“FARIS!!!”
Hilang terus segala mimpi indah yang tercipta dalam lenanya tatkala suara Faziela kedengaran sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik.
Faris menarik selimutnya sambil memisat-misat mata. Pintu bilik dipandang. Suara Faziela masih kedengaran berserta bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu. Mak aih, ini tahap nak roboh pintu bilik aku dia ketuk.
“Ya Kak Fazie. Bangun dah ni!” laung Faris kuat. Ikutkan hati malas dia membesarkan suara pagi-pagi buta begini tetapi kerana memikirkan sikap Faziela yang tidak pernah kenal erti putus asa itu memaksa dia berbuat demikian.
Senyap. Tiada lagi bunyi ketukan yang bertalu-talu. Faris menguap sambil meregangkan otot-otot badan yang terasa lenguh. Sekilas dia memandang jam di tepi katil. Pukul 9 pagi. Bermakna sejam lagi waktu kelasnya akan bermula.
Ah, sememangnya hari Isnin merupakan hari yang paling membosankan dalam hidupnya. Segala kerja dan rutin sebagai pelajar harus dimulakan. Apatah lagi, minggu ini banyak tugasan yang perlu dihantar untuk dinilai. Bermakna, waktu berpeleseran harus dikurangkan atau barangkali ditinggal terus untuk sementara waktu.
Siap berpakaian terus sahaja dia keluar menghidupkan enjin kereta. Faziela barangkali sudah keluar ke tempat kerjanya. Dia sudah biasa dengan keadaan sunyi kediaman itu.
Tiada sarapan yang disediakan seperti selalu. Awal pagi mama dan papanya sudah keluar bekerja. Kadang-kadang langsung hujung minggu baru nampak batang hidung kedua-dua orang tuanya itu.
Adakalanya terasa rumah itu tidak ubah seperti rumah persinggahan. Tempat untuk menukar pakaian dan tidur sahaja. Waktu lain, ia akan dibiar sunyi dan sepi. Mujurlah ada Faziela sebagai ‘penduduk tetap’ di situ. Kalau tidak, tidak mustahil ada ‘penghuni’ lain yang mendiami. Eh, merapu apa pulak kepala ni pagi-pagi?
Lima belas minit berikut, Faris memandu keretanya keluar dari kediaman. Keadaan jalan raya agak sesak. Namun, mujurlah jarak antara rumah dan kampus tidak terlalu jauh. Tepat pukul 10, dia sudah sampai di perkarangan fakulti.
Kehadirannya disambut dengan suara tempikan rakan-rakan. Ketua tempik siapa lagi kalau bukan Nizam dan Azril. Memekak aje dua orang ni!
Tatkala berpusing ke belakang, terus matanya tertancap pada seraut wajah. Serentak pandangan mereka bersabung. Namun masing-masing cepat mengalih pandangan.
Sememangnya seraut wajah itu cukup menjengkelkan hati dan perasaannya. Siapa lagi kalau bukan Jasmyn!
Sejak dari awal lagi dia dan Jasmyn sudah diketahui tidak sebulu disebabkan satu insiden. Setiap kali, pasti ada sahaja perkara yang berlaku antara mereka yang akan menyebabkan perbalahan.
Lama-kelamaan dia sendiri sudah semakin meluat dengan tingkah laku perempuan itu. Apa sahaja mengenai Jasmyn pasti akan mendatangkan rasa benci yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sudahlah perangai macam jantan. Sekali bersuara, Hitler pun kalah!
Kelas pagi bermula seperti biasa. Namun kelihatannya para pelajar kelihatan ‘gagah’ menyudahkan detik yang ada.
“I know everybody is waiting when this ‘torture’ will finish right?”
Kata-kata Ikram disambut tawa oleh para pelajar. Sepertinya setiap kata yang keluar dari mulutnya tidak mampu lagi diterima oleh mereka. Apakah topik yang dibincangkan itu sememangnya membosankan atau mereka yang kebanyakannya dipengaruhi dengan mood mengantuk?
Lima minit kemudian, kelas berakhir. Masing-masing bangun lalu keluar. Hanya Faris masih belum berganjak dari kerusi. Dia menggeliat kecil di situ.
“Wei, jomlah,” gesa Nizam yang sudah bangun untuk ke pintu. Sekilas dia memandang kelibat Azril dan Suraya yang berada di muka pintu. Sesaat kemudian, bayang mereka menghilang dari balik pintu.
“Mengantuk gila!” Faris menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Dah, dah... Apa-apahal kita pergi makan dulu,” ujar Nizam kemudian beredar ke pintu.
Perlahan-lahan Faris bangkit membuntuti langkah Nizam.
“Kau ni bila waktu kelas aje tak pernah tak mengantuk. Ini dah kira okey lecturer baru tu ajar. Adalah sikit-sikit input masuk kepala. Kalau dengan Dr. Noni, mahu berpinar bijik mata ni tengok dia bersyarah,” ujar Nizam mengarah langkah ke kafe berdekatan.
“Kau pergilah beli dulu. Aku tak nak makan lagi. Belum lapar,” ujar Faris sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi di kafeteria.
Tanpa banyak soal, Nizam berlalu. Faris mengeluarkan telefon bimbitnya. Ada tiga panggilan yang tidak dijawab dan 5 mesej yang dihantar. Seketika kemudian kelihatan dia tersenyum-senyum sendirian.
“Wei!”
Tiba-tiba lengannya dipukul dengan sebuah buku. Wajah Azril muncul di depan mata sambil tersengih lebar.
“Dari jauh aku dah nampak kau menyengih sorang-sorang. Hai, asal tengok handphone aje menyengih, tengok handphone aje menyengih. Kau dengan Nizam ke?” soal Azril seraya mengerling beg sandang kepunyaan Nizam sekilas.
Faris mengalih tumpuan ke muka Azril. “Ha’ah... Wei, apa cerita design kau? Dah siap belum? Esok dah nak kena submit.”
“Belum siap lagi. Malam ni memang aku pulun habis-habisanlah. Kau dah siap belum?”
“Aku dah siap? Hah, lambat lagilah... Esok aku nak jumpa Dr. Khoo mintak extend lagi seminggu. Kau gila ke? Banyak benda kena settle down this week. Written assignment lagi. Mana sempat,” rungut Faris berwajah bengang.
Azril mencebik. “Orang lain sempat aje? Cuti mid-sem baru ni kau buat apa? Membuta?” Sinis soalan yang dilemparkan Azril. Bukannya dia tidak tahu perangai temannya yang seorang itu. Gemar berfoya-foya.
Lima tahun mengenali Faris sudah cukup membuatkan dia tahu serba-serbi mengenai pemuda itu. Kaki perempuan! Ya, itulah gelaran ‘unggul’ yang dipegang oleh Faris.
“Alah yalah... tapi ikutkan memang tak sempat jugak. Try bet dengan aku, esok tengoklah berapa ramai yang mintak extend tarikh submit tu,” ucap Faris masih belum mahu mengaku kalah.
“Ah, tak ada masa aku nak bet-bet dengan kau... Kau punya hal, kau punya suka. Ikut suka hati kaulah. Perut aku ni dah lapar. Kau tak nak makan ke?” Azril mengalih topik. Malas hendak membincangkan soal pelajaran ketika waktu luar kelas sebegini.
Belum sempat Azril mengangkat punggung, Nizam muncul bersama sepinggan dan segelas air yang dibelinya.
“Wei, kau ni makan ke melantak?” soal Faris sedikit terkejut melihat pinggan Nizam yang dipenuhi dengan lauk dan sedala jenis sayur.
“Aku mencekiklah...” balas Nizam bersahaja. Air milo di gelas dihirup sedikit.
“Okeylah, aku nak pergi beli sekejap. Betul ni kau tak makan?” soal Azril meminta kepastian.
Faris menggeleng. “Aku kenyang lagi.”
Azril terus beredar. Faris kembali menatap telefon bimbitnya. Langsung tidak menghiraukan Nizam yang sedang menikmati juadah makan tengah harinya.
Mesej dari beberapa orang teman wanitanya lebih mendapat perhatian. Boleh dikatakan dalam seminggu, dia akan berkenalan dengan perempuan yang berbeza-beza.
Keinginan tidak pernah puas. Setiap kali ada sahaja yang menjadi mangsa ‘mulut manis’nya. Sungguh pun ada waktunya cukup sukar untuk dia mengelak dari pertemuan yang cuba dirancang oleh perempuan-perempuan tersebut, namun dia tidak pernah berasa serik. Biarpun pelbagai insiden yang telah berlaku sepanjang dia berkecimpung di dalam dunia itu.
Ditampar, dimaki, dimarahi bukanlah perkara yang luar biasa baginya. Dia sudah kebal menghadapi perkara sedemikian. Barangkali sudah tidak ada perasaan untuk hal seakan itu.
Baginya, perempuan itu akan datang dan pergi bila-bila masa sahaja. Tidak pernah terdetik di hati Faris untuk menjalin hubungan yang penuh dengan komitmen. Segalanya hanya mainan sementara sekadar menuntut keinginan darah muda.
Dia bebas menurut apa sahaja yang ingin dilakukan. Kesempurnaan yang dimiliki seakan-akan menjadi aset bernilai buatnya untuk terus memikat perempuan.
Beberapa minit kemudian, Azril kembali semula ke meja.
“Hai, cakap tadi nak makan?” tegur Faris mengalihkan tumpuannya kearah Azril yang muncul dengan tangan kosong.
“Tak jadilah. Aku baru teringat lepas ni aku nak keluar makan dengan Su.” Azril melabuhkan punggungnya di hadapan Faris.
“Tu dia... awek punya pasal, sanggup tunggu. Kalau aku, dah lapar, mahu aku nak tunggu,” ujar Nizam tersenyum mengejek.
Azril hanya tersenyum. Tiba-tiba pandangannya terkalih pada Jasmyn dan kawan-kawannya di meja sebelah sana.
“Ris, cuba kau tengok tepi belah kanan kau...” pinta Azril sambil tersenyum penuh makna.
Faris memusingkan kepalanya. “Ada apa?” Sekilas wajah Azril dipandang.
“Sumber inspirasi kaulah. Siapa lagi?”
Faris mengerut dahi. Namun serentak bebola matanya terarah pada seseorang di hujung sana. Wajahnya bertukar bengang.
“Sumber inspirasi kepala otak kau,” tempelak Faris berangin tiba-tiba.
Nizam terpinga-pinga. Turut sama berpaling. “Siapa wei?” soalnya merenung tepat ke wajah Azril yang sudah ketawa mengekek.
“Si dia yang memberi gelaran Bujang Sudin,” balas Azril terus meledakkan tawa.
Serentak Nizam turut sama ketawa.
“Kurang ajar!” Faris menayang muka ketat. Bengang rasanya tatkala mendengar Azril menyebut nama yang digelar oleh Jasmyn kepadanya itu.
Mana tahu nama Bujang Sudin itu merupakan nama seekor buaya tua yang masih hidup di Sungai Sadong di Sarawak. Dek kerana gelaran itu, Nizam dan Azril tidak sudah-sudah mengejeknya. Sungguh dia cukup benci mendengar gelaran itu!
No comments:
Post a Comment