Curi-Curi Suka #2

BEBOLA mata Wisya tertancap tepat pada angka di dalam lif yang berubah-ubah. Keadaan di dalam lif agak sesak dipenuhi dengan pelajar-pelajar lain. Fenomena biasa di waktu pagi.
Rasa sakit-sakit akibat jatuh semalam masih terasa. Malam semalam serata tubuhnya terasa sengal dan bisa-bisa. Mujurlah kepala ini selamat dari sebarang hantukan. Jika tidak, mahu terencat seumur hidup. Ya lah.. Palang penghadang di situ semuanya besi.
Sebaik sahaja angka menunjukkan nombor 11, pintu lif terbuka. Perlahan-lahan dia menanti giliran untuk ke luar dari lif yang sesak itu. Mujur sahaja waktu pagi. Jika tidak pasti pelbagai bau yang boleh dihidu tatkala bersesak-sesakan seakan itu.
Tatkala berjaya meloloskan diri keluar dari lif, Wisya bergegas ke kelasnya. Hari ini dia terpaksa berjalan kaki sendirian ke kelas dek kerana jadual waktu yang tidak sama dengan rakan-rakan serumah yang lain. Kelas mereka hari ini bermula pada pukul 10.30 pagi.
Tiba di kelas, pandangannya tertancap pada seraut wajah yang sedang bergelak ketawa di hadapan kelas. Serentak juga matanya menangkap satu lagi wajah yang pernah dilihat beberapa minggu yang lalu. Wisya tergamam seketika.
“Hei...” Tiba-tiba lelaki berwajah Inggeris yang masih tidak ketahui nama itu menegurnya.
“Hai...” sapa Wisya hendak tidak hendak. Seketika dia melingas pandangan ke arah kelasnya. Kelihatan beberapa orang rakan sekelasnya yang sedang duduk di kerusi di hadapan kelas tanda pensyarah yang mengajar masih belum tiba.
“Awak yang jatuh tangga kat library hari tu kan?” soal lelaki itu dengan nada mengejek. Tersuing senyuman pada bibirnya. Kalau boleh ditumbuk muka itu sampai lebam...
Wajah Wisya berubah. Dilihat beberapa orang pelajar lelaki yang lain di situ sudah tersenyum-senyum sesama mereka. Hanya seraut wajah sahaja yang mempamerkan reaksi angkuh memandang sinis ke arahnya. Apa kena dengan lelaki itu barangkali? Aku pernah bakar rumah dia ke yang dia nak jeling aku bagai nak juling bijik mata macam tu?
“Ya saya. Kenapa?” balas Wisya jelas dengan nada yang kurang senang. Apa lelaki kacuk itu sengaja berniat memalukan dia di hadapan rakan-rakannya yang lain? Hatinya jadi panas tiba-tiba.
Pemuda itu hanya tertawa kecil. Mampu mengesan nada kurang senang yang dilemparkan Wisya. “Relax... that was just the only incident that can remind me about you. I didn’t mean to embarrass you here. So, nak ke kelas ke ni?”
Terasa pelik pula mendengar lelaki itu berbahasa Melayu. Barangkali dek kerana pengaruh wajah Inggerisnya. Namun laju sahaja mulut Wisya menjawab.
“Ada shopping complex ke kat sini?” perlinya bersahaja. Hatinya mula naik menyampah menatap wajah-wajah di depan matanya itu. Jelaslah kini sekumpulan pelajar lelaki yang membuat bising di dalam perpustakaan itu dulu sefakulti dengannya. Hairannya, belum pernah dia bertemu dengan mereka sebelum ini.
Ah, jumlah pelajar kejuruteraan elektrik UiTM bukan 30 orang semuanya untuk dicam satu per satu. Tambahan lagi, dia bukan jenis yang suka mengambil tahu tentang orang lain. Wisya berkira-kira ingin beredar memasuki kelas, tiba-tiba lelaki yang pernah dilanggarnya dahulu menghalang perjalannya.
“Jumpa lagi ya awak... kat library, waktu yang sama, scene yang sama,” ejek lelaki itu lalu disahut dengan tawa rakan-rakannya yang lain.
Merona merah wajah Wisya ketika itu. Pantas dia melangkah masuk ke dalam kelas. Sakitnya hati dimalukan seperti itu! Ah, pasti sahaja cerita dia jatuh tergolek itu sudah tersebar meluas di fakulti itu!

BERHATI-HATI Wisya menuruni setiap anak tangga di perpustakaan itu. Sungguh dia paranoid dengan kejadian yang menimpanya dahulu. Ikutkan hati dia tidak mahu mengunjungi perpustakaan buat masa terdekat ini. Namun dia tidak punya pilihan tatkala jarak masa untuk kelas yang seterusnya terlalu suntuk untuk dia pulang ke rumah. Terpaksa juga dia ke perpustakaan menghabiskan waktu yang ada.
Sebaik sahaja keluar dari perpustakaan Wisya menyusur kaki lima menuju ke lif. Waktu kelas akan bermula beberapa minit lagi. Ketika menanti di pintu lif, telinganya menangkap suara pelajar-pelajar lelaki yang muncul dari arah tangga.
Spontan dia berpaling. Alangkah terkejutnya tatkala melihat dua raut wajah yang sedang mengorak langkah itu. Lekas-lekas Wisya berpaling semula. Pandangannya dihalakan ke depan pintu lif. Dalam hati berharap kehadirannya tidak disedari.
“Hai... jumpa lagi? Dari library ke?” tegur lelaki berwajah Inggeris itu ramah. Wisya berpura-pura tidak mendengar. Mintak jauhlah dua orang ni naik lif sekali dengan aku nanti.
Pintu lif terbuka. Tanpa mempedulikan kedua-dua pemuda itu, dia terus melangkah masuk. Namun dia tergamam tatkala dua lelaki itu turut sama melangkah ke dalam lif. Sudahlah hanya mereka bertiga di dalam lif waktu itu.
“Which floor?” soal lelaki kacuk itu memandang tepat ke arahnya. Jarinya ingin menekan butang-butang yang ada di situ.
“Empat belas,” balas Wisya melarikan pandangan ke arah lain.
“Part berapa erk?” soal lelaki berwajah mat salleh itu ramah.
“Tujuh.” Hai, semua jawapan main nombor apa ni? Sekilas dia mengerling ke arah butang-butang nombor di dalam lif. Didapati kedua-dua lelaki itu juga menuju ke tingkat yang sama.
Sudah berasap rasanya menanti lif bergerak ke tingkat 14. Tidak sanggup lagi bertiga-tigaan dengan kedua-dua lelaki yang tidak dikenali itu.
Tiba-tiba matanya tertancap pada nama yang tertera pada jaket fakulti yang dipakai oleh lelaki yang dilanggarnya tempoh hari. Seketika kemudian bebola matanya terkalih pada jaket yang dipakai lelaki kacuk itu.
Serentak pintu lif terbuka.
“Belajar rajin-rajin ya, awak,” tutur pemuda berwajah Inggeris itu nakal sebelum mereka terpisah di haluan yang berlainan sebaik sahaja keluar dari lif. Wisya terus menapak laju. Tidak menghiraukan kedua-duanya.
Hatinya benar-benar sakit dengan tingkah mereka yang seakan-akan ingin mengejeknya. Apa aku harus menghadap mereka sampai aku habis belajar kat sini? Oh, bakal bernanahlah telinga semester ini!

 WENG WENG! Bunyi motor-motor yang lalu lalang membingitkan telinga Wisya. Langkahnya diorak laju menuju ke restoran untuk membeli makanan malam. Dasyila dan rakan-rakan serumah sejak pagi tadi masih belum pulang dari Kuala Lumpur. Kata mereka ingin bersiar-siar di sana.
Hanya dia berseorangan tinggal di rumah mencantum jigsaw-puzzle sehingga kepala naik pening. Bukan dia tidak mahu menyertai rakan-rakannya. Memandangkan wang poket yang cukup-cukup untuk perbelanjaan bulan ini, dia terpaksa membantutkan niat. Walhal hati ini terlalu ingin memanjangkan langkah ke daerah lain.
Walau Dasyila dan rakan-rakan yang lain sepakat ingin menanggung segala perbelanjaan tambang pergi dan balik, namun mana mungkin dia mahu menerima semua itu. Biarlah...bersusah-susah dahulu.
Lima minit berjalan kaki, akhirnya Wisya tiba di sebuah kedai bernama D’Zart. Terus dia menghala langkah ke kaunter memesan makanan. Sementara menanti makanan siap dimasak, dia melabuhkan punggung menghadap peti telivisyen.
Sekilas jam di tangan dikerling. Pukul 9.00 malam. Selayang keluhan terluncur keluar dari mulut. Pandangannya terus tertancap pada telivisyen yang menyiarkan drama Melayu. Namun hati dan fikirannya tidak terlalu mentafsir apa yang sedang ditayangkan. Kosong. Pandangannya juga kosong. Tidak sedar dia memasuki daerah bermenung.
“Hai...” Tiba-tiba satu suara menyapa. Wisya tersentak. Spontan dia mendongak. Bagai hendak terkeluar biji matanya melihat dua raut wajah itu. Tiba-tiba buntutnya terasa seakan berasap.
“Dinner ke?” soal lelaki kacuk Inggeris saksi insiden jatuh tergoleknya di perpustakaan itu sambil mempamerkan senyuman manis. Bila masa pulak dia muncul? Ya ALLAH, kenapa KAU temukan aku dengan mereka ini?
Hakikat dunia ini kecil sudah lama diakui, dan untuk waktu ini dia seakan tidak rela menghadapi kenyataan yang satu itu. Dunia ini besar tetapi daerah Shah Alam ini kecil. Itu barangkali lebih tepat.
Wisya tidak menjawab. Sebaliknya menayang wajah selamba tidak melayan. Namun tiba-tiba kedua-duanya tanpa dipelawa dengan wajah tidak tahu malu menarik kerusi melabuhkan punggung di hadapannya.
“Sorang aje ke?” soal lelaki itu lagi ramah. Yang seorang lagi pula hanya membatu sambil menayang ekspresi wajah kekwat dan kerek! Pelik, sejekap nakal sekejap angkuh. Apa benda entah!
“Sorang aje...” balas Wisya mendatar sambil menyilang tangannya di atas meja menancap pandangan ke peti telivisyen. Mengapa sahaja lelaki itu sungguh gemar menganggunya? Dah nampak tu tegur macam biasa ajelah... Kau cakap hai, aku cakap hei. Tak payah nak menyibuk duduk depan aku ni! Gerutu Wisya geram.
“Oh by the way, saya Daniel... yang ni kawan saya Ezroy...” Lelaki kacuk itu memperkenalkan dirinya dan rakannya yang berwajah keras itu.
Heh.. tahu dah... ucap Wisya di dalam hati. Seketika pandangannya tertancap pada wajah lelaki yang bernama Ezroy itu. Entah kenapa setiap kali anak matanya seakan terkalih sendiri pada muka pemuda tersebut.
Walaupun si mata hijau dan berkulit putih melepak itu barangkali lebih menjadi perhatian ramai, tidak tahu mengapa lelaki berwajah sombong itu yang ingin dipandangnya.
“Saya kena tanya ke nama awak?” soal Daniel seakan menyindir sambil tersengih-sengih.
“Latifah... panggil Tipah aje,” jawab Wisya sengaja berbohong.
“Tipah? Hmmmm... sounds nice!” Daniel tertawa kecil sambil memandang Ezroy.
“Tipah major apa erk?” tanya Daniel seakan tidak canggung menggelar nama gadis di hadapannya itu.
Hee! Berbulu telinga aku ni! Ikutkan hati mahu sahaja dia mengangkat kaki beredar dari situ. Namun mengenangkan tomyam campur yang dipesan masih belum siap, terpaksalah dia menanti menghadap dua makhluk di depannya itu.
“Power...” Makin berat rasanya mulut ini hendak dibuka. Terasa malas juga suara yang ingin keluar dari kerongkong. Sungguh dia tidak ada mood melayan segala soalan kalah temuduga lelaki itu. Agaknya gen Mat Salleh ni memang kuat bercakap kot?
“Oh... Samalah! Tapi kita orang part 8. Tapi muka Tipah familiarlah. Rasa macam pernah jumpa sebelum ni...”
“Ya... yang jatuh tergolek kat tangga PTAR 3 sayalah tu.” Itukan kau nak cakap? Tak apa... biar aku cakap dulu!
Daniel ketawa lepas. Ezroy di sebelah hanya menahan tawa. Harus kontrol cool.
“No no no... bukan kejadian tu tapi hari sebelum sebelum tu... I think I’ve ever seen you around the campus.”
“Oh biasalah tu. Muka budak electrical semua muka familiar...” balas Wisya bersahaja. Seketika dia menoleh ke belakang melihat kalau-kalau makanannya sudah siap dimasak. Matanya tertancap pada seorang lelaki baru keluar dari dapur dengan bungkusan di tangan. Lelaki itu memberi isyarat mata kepadanya. Itu tandanya makanan yang sedang dibungkus itu miliknya.
“Okey... makanan saya dah siap tu... saya balik dululah ya?” ujar Wisya sedikit jengkel sambil mengangkat punggung. Kaki ni kalau boleh nak berlari secepat mungkin dari situ.
“Eh, kenapa tak makan kat sini aje? Makan sinilah dengan kita orang...” ujar Daniel entahkan sengaja ingin mengusik. Ah, kalau ikhlas sekalipun tak ingin aku! Nak makan semeja dengan mereka yang tidak dikenali? Oh tidaklah...
“Tak apalah. Dah bungkus dah pun tu. Lain kali ajelah...”
“Alah, dah bungkus bukannya tak boleh makan kat sini. Tak adanya aunty tu nak marah kalau nak makan kat sini makanan tu. Kan aunty?” ujar Daniel selamba sambil menjongketkan kening pada isteri tuan restoran yang berada di kaunter.
Serentak Wisya berpaling memandang wanita itu. Dia hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum. Ewah kau... kau ingat ni kedai abah kau ke apa?
“Makan dengan kawan-kawanlah seronok. Boleh sembang-sembang. Nanti kat rumah sorang-sorang aje...” celah makcik yang tidak diketahui nama itu pula seakan menyokong kata-kata Daniel. Macam tahu-tahu pulak makcik ni aku sorang-sorang kat rumah tu.
“Haa.. dengar tu...” sahut Daniel lagi sambil tersengih-sengih.
Wisya hanya tersenyum. Senyum terpaksa ni! Tanpa mempedulikan Ezroy dan Daniel terus dia melangkah ke kaunter membayar harga makanan. Tanpa sebarang kata dia beredar meninggalkan restoran.
“Tipah! Tipah!” Suara Daniel yang melaung-laung tidak diendahkan. Dia tidak mahu menoleh lagi dan terus melangkah laju menuju pulang. Apalah nasib bertemu dengan mereka di situ. Haru biru jadi kehidupan malam aku!

5 comments:

atasinchi97 =) said...

haha..tipah..tipah...
xpe...sdp jgk nme tipah tu..
ngeh3...smbg la lgi kak yana..
sdp crite ni..=)

Admin said...

so talented la budak liyana ni

LZ's Novel said...

Atasinchi: TQ 4 readin this dearly..

Phat: TQ 4 ur support.. May ALLAH bless u InsyaALLAH.. :)

Hafimi Huzin said...

comel :)

Anonymous said...

hai cik liyana~ i dah baca buku 1st. tengah cari 2nd.

just nak tegur pasal istilah 'part' dalam entry ni.

i time kat u dulu, tak panggil 'part' tapi 'semester'.

nasib baik ada kawan u lain yang maklumkan istilah mereka ni.

so, i harap cik liyana kasi explain sikit ek pasal 'part' tu.

takut ada yang tak faham. hehehe..

luv, diyajamal