Curi-Curi Suka #4

“ASSALAMUALAIKUM makcik...” Wisya menghulur salam lantas menyalami tangan wanita itu.
“Wa’alaikumussalam...” sahut wanita itu kedengaran mesra.
“Saya Wisya. Saya datang ni nak tanya, hari tu saya ada terbaca iklan ni dekat kampus saya. Jadi saya nak tahulah kalau-kalau tawaran guru sementara ni masih ada kekosongan atau pun tak,” tutur Wisya berbahasa menuturkan setiap kata. Kertas iklan di tangan ditunjukkan kepada wanita tua itu. Depan orang tua ketimuran kan aku?
“Oh, yang iklan ni ya. Mari masuk dalam dulu lah. Tak elok pulak rasanya bercakap dengan tetamu kat luar rumah. Mari masuk dulu,” pelawa wanita itu mesra. Wisya hanya menurut.
“Wisya datang dari mana ya? Datang naik apa?”
“Saya dari Shah Alam makcik. Datang tadi naik teksi.”
“Ish, panggil nek wan aje. Iklan ni cucu nek wan yang buat. Nek wan tak tahu sangat. Tapi belum ada lagilah orang datang tanya pasal iklan ni. Kenapa tak telefon dulu nak datang?”
 “Err.. kat iklan ni cuma tulis alamat rumah. Sebab tu saya terus datang. Mintak maaf kalau kedatangan saya ni menganggu,” maklum Wisya sambil menunjukkan kertas di tangan ke arah wanita tua itu.
“Ada pulak buat iklan macam ni tak letak nombor telefon. Hai...” bebel wanita tua itu tidak semena-mena sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Wisya hanya tersenyum. Tidak pula terfikir di kepalanya kenapa si pembuat iklan tidak menyertakan nombor telefon di situ. Barangkali kerana terlalu tertarik dengan tawaran dan bayaran yang tertera membuatkan dia tidak ragu-ragu untuk terus datang ke alamat rumah tersebut untuk mencuba nasib.
“Cucu perempuan nek wan ni yang nak ambil SPM tahun ni. Nak cari cikgu-cikgu bertauliah datang ke rumah bukannya senang. Wisya ni student lagi ke?”
“Ha’ah. Saya belajar kat UiTM Shah Alam ni aje, nek wan. Cuti sem ni memang niat nak cari kerja. Kebetulan pulak terbaca iklan ni kat kampus. Saja-saja nak cuba nasib. Yalah, nak mengajar ni bukan pandai sangat. Sikit-sikit yang tahu ajelah,” bicara Wisya ramah.
“Eh, UiTM Shah Alam? Ambik course apa?”
“Course...”
“Nek wan, saya keluar sekejap ya? Nek wan nak kirim...”
Belum sempat Wisya menjawab pertanyaan. Serentak pandangannya terkalih ke muka pintu. Dia tersentak. Seakan bermimpi melihat raut wajah itu di depan mata. Dia tergamam di situ.
“Kau buat apa kat sini?” soal Ezroy bagai hendak terjegil biji matanya memandang Wisya.
“Roy kenal ke?” soal Jamaliah meminta kepastian.
Ezroy tidak menjawab. Ditenung sebatang tubuh yang mengenakan baju kurung itu lama. Sungguh dia juga terkejut melihat kehadiran Wisya di situ.
“Err.. saya...” Wisya kehilangan kata. Diakah cucu yang dimaksudkan Jamaliah mengiklankan tawaran guru sementara itu? Ah, sangkanya pertemuan di kampus sudah berakhir. Apa dia harus meneruskan niatnya untuk menjadi guru di kediaman itu? Dengan kehadiran makhluk TUHAN yang paling tidak disenangi itu? Menyampahnya!
“Tak adalah kenal mana sangat pun nek wan. Tapi pernahlah nampak muka dia kat kampus tu,” beritahu Ezroy dengan riak wajah angkuhnya.
Wisya menahan rasa. Setiap kali menatap wajah pemuda itu, hatinya bagai dipulas-pulas. Jelas sungguh riak muka Ezroy itu tidak menyenanginya. Heh, bajetlah aku ni suka tengok muka kau tu!
“Wisya ni datang nak tanya pasal cikgu tuisyen untuk Erin. Ni iklan yang Roy buat ni... kenapa tak letak nombor telefon aje? Patutlah tak ada respon. Nasib baiklah Wisya ni sanggup datang cari rumah ni.” Kertas di tangan Wisya diambil lalu ditunjukkan kepada Ezroy.
Kertas itu dicapai. Sekilas dia memandang wajah Jamaliah dan Wisya. Dalam diam dia mengakui silapnya. Tidak begitu teliti meletakkan butir-butir penting pada iklan seakan itu.
“Alah nek wan... nombor telefon kan privacy? Roy saja nak tengok siapa yang sanggup usaha lebih sikit nak dapatkan kerja ni,” dalih Ezroy tidak mahu mengaku silapnya. Mana mungkin dia mahu menyatakan kesilapannya di hadapan Wisya.
Jamaliah hanya mencebik.
“So, macam mana?” soal Ezroy merenung tepat ke wajah Wisya. Lagaknya bagai penemu ramah profesional sahaja mengajukan soalan.
Wisya kehilangan kata. Memang hatinya berkobar-kobar sebentar tadi namun tatkala mengetahui yang bakal diajar itu ialah adik kepada Ezroy, tiba-tiba rasa hatinya jadi lain. Hendak ditolak, sudah terlanjur pula dia ke situ.
Ah, kiranya aku tahu iklan tawaran guru sementara itu dari lelaki ini... Tak ingin aku bersusah payah mencari kediaman itu!
“Kira jadilah ni... Lagipun cucu nek wan tu dah lama sangat duduk membuang masa kat rumah ni,” sampuk Jamaliah memutuskan sendiri. Jika tidak berminat, tak mungkinlah anak gadis itu bersungguh-sungguh datang.
“Okey, lusa kau boleh start. Waktu, pukul 10 pagi sampai pukul 2 petang. Weekdays, pukul 4 petang sampai pukul 6. Boleh?” soal Ezroy.
Wisya bungkam. Hendak menolak, dia tidak tahu kata apa yang harus dilemparkan. Dia tidak mahu memalukan diri di hadapan Jamaliah memandangkan sebelumnya dia begitu beria-ia menunjukkan minat. Semuanya sudah terlambat! Sekilas dia memandang wajah Ezroy. Hee.. muka lelaki ni kan nak aje aku baling dengan batu!
“Boleh ke Wisya?” Jamaliah meminta kepastian.
“Insya-ALLAH nek wan... Esok saya datang. Terima kasih, saya mintak diri dulu.” Kalaulah aku tahu dari awal... Hati Wisya menjerit kuat!

3 comments:

iranurazira.blogspot.com said...

sikit sngat la,da x sbr nk tau yg sterusnya..bila nk kluar nvel nie kak??

LZ's Novel said...

Dear, tqvm sudi luangkan masa baca enovel akk.. InsyaALLAH kalau ada rezeki phak Grup Buku aprove, pertengahan tahun dpn baru keluar.. :)

Unknown said...

tpi rsenya tajuk tu da okeh kot. haha