, tidak jemu Yaish menjawabnya.
“Ish, tak adalah. Kebetulan dia orang ni tidur kat rumah aku. Itu yang saja nak bawak dia orang datang sini.”
Zaihan hanya tersenyum sambil melarikan semula pandangannya ke arah Yaish dan Afreena. “Okeylah. Aku nak kasi habis satu pusingan lagi ni. Yaish dengan Reena, Kak Zai pergi dulu ya?” Sempat pipi kedua-duanya dicubit sebelum dia beredar meninggalkan mereka.
Yaish dan Afreena mengangguk-angguk sambil melambai-lambaikan tangannya mereka ke arah Zaihan.
“Is she your girlfriend?” soal Yaish tiba-tiba sambil berpaling memandang Faris. Afreena di sebelahnya sudah tersenyum menayang gigi. Kecil-kecil pun sudah pandai berfikir yang bukan-bukan.
Mendengar soalan yang tidak terduga itu keluar dari mulut Yaish, Faris lantas tertawa. “Bukanlah. Kakak tu kawan Pak Su kat universiti. Pak Su satu kelas dengan dia... Hmm.. jom kita balik? Dah panas ni.”
Yaish dan Afreena melompat turun dari bangku. Tangan Faris dicapai dan mereka sama-sama melangkah ke kereta.
Di dalam kereta Yaish dan Afreena tidak henti-henti berceloteh. Sesekali pasti tawa Faris meletus mendengar cerita-cerita yang keluar dari mulut mereka.
Namun entah kenapa, selintas lalu wajah Jasmyn memasuki benaknya. Riak wajah jengkel gadis itu jelas terbayang tatkala melihat kewujudannya di tasik itu sebentar tadi. Ah, macam aku nak sangat nak terserempak dengan kau! Gumam hatinya tidak semena-mena.

SELESAI membayar kesemua harga barang di kaunter, Jasmyn menjinjit plastik-plastik berisi barang itu ke kereta. Zaihan hanya menurut langkahnya.
“Meriah kau bersembang tadi?” ujar Jasmyn sebaik sahaja punggungnya mencecah kusyen kereta. Enjin kereta dihidupkan.
“Alah, tegur-tegur biasa aje. Kita kalau dah jumpa orang yang kita kenal kenalah tegur. Takkan nak buat sombong aje.”
“Ah, kau tu yang ramah terlebih!” potong Jasmyn dengan nada suara yang kurang menyenangkan.
Zaihan tersenyum mengulum sambil berpaling ke luar tingkap. Tahu sangat apa yang mengisi benak temannya itu.
“Yang kau menyengih ni apahal?” sergah Jasmyn menjeling Zaihan geram.
“Aku ni rakyat Malaysia. Rakyat Malaysiakan ramah-tamah? Tegur menegur memang patut dijadikan amalan. Ish, kau ni... Nak mengamuk pulak... tapikan, aku rasa bagus jugak Bujang Sudin kau tu. Rajin bawak anak buah pergi joging. Kebapakan gitu,” celoteh Zaihan lagi sambil tertawa mengekek.
“Ha’ah, ingatkan tahu berkepit dengan bohsia aje!”
Tawa Zaihan meletus. “Hei, kau ni kenapa? Angin tak tentu pasal? Bukan dia usik kau pun tadi?”
Jasmyn diam. Tidak memberi sebarang respon. Fokusnya ditumpukan sepenuhnya pada jalan di hadapan. Dalam diam ia memendam rasa benci yang teramat. Ikutkan, bukan takat muka aku tak boleh tengok, nama pun aku tak boleh dengar!
“Biarlah dia, Myn. Kau tak payah nak buat perangai macam budak sekolahlah. Faris tu okey aje kot? Cuma mungkin ada sikitlah perangai dia yang tak boleh diterima masyarakat. Kau tak payahlah nak buat muka tapai basi macam tu dengan aku. Buruk benar aku tengok!”
“Heeh!! Aku memang tak suka dialah. Aku benci gila kau tahu tahu tak? Benci tahap nak mampus!” luah Jasmyn sambil menghentak stereng keretanya.
Zaihan menelan air liur. Tidak bersuara lagi. Sawan tarik apa minah ni?


P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/

No comments: