Curi-Curi Suka #3

BUNYI hon kereta dari belakang mengejutkan Wisya. Ketika itu dia dalam perjalanan ke kelas. Serentak dia berpaling. Sebuah kereta Satria NEO berwarna emas sudah berhenti di sebelahnya di bahu jalan. Eh, suka hati mak kau aje nak berhenti kat sini.
Tatkala cermin kereta diturunkan, dia dikejutkan dengan wajah Daniel dan Ezroy di dalam kereta.
“Selamat pagi Cik Tipah. Sudikah ditumpangkan dengan kereta saya?” soal Daniel yang duduk di tempat duduk pemandu.
“Tak payah! Dari sini boleh merangkak aje nak pergi fakulti tu,” balas Wisya sedikit garang. Kakinya terus melangkah tanpa berpaling memandang kedua-duanya.
“Kau merangkak sekarang aku nak tengok!” ucap Ezroy dengan suara yang sedikit keras.
Wisya menahan geram. Kalaulah ada kaca kat tangan ni, nak aje aku baling kat muka kau! Malas ingin menghiraukan kedua-duanya, dia terus menapak menyusuri laluan pejalan kaki. Namun kereta Daniel terus mengekornya. Perlahan sahaja kereta itu bergerak seiring dengannya. Dia mula rimas!
“Naik ajelah. Jauh lagi fac tu kot,” pelawa Daniel yang sememangnya ikhlas ingin menumpangkan gadis itu.
“Terima kasih banyak-banyak... Saya boleh jalan kaki sendiri. Selama ni pun saya jalan kaki. Terima kasih ya!” Wisya memplastikkan tona suara dan ekspresi muka. Derapan langkahnya semakin laju meninggalkan kereta Daniel.
Tiba-tiba deruman enjin kuat kedengaran. Serentak bunyi hon kereta yang ditekan lama mengejutkannya. Wisya tersentak. Hampir melompat di situ. Dilihat Ezroy dan Daniel saling ketawa di dalam kereta. Kurang ajar!

PERUT Wisya sudah berkeroncong hebat. Mujurlah suasana di dalam makmal agak bising dengan suara rakan-rakan sekelas. Tidaklah jelas kedengaran bunyi perutnya yang bersenandung sejak dari tadi. Seminit dua dia cuba fokus pada tugasan berkumpulan yang sedang dilakukan, mencatit data di dalam buku nota dan sebagainya.
Sekilas dia mengerling jam tangan yang sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Tinggal sikit masa lagi lab photovoltaic itu akan tamat. Setengah jam yang harus dinanti dengan rasa kebulur macam nak pengsan.
“Wisya, lepas ni aku ada hal sikit kat PTAR3, nanti kau balik dulu ya?” Tiba-tiba Dasyila bersuara.
“Okey...” balas Wisya sambil tangannya mencatit sesuatu di dalam buku. Terpaksalah dia makan di kafe fakulti sahaja selepas ini. Berjalan kaki ke rumah sewa dengan perut lapar mahu boleh pitam tepi jalan.
Akhirnya jam menunjukkan pukul 6 petang. Bagai ingin melompat girang rasanya tatkala kelas sengsara selama 4 jam itu tamat. Tanpa menanti sesiapa lagi Wisya terus meluru ke kafe.
Ramai pelajar masih melepak-lepak di situ. Tanpa mempedulikan kehadiran mereka, Wisya terus ke kaunter memesan makanan.
“Nasi ayam satu! Nasi kasi lebih sikit ya? Lepas tu kasi teh ais,” pesan Wisya tanpa segan silu sambil tersenyum ke arah wanita separuh abad pemilik kafe itu.
Seketika dia berpaling ke belakang melihat gelagat pelajar-pelajar di situ. Kebiasannya dia jarang makan di situ selepas kelas petang. Namun kerana Dasyila tidak pulang bersamanya, terpaksalah dia menghadap juga makanan di situ. Kerana kuantitinya yang sedikit menjadikan Wisya tidak memilih untuk makan di kafe tersebut.
Perutnya yang berkapasiti besar tidak cukup untuk makanan yang sebanyak yang diberikan. Dia mahu lebih. Bukan tamak tetapi memang dia dasar kuat melantak. Tidak lama kemudian menu yang dipesan siap. Selepas membayar harga makanan, dia mengangkat pinggan dan cawan untuk beredar.
Ketika berpaling tiba-tiba dia terlanggar seseorang di belakangnya. Nasi dan air yang dipegang tertumpah di baju pelajar lelaki itu sebelum jatuh ke lantai.
“Cilaka!”
Spontan Wisya mendongak memandang wajah pelajar lelaki itu. Alangkah terkejutnya dia melihat seraut wajah yang cukup dikenali itu.
“Mana kau letak mata kau hah? Heee habis baju aku!” marah Ezroy sambil mengibas-ngibas jaket makmalnya yang sudah kotor terkena sos kicap nasi ayam.
Saat itu semua mata sudah tertumpu ke arah mereka. Wisya beristighfar dalam hati. Mengapa setiap kali ada sahaja bencana yang menimpa dirinya setiap kali bertemu dengan pemuda itu. Lantas dia mencapai tisu di kaunter lalu mengesat kesan kicap dan air yang terpalit pada jaket Ezroy.
“Oii... apa kau buat ni?” Ezroy mengelak. Tangan Wisya ditepis.
Eh, salah ke tindakan aku? “Sorry, aku tak sengaja...” Wisya mengaku silapnya. Memang dia terburu-buru kerana lapar tadi. Ya ALLAH rasa tebal muka ni diperhati dengan begitu asyik sekali. Oh, aku rasa glamour sekarang.
“Lain kali mata kau tu tengoklah sikit! Main redah aje!” Ezroy meninggikan suara. Lelaki itu gamaknya tidak pernah peduli dengan pandangan yang lain. Sekilas dia melingas memandang yang lain. Ada yang terkebil-kebil, ada yang tersenyum mengejek menyaksikan.
Tiba-tiba lelaki itu beredar pergi. Menghilang entah ke mana. Dilihat makanan yang sudah tertumpah tadi dibersihkan oleh pekerja kafe. Seleranya sudah mati. Rasa laparnya juga sudah hilang. Tak ada rezeki barangkali. Dia memujuk hati sendiri. Tetapi menangis dalam hati...
Namun begitu hatinya geram juga dengan sikap Ezroy yang sesuka abah menengkingnya di depan pelajar-pelajar lain. Ikutkan saka aku ni, mahu sahaja ditempeleng muka itu. Bukan aku tak mintak maaf!
Tanpa menanti lagi Wisya segera beredar. Tidak sanggup lagi diperhati seakan-akan sedang bertelanjang di situ. Dengan rasa hati yang sebal dia menyusur ke kaki lima lantas keluar dari bangunan fakulti.
Langkahnya gontai melewati fakulti kejuruteraan lalu melangkah ke laluan pejalan kaki untuk pulang. Tiba-tiba kedengaran hon dari arah belakang. Serentak sebuah kereta berhenti di sebelahnya.
Wisya tersentak. Dia cam amat akan kereta itu.
“Oii....” Wajah Ezroy kelihatan sebaik sahaja cermin kereta diturunkan. 
“Haa apa lagi yang kau tak puas hati?” Kali ini Wisya tidak mahu kelihatan lemah di mata lelaki itu. Tambahan lagi perutnya yang lapar amat menjejaskan emosi rasionalnya ketika ini. Ya, ia sangat berkait okey?
“Wow... garang bukan main lagi kau?” Ezroy tersenyum sinis. Sekilas dia memandang tag nama di jaket makmal gadis itu.
‘WISYA’. Seketika dia jadi hairan. Bukankah nama gadis itu Latifah? “Nah...” Tiba-tiba Ezroy menghulurkan jaketnya.
“Apa ni?” Kening Wisya sudah berkerut seribu.
“Aku nak kau basuh jaket aku ni,” ujar Ezroy bersahaja.
“Kenapa pulak aku kena basuh jaket kau?” Wajah Wisya jelas tidak puas hati. Seenak-enaknya lelaki itu menyuruhnya yang bukan-bukan.
“Hai... kau tanya aku kenapa kau kena basuh jaket ni? Kalau orang jahanamkan harta benda kau, kau mintak dia ganti rugi tak?”
“Tak!” balas Wisya pantas. Wajahnya sinis menentang sinar mata Ezroy juga boleh dikira sinis.
“Itu kau tapi aku tak... kau dah kotorkan jaket aku. Jadi, kau kena basuh.” Ezroy memutuskan aturan sendiri.
“Oh macam tu ke? Well... aku rasa setakat sehelai jaket macam ni kalau hantar dobi pun tak sampai 10 ringgit kot? Nak suruh aku basuh? Hah...” Wisya ketawa sinis. “Boleh blah!”
Lantas dia mengangkat kaki meninggalkan Ezroy. Tidak kuasa melayan lelaki sarkasrik itu. Beberapa tapak dia melangkah tiba-tiba kereta Ezroy menyaingi langkahnya dan serentak jaket itu dicampak keluar dari kereta ke arahnya.
Wisya tergamam. Namun pantas Ezroy memecut keretanya pergi. Hati ini TUHAN sahaja yang tahu.

“OII..”
Tiba-tiba satu suara memanggilnya ketika sedang melangkah ke kelas. Spontan dia menoleh ke belakang. Dilihat seraut wajah Ezroy berada di situ.
“Kau kalau panggil orang memang tak reti panggil dengan nama ke?” tempelak Wisya mempamerkan reaksi menyampahnya. Pagi-pagi lagi sudah terserempak dengan lelaki itu. What a bad day!
“Mana jaket aku?” Ezroy menyoal sambil matanya merenung tepat ke wajah Wisya.
“Aku lupa nak bawak, tertinggal kat rumah,” balas Wisya melontar pandangan ke arah lain.
“Habis, aku nak pakai apa masuk lab nanti?”
Wisya tersenyum sinis. “Kau ingat jaket kau tu penting sangat ke aku nak ingat? Takkanlah takde jaket tak boleh pinjam yang kawan kan?”
“Aku nak jaket aku.” Ezroy bersuara keras. Wajahnya serius memandang Wisya. Tiada langsung riak takut pada wajah itu. Sinis seperti muka mintak pelempang.
“Jaket kau tak ada. Aku tak bawak. Kau faham tak? Hei dah lah.. Aku takde masa nak layan kau pagi-pagi buta ni.” Lantas Wisya berpaling semula mengorak langkah ke kelas. Namun langkahnya dihalang Ezroy.
“Ada takde, aku nak jaket tu sebelum pukul 2.” Ezroy bagai kapten mengarah anak buahnya sesuka hati.
Geram sungguh dengan sikap Ezroy yang sesuka hati mengarahnya. “Kalau kau nak sangat jaket kau tu, kau pergi ambik sendiri kat rumah aku. Kat toilet dalam baldi,” ucap Wisya selamba. Sebetulnya jaket itu masih belum dibasuh. Memang dia sengaja mahu membiarkan jaket itu direndam lebih lama. Biar luntur biar jadi warna kelabu!
Ezroy bungkam. Sifat Wisya yang melawan membuatkan dia rasa tercabar. “Wei gila. Jaket tu aku nak pakai petang ni! Kenapa kau tak basuh lagi?!”
“Aku nak basuh bila-bila masa pun suka hati akulah... Yang kau pandai-pandai sangat humban jaket tu kat aku kenapa? Siapa suruh? Hah.. tu pun nasib baik aku nak kutip. Okeylah... Esok lusa aku pulang jaket kau tu. Tengoklah kalau aku rajin. Hmm?” Wisya mengukir senyuman. Namun bukan ikhlas yakni bersifat mengejek. Lantas dia beredar pergi meninggalkan Ezroy.
Ezroy mendengus geram. Ingin sahaja dia melaung nama gadis itu sekuat hati. Namun kewujudan pelajar-pelajar lain membantutkan niatnya.   

2 comments:

Unknown said...

ahaks! ezroy tercabar..haha

ameyra amin said...

wah ! berani betul si wisya nie . kesian ezroy .