“MAMA...”
“Apa dia?” Ainul bersuara acuh tidak acuh. Sekilas dia memandang wajah anak ketiganya itu. Seperti biasa, waktu begini dia akan sibuk menyediakan sarapan pagi bersama Isniza. Siap menyusun gelas-gelas di atas meja, dia ke dapur pula.
Isniza melabuhkan punggung di kerusi. Diamati bunyi bacaan al-Qur’an yang berkumandang dari tingkat atas rumahnya. Dahinya sudah berkerut-kerut seribu.
“Mama dengar tak tu?” soal Isniza pada Ainul yang sedang berada di dapur. Tidak lama kemudian Ainul muncul.
“Dengar? Dengar apa?”
“Bunyi suara orang mengajilah, ma. Takkan mama tak dengar kot?”
Ainul terdiam sejenak. Cuba mengamati bunyi yang dikatakan Isniza.
“Haaa... tu... mama dengar tak?” Kesekian kali Isniza bersuara tatkala suara orang mengalunkan ayat suci al-Qur’an itu semakin jelas kedengaran.
“Ish... biar betul? Takkan adik bertuah kau tu yang pasang? Dah buang tabiat ke apa?” ujar Ainul sambil mendongak memandang ke tingkat atas.
“Habis, radio siapa lagi kat rumah ni, mama?” persoal Isniza. Benaknya masih diserbu rasa hairan yang teramat. Masakan tidak. Kebiasannya hanya lagu-lagu mengarut sahaja yang akan berkumandang di pagi hari begini dari radio Jasmyn. Mengapa pula pagi ini tiba-tiba Jasmyn ‘memperdengarkan’ bacaan ayat suci al-Qur’an? Sudah bertaubat ke apa budak tu?
“Ish, pergi tengok dia kat atas tu. Entah apa yang dibuat dalam bilik tu,” suruh Ainul juga turut sama merasa hairan mengenangkan sikap Jasmyn yang luar biasa pagi itu.
Baru sahaja Isniza hendak melangkah ke tangga, bunyi telapak kaki Jasmyn sudah kedengaran. Kemunculan Jasmyn di meja makan menjadi perhatian Isniza dan Ainul. Seperti selalu, Jasmyn hanya tersengih memandang ke arah mereka.
“Assalamualaikum, mama,” sapa Jasmyn berserta gaya dramatik memberi salam. Over okey.
Isniza yang berada di situ sudah terkebil-kebil melihat aksi adiknya itu. Apa kena budak ni?
“Wa’alaikumussalam. Wah, bagus anak mama ni ya? Reti rupanya bagi salam,” balas Ainul sedikit sinis.
Jasmyn menarik kerusi bersetentangan dengan Isniza.
“Surah apa yang kau pasang tu, Myn?” soal Isniza merenung tepat ke wajah Jasmyn.
“Surah al-Baqarah...” jawab Jasmyn bersahaja.
Isniza terdiam seketika. Namun sesaat kemudian dia menahan tawa. Wajah Ainul dikerling. Ainul hanya tersenyum simpul. Teringat bebelannya terhadap Jasmyn minggu lepas. Patutlah dia pasang surah al-Baqarah...
“Ooo... Ada pulak CD al-Baqarah kau simpan erk?”
“Mestilah ada. Surah tu baik untuk pelindung. Boleh halau syaitan dengan jin. Betul tak mama? Haa, nanti mama tolong tutupkan suis radio Myn tu ya ma? Takut membazir pulak karan kat rumah ni,” ujar Jasmyn seraya menayang gigi.
Ainul mencebik. Isniza sudah mengulum senyum.
“Tak payah tutup pun tak apa. Kan elok kalau pagi-pagi dengar orang baca Qur’an? Ini tidak, lagu merapu entah apa-apa kau pasang,” ucap Ainul masih dalam nada sinikalnya.
“Iya. Betul tu mama.” Kepala Jasmyn terangguk-angguk. Bihun goreng dipinggan disuakan ke mulut.
Isniza di hadapannya masih menahan tawa. Pusing kepalanya memikirkan Jasmyn. Adakalanya dia sendiri sudah buntu mengenangkan sikap Jasmyn. Nak marah pun tak jadi nak marah.
Sungguh pun Jasmyn cukup degil mendengar kata mama, namun dimarah macam mana sekalipun adiknya itu tidak pernah melawan. Gayanya cukup ‘berdiplomasi’ walaupun seisi rumah sudah tahap bengang menghadapi kerenahnya. Apa jenis perasaan yang mengisi hati dan perut budak ini barangkali?
“Okeylah, nak pergi dah ni. Petang ni maybe Myn balik lambat sikit. Ada banyak kerja kena buat kat studio,” beritahu Jasmyn sambil menarik beg kelasnya. Dia kemudian beredar ke pintu lalu mencapai kunci skuternya di tempat menggantung kunci..
“Hai, Jasmyn, Jasmyn...” Ainul menggeleng kepala.
Isniza sudah tidak mampu menahan tawa. Meletus jua akhirnya.
PEDULI apa dengan had laju yang telah ditetapkan di zon kampus. Aku dah lambat! Kelajuan skuternya ditingkatkan. Akhirnya bayang fakultinya terpampang di depan mata. Dalam hati, dia menarik nafas lega.
Namun, ketika memasuki ruang parkir entah macam mana dia langsung tidak perasan akan sebuah kereta yang sudang menghala ke arahnya. Mujurlah masing-masing sempat menekan brek. Berdecit bunyi tayar bergesel dengan tar. Jasmyn mengurut dada.
“Woi, buta ke?!”
Suara lelaki pemilik kereta yang hampir dilanggar itu kedengaran. Jasmyn terpinga-pinga. Serentak anak matanya tertancap pada seorang lelaki yang sedang menjengul kepala keluar dari tingkap kereta.
“Aku buta ke kau yang bodoh? Masuk simpang tak bagi signal!” lawan Jasmyn kembali. Tegang rasa urat lehernya tatkala melihat wajah Faris di situ.
Faris bengang. Lantas dia memecut keretanya berlalu dari situ. Malas ingin bertekak dengan gadis itu. Namun untuk kesekian kali mereka terserempak di lobi.
Masing-masing melangkah laju menuju ke kelas yang sama. Tahu sudah kelewatan. Namun tiba di pintu kelas, mereka terlanggar antara satu sama lain.
“Woi! Kau ni apa hal hah?” marah Faris mulai bengang. Sudahlah hatinya masih panas dengan insiden tadi.
“Kau apa hal? Jalan tu pakai mata tak boleh?!” respon Jasmyn bengkeng. Seperti hendak terpelanting tubuhnya dilanggar oleh Faris sebentar tadi.
“Ei, macam siii... lah kau ni?” Faris mengumpul kesabaran. Jika boleh, dia tidak mahu menutur perkataan itu.
“Kaulah macam sial!” Lancang mulut Jasmyn bersuara. Pantas pintu kelas ditarik.
“Hei, what’s up, guys?” Wajah Dr. Muhayyat membuatkan Jasmyn terpaku. Dia menelan air liur. Kecut perutnya menghadap wajah pensyarah lebih separuh abad itu yang sedang merenung tepat ke arahnya.
“Nothing sir. Sorry for being late,” Itu sahaja yang mampu keluar dari mulu Faris saat itu.
“No. I heard both of you were quarelling just now. What happened actually?” soal Dr. Muhayyat kelihatan benar-benar ingin tahu. Wajah kedua-dua pelajarnya itu dipandang silih berganti.
Faris mati akal. Hendak berbohong kepalanya tidak punyai sebarang idea waktu ini. Jadi, dia hanya berdiam tanpa memberi sebarang jawapan.
“Now look at your watch. What time is it?” Wajah Dr. Muhayyat jelas serius memandang kedua-dua pelajarnya itu.
Seisi kelas diam. Masing-masing menumpukan pandangan ke arah Jasmyn dan Faris. Terbantut seketika sesi pembelajaran kelas pagi itu.
“It’s 10.45, sir,” jawab Jasmyn.
“So, it means you guys have been late for about one hour right?”
“But better late than never, sir.” Jasmyn bersuara dengan gaya bersahajanya. Seisi kelas tersenyum mengulum mendengar kata-kata gadis itu. Gila berani! Namun wajah Dr. Muhayyat kekal tanpa senyuman.
“Jadi maknanya awak boleh datang kelas saya ikut suka hati awak? Macam tu?” Sungguh pun kedengaran perlahan namun nadanya cukup tegas.
Masing-masing terdiam. Sudah mampu menelah apa yang bakal berlaku nanti. Siapa tidak kenal Dr. Muhayyat? Pensyarah paling tegas dan lantang di Fakulti Alam Bina itu. Jangan ada yang berani buat main! Selamba aje dia halau.
“I guess, you guys already have been informed about the rules of my class right? Late comers will not be allowed to join my lecture. So, please do not waste my time. And next time please manage your time properly. Now, you may leave my class.”
“DAMN it! Tak pernah seumur hidup aku kena halau keluar dari kelas.” Faris bersuara geram.
Nizam dan Azril sudah ketawa kuat. Wajah Faris jelas kelihatan bengang dengan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.
“Lain kali kalau dah tahu lambat, tak payahlah kau nak masuk kelas dia. Cari pasal dengan orang tua tu buat apa?” ujar Azril masih dengan sisa tawanya.
“Aku datang on time okey! Aku cemas nak accident depan fakulti dengan perempuan puaka tu tahu tak? Kalau awal lagi aku perasan memang aku dah langgar kasi dia tertiarap terus kat tengah jalan tu. Dah maki aku kat situ, tiba-tiba depan kelas nak melalak sound aku macam apa...”
Nizam meledakkan tawanya. “Kalah debat Parlimen, bro...”
“Bodoh punya perempuan!” gumam Faris dengan hati yang mendongkal marah. Rasa benci terhadap Jasmyn semakin meluap-luap.
Azril dan Nizam masih belum berhenti ketawa. Dijeling geram kedua-dua temannya itu. Ah, mereka berdua memang gemar mengusiknya. Lebih-lebih jika perkara itu melibatkan Jasmyn.
“Kau dah tahu dia tu perangai lain pada orang, tak payahlah cari pasal dengan dia. Memang dah sah-sah kau yang kalah. Mulut minah tu mana ada insurans,” tutur Azril.
“Aku cari pasal dengan dia? Wei, aku ni takkan usik orang yang tak cari hal dengan aku. Dah memang betina tu spesis tak beradab, aku pun tunjuk biadaplah,” ujar Faris sedikit berang.
“Haa, memang padanlah tu. Sorang takde adab sorang lagi biadap. Cantiklah tu!” Nizam menaikkan ibu jarinya ke muka Faris lantas ketawa terbahak-bahak.
“Kepala hangguk kau!” tempelak Faris geram.
No comments:
Post a Comment