Sekebun Bunga Cinta #1

RENTAK muzik techno lagu Boten Anna nyanyian Basshunter dari speaker radio yang berkumandang seakan menggugat damai pagi di sekitar perumahan daerah Petaling Jaya itu.
Di bilik, Jasmyn sedang bersiap-siap ingin ke kampus. Sekejap dia berdiri menghadap cermin, sekejap lagi pula dia mundar mandir seolah-olah mencari barang yang hilang.
Tiba-tiba dia mencangkung menarik sebuah beg peralatan ukur dan lukisnya. Sebentar kemudian, dia kembali semula menghadap cermin. Rambutnya yang pendek disisir ala kadar.
Sebaik sahaja selesai, sikat yang digunakan tadi dilempar ke katil. Namun lontarannya tersasar jauh sehingga terjatuh ke lantai. Mujur sahaja tidak tercampak terus ke luar jendela yang terkuak lebar.
Tanpa mempedulikan nasib sikat itu, Jasmyn mencapai topi di atas almari soleknya lalu dimuatkan ke kepala. Botol minyak wangi Ralph Lauren kegemarannya dicapai lalu disembur ke pergelangan tangan lantas disapu ke serata tubuh.
“Perfect!” ucap Jasmyn pada imejnya di hadapan cermin sambil memetik jari.
Suis radio ditutup. Serta-merta segala ruang menjadi aman kembali. Dengan langkah bersahaja dia keluar dari bilik sambil menyanyi-nyanyi kecil.
“Amboi amboi meriahnyalah kau pagi-pagi ya?” Teguran sinis Ainul menampar pendengaran.
Serta-merta nyanyian kecil di mulutnya terhenti. Wajah Ainul yang sedang bercekak pinggang ditatap seketika. Sekilas dia memandang Isniza yang sedang duduk di meja menjamah roti. Kakaknya itu seakan-akan memberi satu isyarat mata yang sudah mampu ditafsir. ‘Jangan bersuara lebih-lebih!’
 “It’s Monday, mama! Permulaan hari yang baik, mesti ceria-ceria.” Jasmyn menyengih sambil menarik kerusi bersetentang dengan Isniza.
Ainul melabuhkan punggung di sebelah Isniza. Pandangannya masih tidak berkalih memerhatikan gelagat anak bongsunya itu. Wajahnya jelas tidak puas hati. Kalau kecik, aku pukul aje buntut dia ni dengan rotan!
“Kau tahu sekarang dah pukul berapa?”
Baru separuh roti bakar itu dikunyahnya. Dengan keadaan separuh roti yang berada di luar mulut, dia menilik jam di tangan. Habis berterabur serdak-serdak roti itu di meja.
“Pukul 9.45...” balasnya bersahaja. Air teh panas yang sedia terhidang disuakan ke mulut.
“Haaa... Pukul 9.45 ya? Kelas kau start pukul berapa?”
Ya.. Syarahan akan bermula...
“Pukul 10... Alah mama... relaxlah... UM tu bukan jauh mana pun. Naik motorkan? Cilok-cilok, tak sampai 15 minit, dah sampai,” ucap Jasmyn dengan gaya ‘santai’nya. Serentak dia menyengih.
Rasa geram yang sedia ada semakin menjadi-jadi. Bengot-bengot muka Ainul memandang wajah anak bongsunya itu. Nak dicili dah besar panjang.
“Banyaklah kau punya cilok! Elok sangatlah tu datang kelas lambat-lambat. Dahlah tu, pagi-pagi dah memekak dengan bunyi radio pasang lagu entah apa-apa. Kalau pasang surah Yaseen ke surah al-Baqarah ke tak apa jugak. Ya ALLAH, mama tak reti macam mana dah nak cakap dengan kau ni. Tak padan dengan besar tak paham-paham. Kita ni hidup berjiran, bukan dalam hutan. Fikirlah sikit anak-anak dia orang nak tidur ke, nak apa.”
Nah! Bingit telinga aku pagi-pagi.
“Alah... selama ni dia orang tak cakap apa-apa pun? Sebab apa mama tahu? Sebab kita tak ganggu privacy dia orang. Lagipun, waktu pagi macam ni semua orang dah pergi kerjalah mama. Mana ada orang sangat. Budak-budak pun dah pergi sekolah. Anak jiran depan rumah kita tu lagi teruk, tengah-tengah malam memekak main gitar dengan kawan-kawan dia tapi takde pun orang sini bising-bising. Siap menyanyi lagi tahu? Myn pasang radio aje pun, bukan karaoke depan rumah,” jawab Jasmyn selamba. Isniza yang berada di sebelah mamanya sudah hendak terjojol biji mata memandang ke arahnya.
“Heee... kalau kita cakap, ada aje modal dia nak menjawab! Dah! Lepas ni mama tak kira. Mulai hari esok, mama dah tak mahu dengar kau pasang lagu kuat-kuat. Sebelum pukul 9.30 mama nak tengok kau dah ada kat meja ni. Mama tak nak kau pergi kelas lewat-lewat macam sebelum ni. Faham?!” tegas Ainul merenung tepat ke wajah Jasmyn. Namun kelihatannya Jasmyn hanya mengangguk sambil tersengih-sengih.
Ainul mendengus keras. Sememangnya menghadapi kerenah anaknya yang bongsu itu cukup memenatkan dan menguji kesabarannya. Setiap kali ada sahaja kelakuan Jasmyn yang mengundang amarahnya.
Jasmyn tidak seperti abang dan kakak-kakaknya yang selalu mendengar kata. Setiap kali ada sahaja yang ingin dibangkang. Kata sepatah, jawabnya sepuluh patah. Belum lagi seratus patah. Mahu berpatah-patahlah modalnya.
Tidak cukup dengan kelakuan, perangainya juga cukup memeningkan. Buas mengalahkan kingkong. Rasanya tidak berupaya lagi untuk membentuk anak gadisnya yang seorang itu. Bagi nasihat tak ubah macam masuk telinga kiri, tendang telinga kanan.
Dimarah, ditengking dan apa jua sekalipun Jasmyn tetap kekal dengan sikapnya yang kalis maki itu. Sedikit pun tidak ada riak takut setiap kali dimarahi. Kata apa sahaja, dia hanya mengangguk seakan-akan akur namun keesokan hari dia masih ingkar pada suruhan dan arahan mamanya.
“Okeylah mama... Myn dah lambat ni. Myn pergi dulu ya? Sayang mama. Mmmuahh!” Satu kucupan hinggap di dahi Ainul.
“Bawak motor tu elok-elok,” pesan Isniza tatkala Jasmyn mencium pipinya.
“Okey, beres, beres!” sahut Jasmyn lantas berlari ke pintu. Namun entah macam mana tiba-tiba kakinya terlanggar pasu metamorfosis yang berada dekat dengan pintu. Serentak bunyi kaca pecah kedengaran. Alamak! Mampus aku!
“Ya ALLAH, habis pecah pasu aku!!” jerit Ainul tatkala melihat pasu metamorfosis pemberian Ramizan bernilai RM 300 yang dibeli di Singapura itu sudah berderai di lantai. Isniza di sebelah sudah menggeleng-gelengkan kepala.
Jasmyn cuak. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang memandang Ainul dan Isniza yang masih berada di meja makan. Satu sengihan terpapar pada wajahnya.
“Sorry ya mama, Myn tak sengaja. Sorry sangat-sangat. Nanti balik nanti Myn bersihkan ya? Myn dah lambat ni. Bye!” Jasmyn terus melangkah laju keluar dari rumah. Sebelum mama bertukar menjadi Incredible Hulk, baik aku cabut!
 Namun jauh di sudut hati dia betul-betul kesal. Dia tahu pasu itu cukup bernilai pada Ainul. Ah, nanti aku ganti baliklah pasu tu! Yang penting aku kena sampai segera ke kelas. Sebaik sahaja enjin skuternya dihidupkan, terus sahaja dia memecut laju meninggalkan perkarangan rumah.
“Sabar ajelah mama,” ucap Isniza seraya mengurut-ngurut belakang Ainul berniat untuk menenangkan hati mamanya itu.
“Kalau mama tak sabar dah lama mama lenyek-lenyek adik kau tu, Niza! Hee, geramnya aku dengan budak Jasmyn ni! Pagi-pagi dah buat hal!” getus Ainul dengan rasa geram yang ditahan-tahan.
Isniza menggeleng-geleng kecil. Air teh yang masih bersisa dihirup sehingga habis. Hai, pagi-pagi dah berkelahi dua beranak ni. Bisik hatinya sendirian.

SEBAIK sahaja memarkir skuternyer, Jasmyn berlari laju ke bangunan kelas. Ini bukan setakat sudah terlewat, serupa macam baik tak payah masuk kelas!
“Woi mek!”
Serentak pandangannya terhala pada Qaisyah, Zaihan dan Natalia.
“Tak ada kelas ke?” soal Jasmyn hairan tatkala terserempak dengan mereka di kaki lima.
“Postponed to next week,” balas Qaisyah ringkas.
“Habis tu korang nak pergi mana ni?” soal Jasmyn lagi.
“Pergi kafe, breakfast!” jawab Zaihan sambil meneruskan langkah menghala ke kafeteria fakulti.
Qaisyah, Natalia dan Zaihan merupakan sahabatnya yang paling rapat di kampus. Dari tahun pertama sehinggalah berada di tahun akhir, hubungan mereka tidak pernah sekalipun renggang.
Qaisyah; seorang yang paling ‘bertimbang rasa’ di antara mereka. Kalau bab-bab memberi nasihat serahkan sahaja padanya. Dia juga seorang yang komited dengan pelajaran dan cukup kuat menentang sekiranya rakan-rakan lain merancang sesuatu yang tidak baik. Seorang yang patuh pada protokol dan undang-undang. Skema habis.
Natalia; gadis berdarah kacukan Melayu-Cina ini cukup terkenal dengan kebendulannya. Cakaplah apa sahaja pasti mudah sahaja dipercayai. Namun, bendul-bendul pun mulut celupar bukan main. Kalau bab belajar, dialah yang paling malas. Jika ada tugasan, dialah manusia yang paling banyak alasan!
Zaihan; Si kepoh yang suka membuat onar di tempat awam. Gadis ‘loudspeaker’ ini cukup lancang dalam berkata-kata. Pendek kata, kalau masuk debat memang boleh dapat tempat juara. Sudahlah itu, bercakap macam ribut. Bab mengata orang, nombor satu.
Di kafe, mereka berbual-bual kosong sambil bersarapan mengalas perut. Tidak ramai yang melepak di situ sekitar waktu begini. Maklumlah, waktu sekarang adalah waktu kelas.
“Apasal kelas postponed wei? Dr. Noni pergi mana?” tanya Jasmyn sambil menyedut jus oren yang dibelinya.
“Tak ada maknanya postpone. Next week kan dia dah nak fly ke Copenhagen sambung belajar untuk second Ph.D dia? It means next week, ada lecturer lain yang akan ganti tempat dia.” maklum Zaihan laksana wartawan harian.
“Second Ph.D? Gila ke buat Ph.D dua kali?” Terbeliak mata Jasmyn memandang rakan-rakannya.
“Alaa, kira macam professorshiplah tu,” sampuk Qaisyah yang sedari tadi diam membisu.
Jasmyn melopong. Seketika kemudian dia mengangguk-angguk. “Siapa yang ganti ek?”
“Entah... dengar-dengar lecturer baru. Mintak-mintaklah dapat yang kepala okey. Kalau dapat macam Dr. Noni tu, mak aii.. semput aku. Perfectionist habis! Dua sem aku ambik dengan dia, dua sem jugaklah aku lingkup,” tutur Natalia menyudahkan roti sandwich di tangannya. Terbayang seketika wajah pensyarah wanita bertubuh gempal itu. Kalau marah, seorang pun tak berani menegakkan kepala. Garang betul!
“Ah, kau tu memang dah bangsa pemalas!” tempelak Zaihan selamba. Natalia sekadar tersengih.
“Pelik... macam mana dia belajar ek? Aku belajar degree pun bagai nak terkehel. Dia boleh lagi sambung buat second Ph.D. Huiii, dasyatlah...” Jasmyn menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih memikir perihal pensyarahnya itu. Jauh di sudut hati dia kagum dengan semangat seorang wanita seperti Dr. Noni.
“Biarlah dia nak belajar. Belajar ni mana boleh habis,” celah Zaihan.
“Siapa kata?!” Tiba-tiba Jasmyn menyergah. Qaisyah dan Natalia sudah kehairanan. Kenapa pulak tiba-tiba Minah ni?
“Alahai bongoknyalah kau ni. Betullah... ada Ph.D belum tentu lagi ilmu penuh di dada. Banyak lagi benda kita kena belajar. Biar kau professor Emeritus sekalipun, process of learning will never stop,” balas Zaihan menyatakan pandangannya.
“And some people say knowledge is in knowing what knowledge is and knowing ourselves, if we do not know ourselves, what is the purpose of studying?” Qaisyah berfalsafah di pagi hari.
“Tapi bukan ke Ph.D tu maksud dia Pelajaran Habis Dah? Hahahaha...” Jasmyn ketawa lepas.
Serentak tawa Qaisyah dan Natalia meletus. Zaihan sudah mencebik mempamerkan ekspresi malas melayan.


P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/

No comments: