Curi-Curi Suka #10

DERETAN gerai-gerai kecil kraftangan di sekitar kota A’Famosa menarik perhatian pengunjung dari pelbagai negara. Rambang mata melihat kraftangan-kraftangan comel yang dijual di situ. Harganya agak berpatutan.
Kali ini Wisya berjalan seiring dengan Ezril meninjau barangan yang dijual. Ezroy dan Zaryn berada di belakang. Namun sepanjang waktu, Ezroy menjerut rasa. Apatah lagi melihat Wisya yang tampak lebih mesra dengan kembarnya.
Celoteh Zaryn langsung tidak didengari. Merepek sorang-sorang adiknya itu mengungkap setiap barangan yang terdapat di situ.
Seketika mereka berhenti di gerai yang menjual pelbagai jenis topi. Satu demi satu dicuba di kepala. Hanya Ezroy yang diam membatu melihat gelagat ketiga-tiganya. Sesekali pandangan Wisya mengena wajahnya, satu jelingan diberikan. Hee.. ada jugak rasa nak melempang wajah itu.
Dia sendiri hairan mengapa rasa hatinya begitu. Rasa geram sehingga terasa ingin menampar-nampar pipi mulus gadis kecil molek itu. Perasaan cemburu yang ditahan-tahan membuatkan dia ‘kesakitan’ sendirian. Lagi-lagi mendengar suara Wisya yang tidak henti-henti berbicara kala di sisi Ezril. Ya ALLAH boleh jadi gila aku macam ni!
“Cantik tak abang?” soal Zaryn sambil menunjukkan topi beriben yang dipakainya.
“Tak,” balas Ezroy malas. Seketika matanya melilau ke gerai-gerai yang lain.
Zaryn mencapai topi yang lain pula. Lalu dimuatkan di kepala. Kesekian kali dia bertanya. “Yang ni?”
“Tak.” Jawapan yang sama keluar dari mulut Ezroy. Wajahnya bersahaja tanpa sebarang ekspresi.
Zaryn menarik muka. Pantas jarinya menumbuk dada Ezroy. Geram dengan respon abangnya yang endah tidak endah.
“Lah, manalah abang tahu... Kalau kau rasa cantik, cantiklah tu...” jawab Ezroy dengan suara yang mendatar.
Zaryn meneliti kedua-dua topi di tangannya. “Pink eh abang?” Zaryn tersengih-sengih sambil menunjukkan topi pink dengan riben berjurai-jurai itu ke arah Ezroy. Sikap Ezroy seakan itu memang dia sudah terbiasa sejak dari dulu lagi. Jadi, tidak perlu makan hati.
“Suka hati kaulah, Erin...” jawab Ezroy malas. Hatinya sudah kekejangan dengan segala stimulasi luar.
Selesai membayar harga topi, mereka menapak lagi. Kali ini, berselerakan kedudukan masing-masing dek kerana memberi laluan pada orang ramai. Tiba-tiba dalam kesesakan itu, kelibat Wisya hilang.
Ezroy memutarkan pandangan ke seluruh arah mencari kelibat gadis itu. Entah macam mana pandangannya terlepas dari sebatang tubuh kecil itu. Ezril dan Zaryn sudah mara ke depan. Pantas Ezroy cuba menyaingi langkah mereka sambil mata melilau mencari bayang Wisya.
Baju putih yang dipakai Wisya menyukarkan pandangannya untuk membezakan antara orang ramai di situ.
“Along, mana Wisya?” soal Ezroy sebaik sahaja berada dekat dengan Ezril.
Ezril terpinga-pinga. “Tadi bukan dia kat belakang ke?”
“Entah... mana aku tahu... tengok-tengok dah hilang...” beritahu Ezroy sedikit kaget.
“Tadi dia dengan Erin...” kata Zaryn pula. Matanya melingas mencari kelibat Wisya. Namun tiada.
“Tadi dia ada depan kau kan?” soal Ezril memandang wajah kembarnya. Riaknya tampak risau sambil turut meliarkan pandangan ke serata tempat.
“Ada, lepas tu lesap tak tahu ke mana...” jawab Ezroy sememangnya langsung tidak sedar saat Wisya hilang dari penglihatan.
“Haa tu dia!” tuding Zaryn ke satu arah.
Serentak Ezroy dan Ezril berpaling. Kelihatan kelibat Wisya sedang bersesak-sesak di celah orang ramai tidak jauh dari situ.
“Kak Wisya pergi mana tadi?” soal Zaryn merenung tepat ke wajah Wisya. Dan semua mata sudah tertumpu ke arahnya.
“Kak Wisya beli ni...” beritahu Wisya sambil mengeluarkan sesuatu dari plastik hitam yang dipegangnya.
Terjenguk-jenguk ketiga-tiga beradik itu untuk melihat isi plastik.
“Haa ini.. Tadaaa! Belacan Melaka!” ucap Wisya sambil menunjukkan sebungkus belacan yang berbalut ke arah Zaryn.
Zaryn ketawa lepas. “Ini yang Kak Wisya beli?” Tawa Zaryn kian galak. Ezril turut ketawa sama. Melihat wajah ‘tidak berdosa’ Wisya menunjukkan belacan itu dengan riang benar-benar menggeletek perasaannya.
"Gila! Kau tu dah lah pendek! Menyusahkan orang nak cari," tempelak Ezroy bersahaja.


