Rindu Awak 200% #2



SEBULAN selepas pertemuan Faezrul dengan Raziqah dan Zahirin, dia terkejut tatkala menerima panggilan dari Iqbal menyatakan sesuatu tentang kedua-duanya. Perihal yang cukup membuatkan otaknya jadi bingung selama beberapa hari. Semua yang dilakukan jadi serba tidak kena.

Berita yang disampaikan Iqbal benar-benar membuatkan seluruh jasadnya bergetar. Seribu satu maksud yang tersirat seakan-akan mampu dibaca menerusi apa yang diucapkan oleh bapanya itu. Namun, mulutnya berat untuk menyatakan tidak. Cuma dicakap perlu waktu untuk berfikir.

Tawa Azad yang bersambung-sambung membuatkan jiwa kacaunya bertambah rungsing. Sahabatnya itu jelas tidak membantu untuk meredakan hatinya. Serasa mahu sahaja dikapak kepala lelaki itu biar tawanya terhenti. Lama-lama, sakit juga telinga mendengarnya.

“Macam mana ni wei? Tak pernah bapak aku macam ni,” luah Faezrul dengan keluhan berat.

Seketika matanya terkalih ke luar restoran melihat beberapa orang yang lalu lalang. Hatinya jadi kosong sekosongnya.

Selama ini Iqbal tidak pernah mengutarakan perihal jodoh kepadanya. Bapanya itu mengerti sepenuhnya yang hatinya belum terbuka untuk menerima mana-mana perempuan lagi. Malah jika ada yang bertanya, Iqbal tidak pernah memberi sebarang komen yakni memberi hak sepenuhnya untuk dia meredakan hati selama ini. Kenapa tiba-tiba pendirian Iqbal berubah drastik?

“Terima ajelah, Zill. Kau nak tunggu siapa lagi? Selama ni pun kau tak pernah mencari. Dah ada orang merisik-risik tu, kau sapu ajelah.” Tawa Azad semakin galak. 

“Kau gila ke apa? Kau bayangkan... aku pernah jumpa dia orang sekali aje masa Nazneen kahwin hari tu. Masa kecik-kecik memanglah aku pernah jumpa. Tapi tu dah lama. Lepas tu tiba-tiba bapak aku call cakap nak kenalkan aku dengan anak perempuan dia orang. Kalau dah suruh kenal tu, kau faham-faham ajelah. Orang tua ni bukannya nak cakap direct. Aduh... haru aku macam ni... Mampus aku, Zad!” Faezrul menggeleng.

“Hmm, kira hebat jugaklah kau ni ek? Sekali jumpa dah cair hati orang tua tu kena penangan kau. Belum dua tiga kali jumpa lagi tu. Mahu suruh kahwin esok jugak. Aku agak dia orang memang dah berkenan kat kau dari dulu lagi kot? Ke kau ada jampi-jampi ni?” Azad semakin galak mengusik.

Satu keluhan berat dilepaskan Faezrul. Air suam yang tinggal separuh diteguk habis. Terasa pahit mengalir di celah rengkung. Jiwanya bercangkaliwang. Satu demi satu perasaan mula memusat di nubari.

Selama ini, belum pernah Iqbal mengambil pusing akan siapa jua pilihan hatinya. Malah risik-risik sahabat handal yang berura-ura mahu menjodohkannya dengan anak mereka pun Iqbal tidak pernah peduli. Bapanya itu memberi hak sepenuhnya untuk dia menentukan perjalanan hidup. Hidup yang masih dibayangi kenangan silam yang tidak pernah hilang.

Alih-alih tatkala bertemu dengan Raziqah dan Zahirin, lain pula jadinya. Apa yang mendorong kedua-duanya untuk menyatukan dia dengan anak gadis mereka? Faezrul yakin, tentu sahaja kisah hidupnya telah diluahkan kepada Zahirin dan Raziqah. Dia tahu hubungan Iqbal dengan mereka agak rapat biarpun Zahirin itu adik beradik angkat arwah ibunya.

Bukan dia tidak mahu membantah. Namun mengenangkan Iqbal yang sudah banyak berkorban, hatinya jadi tidak betah. Bapanya itu jarang-jarang menyuarakan hasrat dan semestinya sekali dia membuka mulut menyatakan keinginan hati, terasa sukar baginya untuk menolak. 

“Biasanya jodoh dari orang tua ni, kekal. Selama ni pun, bapak kau tak pernah matchmake kau dengan mana-mana perempuan pun. Kot-kot kali ni, ada x-factor yang dia nampak, mana tahu. Instinct seorang ayah. Kau tak rasa macam tu ke?” 

Faezrul mengangkat bahu. Malas memberi sebarang komen walaupun ada sesuatu yang sedang berlegar-legar di benaknya ketika itu. Barangkali penerimaan Iqbal lebih kepada hubungan yang terjalin sejak sekian lama. Dia yakin, banyak perkara tentangnya diceritakan oleh Iqbal kepada Zahirin dan Raziqah. Sehinggalah dia dapat menangkap air wajah kedua-duanya yang menyimpan seribu satu erti setiap kali memandang

Sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun seperti selalu, dia lebih suka bersikap tidak endah dan tidak mahu ambil tahu. Kata Azad self-ignorancenya ada waktu terlalu tinggi. Tidak sensitif dengan perkara sekeliling dan hal ehwal semasa.

“Apa-apa hal kau balik dululah berbincang dengan bapak kau. Lagipun bapak kau cakap suruh kenal-kenal dulu, kan? Alah Zill, kalau TUHAN dah cakap ni jodoh kau, kau sedia ke, kau tak sedia ke, nak tak nak, kau kena terima. Kadang-kadang orang cakap hati ni tak boleh dilayan sangat. Nanti berlarut-larut, melalut-lalut, last-last ke laut,” tutur Azad penuh makna. 

“Kau cakap apa ni?” Wajah Faezrul tampak serius.

“Come on bro. Kau jangan buat-buat tak fahamlah. Dah lima tahun dah. Kau nak tunggu apa lagi? Makin lama, kau makin tua, makin berkedut. Elok-elok kau dapat jodoh perempuan muda, nanti sangkut dengan mak-mak orang, janda anak lima ke, baru kau tahu!”

“Dah tu kau? Apahal tak kahwin-kahwin lagi? Sembang kencang bolehlah, bro. Cermin dulu diri kau tu sebelum nak bagi nasihat kat aku,” tempelak Faezrul bersahaja. 

“Sekurang-kurangnya aku tak macam kau. Dibayangi nostalgia silam yang tinggal nostalgia tu. Aku pun tak fahamlah dengan kau ni. Nak cakap kau ni jenis tak realistik, tak jugak. Ish, tak fahamlah aku! Cakap berbuih pun kau bukan nak dengar.” 

“Aku bukan tak boleh lupa macam mana, Zad. Aku perlukan masa. Aku tak ready lagi. Kau faham tak?”“Manusia ni kalau nak tunggu ready betul-betul, sampai bila-bila dia duduk dalam perut mak dia. Kau faham tak? Kau kena terima hakikat yang sebenarnya jauh kat dalam dalam hati kau tu, kau tak boleh terima hakikat. Come on... dia takkan balik lagi kat kau, Zill!” 

Suara keras Azad menyentap seluruh urat dan saraf Faezrul. Namun seperti biasa, ia hanya seakan angin lalu yang menyapa seketika. Kala hilang, terus dilupa, menutup pintu mindanya untuk terus berfungsi.

No comments: