TINGGAL beberapa hari sahaja lagi peperiksaan akhir bermula. Faris sudah mula lekat di rumah. Tidak lagi keluar berpeleseran sehingga menginjak Subuh baru pulang ke rumah. Masanya banyak dihabiskan di dalam bilik mentelaah pelajaran. Jika ada kelapangan dia akan ke kampus mengulangkaji pelajaran bersama Nizam dan Azril di perpustakaan ataupun studio.
Segala perihal ‘dunia’nya ditinggalkan begitu sahaja. Biar berpuluh- puluh gadis menghubunginya tidak diendahkan. Baginya, peperiksaan itu lebih penting dari melayan mereka yang tidak mendatangkan untung sesen pun!
Petang itu, tiba sahaja di rumah dia disambut oleh anak-anak buahnya, Yaish dan Afreena. Berteriakan riang kedua-dua beradik itu di muka pintu tatkala melihat Faris keluar dari kereta.
“Eh... ada abang dengan adik? Bila sampai ni?” soal Faris lantas membongkok mencium pipi kedua-dua anak saudara kesayangannya itu.
“Baru sampai,” jawab si adik yang berusia 4 tahun itu petah lalu memaut leher Faris minta didukung. Lantas tubuh montok Afreena didukung sambil tangannya memimpin tangan Yaish ke ruang tamu. Farisya dan Syakran kelihatan sedang berbual-bual bersama Datin Syahifah.
Tangan Farisya dan Syakran disalami. Dia kemudian melabuhkan punggung bersebelahan dengan Datin Syahifah. Yaish dan Afreena masih setia mengulitnya.
“Bila start exam, Ris?” soal Syakran sekadar berbasa basi.
“Rabu ni... tapi ada lagi projek yang belum siap. Itu yang ke hulu ke hilir dari kampus ke rumah tu. Abang Syakran dengan Kak Ngah dari mana ni?”
“Dari rumah. Saja nak datang jenguk mama dengan papa. Lagipun next week Kak Ngah busy. Tak sempat nak bawak Yaish dengan adik datang sini. Sibuk aje bercakap pasal Pak Su dia orang. Sikit-sikit Pak Su, sikit sikit Pak Su,” cerita Farisya mengenai perihal kedua-dua anaknya sambil menjeling ke arah mereka.
Faris hanya tersenyum. Kepala Yaish dan Afreena diusap-usap. “Tidur kat sinilah dengan Pak Su. Boleh main-main dengan nenek dengan Mak Uda.”
“Nak, nak!” sahut Afreena dan Yaish pantas.
Syakran dan Farisya tertawa melihat gelagat kedua-duanya.
“Hai, memang pantanglah budak berdua ni kalau Pak Su dia yang ajak kan.... Haa, ajak lagi. Kau tu esok lusa dah nak exam. Kak Ngah bukan tak bagi kalau dia orang ni nak tidur sini, nanti tak jadi kerja kau melayan dia orang ni.”
“Alah, tak apalah... esokkan Sabtu. Mama tak ke mana-mana. Fazie pun ada nak tengok-tengokkan dia orang ni. Lagipun sunyi sangat rumah ni kalau cucu-cucu mama tak ada. Nak tunggu Abang Farid kau balik, tak Raya Puasa, raya Haji baru nampak batang hidung. Papa kau pulak hujung minggu ke pangkal minggu ke kerja hilang aje. Lesap entah ke mana-mana. Sibuk mengalahkan politician,” ujar Datin Syahifah panjang lebar.
Faris, Farisya dan Syakran tertawa lucu mendengar bebelan Datin Syahifah.
“Betul ni Yaish dengan adik nak spend time kat rumah nenek?”
“Adik nak! Kat rumah tak ada kawan. Bibik tu adik ajak main dia tak nak.”
“Oh ye ke? Habis tu, adik main dengan siapa? Dengan abang?” soal Faris merenung tepat ke wajah Afreena.
“Alah, main anak patung memanglah bibik tak nak,” sampuk Yaish yang berusia 8 tahun lalu mencebik.
“Pak Su, bawak adik pergi playground esok boleh?” soal Afreena tanpa mempedulikan abangnya. Kepalanya mendongak memandang Faris.
Syakran dan Farisya sudah tersenyum-senyum sesama sendiri.
“Tak bolehlah, adik. Paksu ada exam. Pak Su kena study. Adik main dengan nenek kat rumah dahlah. Kan ada playground jugak kat luar tu?” ujar Syakran lembut.
Afreena menayang wajah sedihnya. Wajah yang tadi ceria berubah mendung. Dia memainkan jari-jemarinya yang comel di sisi Faris.
“Tak apa Abang Syakran. Esok Ris free lagi pun. Hmm, esok Pak Su bawak adik jalan-jalan ya? Kita pergi joging kat tasik nak?” soal Faris sambil tersenyum memandang anak buah kesayangannya itu.
Afreena melirik matanya sekilas ke arah Syakran dan Farisya. Masih mempamerkan reaksi muramnya. Serentak tawa yang lain meletus. Lucu melihat gelagat Afreena yang kuat merajuk itu.
SEAWAL 6 pagi, Afreena dan Yaish sudah terjaga. Ketika itu Faris masih lena diulit mimpi.
“Pak Su bangun! Cakap hari ni nak pergi tasik!” teriak Yaish sambil menggoyang-goyangkan lengan Faris. Namun Faris tidak memberi sebarang respon. Masih dengan lenanya.
“Adik, Pak Su penatlah. Sekejap lagilah kita kejut Pak Su,” saran Yaish memandang Afreena yang berada di sisi kanan Faris yang masih lena.
Sejenak Afreena memandang wajah bapa saudaranya itu. “Abang pergilah mandi dulu. Nanti dah siap Pak Su bangunlah,” balas Afreena pula.
Yaish memandang ke sekeliling. “Kalau nak mandi kena mintak towel dengan nenek dulu.”
Afreena kelihatan bingung-bingung. “Pak Su...” Perlahan sahaja suaranya memanggil Faris. Ditilik wajah Faris dengan jarak yang dekat.
“Hmmm...” Suara Faris kedengaran. Perlahan-lahan dia membuka mata. Keadaan bilik sudah terang benderang.
“Pukul berapa ni?” soal Faris seraya mencapai jam tangan yang diletakkan di atas meja di tepi katil. Sambil memisat-misat mata, dia menilik waktu.
“Baru pukul 6.10 pagi. Awalnya adik dengan abang bangun?”
“Pak Su jadi tak pergi joging?” soal Afreena yang duduk bersila di tepi Faris.
“Jadi... tapi ni kan awal lagi?”
“Pak Su mandi dulu! Siap pakai baju kita breakfastlepas tu kita pergi joging,” ujar Yaish tanpa mempedulikan Faris yang separuh mamai menahan rasa kantuk.
Faris tertawa kecil melihat gelagat kedua-duanya. Seketika dia menguap. Rasa mengantuk masih belum hilang. Namun hendak tidak hendak terpaksa juga dia bangun dari katil demi melayan kerenah Yaish dan Afreena.
“Abang pergi mandi dululah. Nanti Pak Su nak mandikan adik pulak. Ya?” suruh Faris lalu mendukung Afreena turun dari katil.
Yaish hanya mengangguk-angguk. Setelah mencapai tuala dari Faris, dia beredar ke bilik air. Sebaik sahaja Yaish selesai, dia memandikan Afreena.
Dia tidak kekok menguruskan kedua-duanya. Barangkali dia sudah terbiasa melayani kerenah anak-anak buah yang lain. Bukan sahaja Yaish dan Afreena, malah anak-anak abangnya yang sulung juga biasa menjadi rapat dengannya sejak mereka kecil lagi.
“Okey, siap!” ucap Faris sambil menepuk-nepuk pipi Afreena. Rambut Afreena yang panjang ditocang kiri dan kanan.
“Dah cantik ke, Pak Su?” soal Afreena sambil memain-mainkan rambutnya yang ikal itu.
Faris tersenyum lalu mengangguk. Rambut depan Afreena yang separas dahi itu diusap-usap. “Ya, cantik... dah, jom kita turun.” Faris mengangkat punggung dari katil seraya menilik jam di tangan. Jarum jam tepat menunjukkan pukul 7 pagi. “Abang... cari apa lagi tu?” soal Faris memandang Yaish yang sedang mencari sesuatu di meja solek.