HARI terakhir di Melaka, mereka bersarapan di hotel menghadap laut dengan pawana yang menerpa damai. Sesudah bersarapan, mereka bersiap-siap untuk check out dari hotel. Namun tidak berakhir dengan semalam jelajah mereka di Bandaraya Bersejarah itu.
Sebaliknya mereka singgah lagi di beberapa lokasi yang biasa menjadi tumpuan di Banda Hilir. Destinasi terakhir ke Muzium Samudara yang menyerupai replika sebuah kapal besar zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Oii, mari sini sekejap,” panggil Ezroy tatkala melihat Wisya yang sedang kusyuk membaca papan yang bertulis dengan rentetan sejarah Kesultanan Melayu Melaka itu.
Serta-merta tumpuan Wisya terkalih pada wajah Ezroy. Dahinya berkerut.
“Aku panggil kau, marilah sini sekejap...” tukas Ezroy dengan wajahnya yang serius merenung tepat pada wajah Wisya.
Dengan langkah malas, Wisya menapak menghampiri pemuda itu. “Apa hal?” soalnya dengan lagak mafia kongsi gelap.
“Nah...” Kamera yang tergantung di bahu Ezroy diserahkan kepada Wisya secara paksa. “Tolong ambik gambar aku,” suruh Ezroy sesuka hati.
“Mana aku tahu nak guna,” beritahu Wisya membelek-belek segala butang satu haram pun dia tidak tahu di kamera Nikon D7000 milik Ezroy itu.
“Kau ni kampung betullah. Orang dah berzaman pakai benda alah ni...” sindir Ezroy selamba.
Wisya geram. “Yang pakai tu orang lain bukan aku! Manalah aku tahu nak guna kamera besar gedabak ni! Setakat kamera handphone bolehlah!” lawan Wisya tidak mahu kalah. Aku jahanamkan jugak kamera mamat ni.
“Hisy!” Ezroy mendengus. Geram dengan sikap Wisya yang melawan. “Kau nampak butang bulat ni? Kau letak bijik mata kau kat benda kotak kecik ni, lepas tu agak-agak gambar tu dah elok kau tekan butang bulat ni. Faham?” dalam nada kasar Ezroy menunjukkan cara penggunaan kamera itu kepada Wisya.
Wisya mendengus. Kenapalah aku harus melayan lelaki sarkastik ini di sini? Rasa nak terajang-terajang! Dilihat Ezroy mula beraksi di sebelah patung Hang Tuah itu tanpa segan silu.
Sekali pemetik kamera itu ditekan, terakamlah satu gambar. Kali kedua Ezroy menggayakan aksi yang lain pula. Dia meminta Wisya merakamkan lagi gambarnya. Wisya hanya menurut.
“One more...” pinta Ezroy beralih ke tempat lain pula.
Wisya mengeluh geram. Namun dia hanya menurut permintaan pemuda itu. Kesekian kali punat rakam kamera ditekan merakamkan gambar Ezroy. Ya ALLAH menyampahnya aku!
Dan seterusnya tanpa meminta lagi, Ezroy berposing di tempat yang lain pula. Wisya geram lantas bersuara. “Kau ni kenapa? Tersampuk?” soal Wisya menahan rasa geram dengan ekspresi muka bengang tak terkawal.
Ezroy menahan tawa. Entah kenapa setiap sindiran, makian dan amarah gadis itu menjadi sesuatu yang lucu setiap kali didengari. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke arah gadis itu.
Kamera di tangan Wisya dirampas. Wajah Wisya ditenung seketika. Anak mata Wisya direnung dalam menjadikan gadis itu jadi tidak keruan.
Wisya tidak betah. Dia ingin beredar pergi namun entah kenapa terasa kakinya bagai dipaku. Renungan tajam Ezroy tiba-tiba dirasakan gerun yang amat. Namun dia memberanikan diri menentang pandangan pemuda itu. Walau sinar pandangannya tidak lagi garang seperti tadi.
“Pendek!” sergah Ezroy benar-benar mengejutkan Wisya lantas beredar pergi.
Kurang ajar!!! Hati Wisya mendongkol marah.

EZROY mencapai kameranya di atas meja lantas melabuhkan punggung di birai katil. Penat memandu dari Melaka ke Kuala Lumpur ibarat memandu dari Perlis ke Johor rasanya. Ezril dan Zaryn barangkali sudah terbongkang di katil sendiri kepenatan.
Punat on kamera dipetik, jarinya mula menekan beberapa butang di kamera melihat gambar-gambar yang terakam di Melaka beberapa hari lalu. Sesekali dia tersenyum sendirian melihat gambar-gambar Wisya yang banyak dirakam secara curi-curi.
Macam-macam jenis rupa ada. Sehinggalah gadis itu perasan gambarnya diambil secara senyap. Sebetulnya waktu itu dia cuak juga. Gadis itu bukan jenis yang ragu-ragu untuk bertindak mengikut hati. Tidak mustahil gambar-gambar itu dipadam atau lebih ekstrem lagi kameranya bakal jahanam dikerjakan Wisya.
Seketika pandangannya terpaku pada salah satu gambar Wisya yang sedang ketawa. Dizoom gambar itu agak lebih jelas kelihatan. Bibirnya menguntum senyum sendirian. Apa aku dalam proses menuju ke arah gila?
Kemudian dia beralih ke gambar-gambar lain pula sehinggalah gambar-gambar mereka di Muzium Samudera. Alangkah terkejutnya Ezroy tatkala melihat gambar-gambarnya yang dirakam oleh Wisya itu. Semua gambarnya diambil tanpa kepala. Tak guna punya perempuan! Kalau satu dua tak apa, ini semua!

2 comments:

qlah said...

salam akak novelist..

wah.. best2... hihi .

kelakar la . padan muka ezroy..

p/s: tak sabar tunggu sambungannya ;D

Nrl Syfqh said...

haha, lawakla. amik gambar takde kpala !