Curi-Curi Suka #8

CANGGUNG, kekok, tidak betah dan nyata tidak selesa! Itulah yang dirasakan Wisya saat berada di dalam kereta milik Ezril. Namun cuba dinyahkan perasaan dengan cara meladeni celoteh DJ di radio. Dan sememangnya dia adalah insan bijak membuat sikap pana dan selamba.
Sekejap sahaja dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Melayang  entah ke mana-mana sehinggakan panggilan Ezril langsung tidak tembus di pendengaran. Sungguh melampau.
“Wisya, are you listening me?” Untuk kali ke tiga Ezril menegur gadis di sebelahnya.
Wisya tersentak. Jiwa-jiwa yang enak berlayar meladeni perkara abstrak sebentar tadi serta-merta mencapai paras sedar sepenuhnya. “I’m listening to the radio... Sorry... what’s the question again?” Apa lelaki itu mengajukan sebarang soalan ke tadi? Oh, konfidennya aku ni.
Tiba-tiba tawa Ezril meletus.
“Kita nak pergi mana ni?” Setelah sekian lama baru Wisya ingin bertanya. Mengapa lelaki itu tetawa tadi? Ah, abaikan sahaja.
“Wisya, Wisya... awak ni memang kelakar kan?” ujar Ezril masih dengan sisa tawanya.
Wisya tersenyum sumbing. “Err... kita nak ke mana ya?” soal Wisya sedikit teragak-agak tanpa mempedulikan kenyataan Ezril sebentar tadi.
“Tak ke mana-mana. Duduk aje dalam kereta ni. Kita ronda-ronda...” jawab Ezril bersahaja.
“Hah? Bukan nak pergi makan ke?”
Soalan Wisya membuatkan Ezril menahan tawa. “Awak lapar ke?”
“Tak adalah lapar...” Alamak ai... kenapalah aku ni berperangai cipan macam ni? “Ada apa erk awak nak jumpa saya?” Wisya mengalih topik. Control beradab.
“Pasal adik saya, Ezroy...”
Bergetar seluruh ruang dada tatkala mendengar Ezril menyebut nama raksasa api itu. Dia senyap.
“Saya mintak maaf... bukan niat saya nak campur urusan peribadi awak. Tapi saya nampak awak macam tak selesa setiap kali Ezroy ada kat rumah. Saya bukannya tak nampak apa yang dia buat kat awak. Saya tahu dia tu macam mana. Tapi saya pelik kenapa Ezroy macam tak boleh terima awak. Pasal kejadian petang tadi, Zaryn ada cerita kat saya...”
Sungguh tidak diduga perkara itu yang ingin dipersoalkan Ezril. “Entahlah... saya pun tak tahu... Saya pun baru kenal dia. Kenal pun bukan berkawan. Tegur pun tak pernah. Tak kisah pun Ezril. Saya dah immuned. No heart feeling.”
Semudah itukah penerimaan gadis ini? Sekilas dia melihat raut wajah Wisya yang tenang.
“Saya mintak maaf sangat Wisya... Saya bukannya apa, awak pun lama lagi nak berulang-alik ke rumah tu. Jadi, saya tak nak awak rasa tak selesa.”
“Bukan masalah besar pun, Ezril... Janji dia tak belasah saya cukuplah...” balas Wisya selamba.
“Kenapa erk? Is there anything between you and him?”
“Tak ada apa-apa... Saya rasa lebih baik awak sendiri yang tanya dia. Sebab saya pun tak tahu.. Tak tahu sebab apa dia benci saya. Secara tiba-tiba... Tak perlulah awak mintak maaf...” Serba salah pula jadinya rasa hati ini. Silapnya bukan pada lelaki itu dan tidak seharusnya Ezril meminta maaf.
Seketika mereka saling membisu.
“Itu aje ke yang awak nak cakap?” soal Wisya memandang Ezril di sebelahnya sambil mengukir senyuman. Ah, lelaki ini terlalu bertimbang rasa. Jauh beza dengan kembarnya yang sungguh celupar dan menyakitkan hati!
Ezril tersenyum. “No...” Dia menggeleng.
Terkebil-kebil mata Wisya memandang lelaki itu. Menanti kata-kata dari mulut Ezril.
“Are you hungry?” soal Ezril.
“Saya kebulur nak mati dah ni,” balas Wisya lalu tersengih menayang gigi. Namun seketika kemudian dia seakan tersedar sendiri. Eee.. kenapa aku cakap macam ni, ni?

KALI pertama Wisya menjejakkan kaki ke Pavilion. