“SENYAP aje rumah ni. Niza dengan Jasmyn tak balik lagi ke?” soal Ramizan yang baru sahaja pulang dari mengikuti kursusnya di Johor Bharu. Dua minggu suaminya itu tiada di rumah.
Ainul sudah biasa dengan kesibukkan suaminya itu. Malah dia memahami sepenuhnya kerjaya Ramizan. Karier sebagai seorang arkitek sememangnya menuntut banyak masa yang hanya dipenuhi dengan tugasan ke sana ke mari.
“Belum lagi. Niza shift petang minggu ni. Pagi esoklah baru balik. Jasmyn kat kampus lagi. Sekejap lagi adalah tu. Abang pergilah naik atas dulu, mandi. Saya nak habiskan kerja kat dapur dulu.”
Ramizan menyandarkan tubuhnya ke sofa. Penat menghadiri kursus seakan-akan tidak akan hilang untuk beberapa hari ini. Tubuhnya benar-benar kepenatan.
“Sekejap lagilah, Nul. Badan ni penat sangat,” ucap Ramizan menancapkan pandangan ke peti televisyen yang terpasang.
“Hmm, tak apalah. Abang berehatlah dulu. Nul nak ke dapur dulu siapkan makan malam.” Ainul bangkit dari sofa beredar dari ruang tamu.
“Is dengan Jeff tak balik ke, Nul?” soal Ramizan mengenai perihal anak sulung dan anak keduanya.
“Minggu lepas ada dia orang balik. Abang call lah dia orang suruh balik sekejap.” Suara Ainul kedengaran sayup-sayup dari dapur.
“Hmm, tak payahlah. Dah lewat ni. Esok pun dia orang kerja.”
Senyap. Tiada respon dari Ainul. Barangkali sedang sibuk menyiapkan makan malam di dapur agaknya. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi enjin motor memasuki garaj.
Beberapa minit kemudian kedengaran pintu dibuka dari luar. Serentak wajah Jasmyn terjengul di muka pintu.
“Papa!” Terjerit Jasmyn tatkala melihat kehadiran Ramizan di ruang tamu. Pantas dia berlari mendapatkan Ramizan. Dicium pipi papanya itu berkali-kali.
“Bila papa sampai?” soal Jasmyn lantas melabuhkan punggung di karpet menghadap Ramizan. Bersinar-sinar matanya menatap wajah lelaki yang amat dikasihinya itu.
“Baru aje. Papa tak larat nak naik atas. Sakit pingganglah,” adu Ramizan pada anak bongsunya itu. “Kenapa balik lambat hari ni?” soal Ramizan memandang wajah anak itu dengan penuh kasih. Sememangnya hubungan mereka agak rapat sejak dari dahulu.
Sejak dari kecil Jasmyn kerap menemaninya ke mana-mana. Malah sehingga meningkat usia remaja hubungan kedua beranak itu masih sama seperti dahulu.
Hujung minggu, jika ada kelapangan Jasmyn akan mengajak Ramizan melakukan aktiviti luar rumah. Adakalanya mereka akan bermain bowling, memancing dan bermain tenis.
Bukan itu sahaja, Jasmyn juga kerap mengikut Ramizan menyertai aktiviti lasak seperti memanjat gunung dan meredah hutan. Dia dan papanya masing-masing berkongsi minat yang sama. Malah lebih dari itu dia turut menjejaki langkah papanya dalam jurusan seni bina.
“Ada kerja kat studio dengan kawan-kawan tadi. Kesiannya kat papa...” ucap Jasmyn sambil memicit-micit lengan Ramizan.
“Biasalah... kerja, Myn. Mana ada kerja yang tak penat. Sakit pun kenalah tahan,” ujar Ramizan sambil melunjurkan kakinya ke depan.
“Malam ni papa rehatlah puas-puas. Esok papa kerja tak?”
“Tak... Papa ambik cuti tiga hari.”
Jasmyn hanya membisu. Tangannya masih memicit lengan Ramizan.
“Aik? Dah balik dah budak bertuah ni? Hmm, dah pergi naik atas mandi. Lepas solat Maghrib nanti turun makan,” arah Ainul laksana prebet lagaknya.
Jasmyn menjeling papanya. Dia tersengih sambil membuat isyarat mata. Ramizan sekadar tersenyum. Faham dengan bahasa tubuh anaknya itu. Itu tak lainlah tu kalau bukan mengejek sikap mamanya sendiri!
SUDAH 5 jam Jasmyn menghabiskan masanya di studio menyiapkan beberapa tugasan yang masih belum dibereskan. Kali ini dia ditemani Qaisyah. Zaihan dan Natalia sudah lama pulang sebaik sahaja kelas tamat pukul 1 petang tadi. Kata mereka ada hal mustahak yang perlu diuruskan.
Hari Jumaat biasanya tidak ramai yang akan menghabiskan masa di studio. Jika ada pun jumlah mereka boleh dikira dengan jari.
Jasmyn dan Qaisyah mengorak langkah menuju ke tempat letak motor yang berdekatan. Seperti biasa, hari ini dia akan menghantar Qaisyah pulang ke rumah.
Tiba di ruang parkir motosikal, pandangannya terkalih pada sekumpulan pelajar lelaki sefakultinya yang sedang menuju ke tempat letak kereta. Serentak juga anak matanya menangkap seraut wajah Faris di situ.
“Minah rempit wei!” Satu suara dari sekumpulan pelajar lelaki sebentar tadi kedengaran. Serentak Jasmyn dan Qaisyah berpaling ke arah mereka.
Seketika gelagat mereka diperhati. Dia cukup yakin kata-kata itu ditujukan kepadanya. Hatinya tiba-tiba terasa mendidih.
“Wei, minah rempit mana pakai skuter. Apa barang merempit pakai skuter.” Salah seorang yang lain dari mereka pula mengejek. Serentak pelajar-pelajar lelaki itu ketawa.
“Kurang ajar!” Jasmyn mengetap bibir. Rasa hatinya tidak mampu di tahan-tahan lagi. Silap-silap ni boleh keluar api macam raksasa dalam cerita Ultraman!
“Dahlah. Kau tak payah nak hiraukan dia orang. Biarkan aje,” ujar Qaisyah tidak mahu Jasmyn bersuara ataupun melawan.
“Pakai seluar macam kena tokak anjing. Macam stylolah konon-konon.” Kali ini Faris yang bersuara. Serentak itu juga suara tawa rakan-rakannya kedengaran. Kemudian siulan dan nyanyian mengejek mereka kedengaran.
Jasmyn hilang kawalan. Topi keledar yang berada di tangan diletakkan ke tangan Qaisyah. “Kau pegang ni! Tunggu sini sekejap! Biar aku sekolahkan budak-budak tu. Mangkuk hayun!”
Tidak sempat Qaisyah menghalang Jasmyn sudah melangkah menghala ke arah Faris dan rakan-rakan sekelasnya yang lain.
“Wei mangkuk! Apasal mulut korang ni masing-masing macam longkang?” sergah Jasmyn dengan wajah yang menyinga. Langsung tidak gentar menghadapi sejumlah pelajar lelaki di hadapannya itu.
“Pehhh! Takutnya!” ujar Faris dengan mimik muka yang sungguh menjengkelkan Jasmyn. Macam bapok pun ada.
“Wei, kau ingat kau bawak kawan-kawan kau semua ni, aku takutlah? Setakat nak ejek perli-perli dari jauh, tak payahlah.”
“Yang kau terasa apahal? Ada kita orang usik kau? Ada kita orang sebut nama kau? Kang tak pasal-pasal ada jugak makan penunjal jari hantu aku ni,” kata Faris bersahaja dengan lenggok suara yang berlagu-lagu. Anak mata Jasmyn ditenung tepat.
“Lah, menunjal aje yang tahu? Benda lain kau tak tahu? Ish, ish, ish... Hei, kau dengar sini. Kau ingat kau ramai kawan, ramai orang kenal kau, aku takutlah? Tak payah nak perasan baguslah. Perangai macam hampeh. Kau pergi mampus lagi baiklah wei!”
Bergerak-gerang rahang Faris menahan geram. Wajah Jasmyn dipandang seakan-akan ingin ditelan gadis itu hidup-hidup. Rasa bencinya begitu meluap-luap waktu itu.
“Apa tengok?! Muka macam cangkul tumpul. Dasar Bujang Sudin!” tempelak Jasmyn lalu berpaling ingin beredar. Malas menghadap lelaki itu lama-lama. Mual tekak ni rasa nak nak muntah indigo!
Namun baru selangkah tiba-tiba Faris menghalang perjalanannya. Pantang sungguh rasanya setiap kali mendengar Jasmyn menggelarnya dengan panggilan itu.
“Wei betina!” Pergelangan tangan Jasmyn dicengkam kuat lantas dilepaskan.
“Eh, apahal kau ni nak pegang-pegang pulak?!” Suara Jasmyn meninggi. Spontan bahu Faris ditolak. Sungguh dia terkejut dengan tindakan pemuda itu yang berani menyentuhnya.
Qaisyah yang berada di hujung sana tidak mampu berbuat apa-apa. Hatinya resah takut kalau-kalau Faris bertindak kasar. Ya ALLAH ya TUHAN ku, selamatkanlah Jasmyn. Doanya di dalam hati.
Faris mara lalu menghampiri Jasmyn. “Kau dengar sini. Kau jangan ingat kau ni betina, aku tak berani nak hentam kau. Kalau dah perangai haprak macam kau ni, aku boleh belasah bila-bila masa aje,” ujar Faris dengan rasa yang mendongkol.
“Dan jangan ingat kalau kau tu jantan, aku tak boleh belasah kau. Kalau kau nak tunjuk terer, pergi tempat lain bukan kat sini. So, can you please just back off?!” tengking Jasmyn dekat ke muka Faris lantas terus beredar.
Puas hati aku!
No comments:
Post a Comment