“Perfume Pak Su...”
“Lah, nak pakai perfume jugak?”
Terkebil-kebil Yaish memandang Pak Sunya. Faris sudah tertawa di situ. Namun dilayan juga kehendak Yaish. Beberapa botol minyak wangi koleksinya diambil.
“Hmm, Yaish pilih nak yang mana?” soal Faris sambil membuka botol minyak wangi jenama Dunhill, Hugo Boss dan Polo Black kepunyaannya.
Satu per satu minyak wangi itu dicium. “Yang nilah, Pak Su...” ujar Yaish menunjukkan botol minyak wangi jenama Dunhill di hadapannya.
Minyak wangi itu disembur ke nadi dan belakang telinga Yaish. Bau harum menusuk ke hidung.
“Adik nak jugak, Pak Su!” ucap Afreena sambil menghulurkan tangannya kepada Faris.
“Mana boleh. This is just for men!” balas Yaish memandang adiknya.
“Untuk woman tak ada ke, Pak Su?”
Faris tergelak besar dengan pertanyaan Afreena. Hatinya bagai digeletek saat itu.
“Dah, dah... meh sini Pak Su sembur sikit. Jangan gaduh-gaduh...” ucap Faris lantas menyembur sedikit minyak wanginya ke baju Afreena.
“Hmm, dah wangi dah?” Tanya Faris memandang kedua-duanya. Serenak mereka mengangguk. Adui budak-budak ni... Dia tersenyum sendirian. Tanpa berlengah lagi, mereka keluar dari bilik.
“Amboi, wanginya! Ni Pak Su ke adik dengan abang yang wangi ni?” tegur Faziela yang sudah duduk di meja makan menanti mereka untuk bersarapan. Dilihat Yaish dan Afreena sudah lengkap dengan sepasang pakaian sukan mereka.
“Nenek mana, Mak Uda?” soal Yaish memandang ke sekeliling mencari kelibat Datin Syahifah.
“Nenek kat dapur. Dah, makan cepat. Nanti lambat pulak nak pergi joging.” Pinggang yang berisi nasi goreng itu diletakkan di hadapan Yaish dan Afreena.
Begitu berselera kedua-duanya menjamah menu sarapan pagi itu.
“Kau nak bawak dia orang joging kat mana ni, Ris?” soal Faziela.
“Taman Tasik Titiwangsa,” balas Faris ringkas.
Tidak lama kemudian, Datin Syahifah muncul. “Morning...” sapa Datin Syahifah seraya mencium kepala Yaish dan Afreena dan kemudian melabuhkan punggung di sebelah Faziela.
“Waaa... wangi-wangi ni nak pergi joging ke nak pergi mana ni?” soal Datin Syahifah melemparkan senyuman ke arah kedua-dua cucunya.
“Joging!” serentak kedua-duanya menjawab.
“Ooh, nak pergi joging... nak pergi joging kat mana?”
“Kat tasik. Nenek nak ikut?” respon Yaish memandang tepat ke wajah Datin Syahifah.
“Boleh ke nenek ikut?” tanya Datin Syahifah kembali. Faziela dan Faris sekadar memerhati gelagat Datin Syahifah dan cucu-cucunya itu.
“Boleh. Tapi nenek kena pakai baju macam adik ni,” balas Afreena sambil menunjukkan bajunya kepada Datin Syahifah.
“Ooh, mana nenek ada baju macam adik tu. Pakai macam ni tak boleh?” soal Datin Syahifah menunjuk blouse yang sedang dipakainya.
“Tak boleh. Nanti kalau nenek lari kain nenek tersangkut.”
Serentak tawa Datin Syahifah, Faziela dan Faris terburai mendengar kata-kata Afreena.
“Tak apalah. Nenek tak mahu ikutlah macam tu. Biar adik dengan abang ajelah yang pergi. Nanti kain nenek sangkut, payah pulak ya?” ujar Datin Syahifah dengan tawa yang masih bersisa.
Siap bersarapan, mereka terus berangkat. Berkejar-kejar kedua-duanya ke kereta.
“Bye nenek! Bye Mak Uda!” jerit Yaish dan Afreena sambil melambai-lambai tangan mereka ke arah Datin Syahifah dan Faziela.
No comments:
Post a Comment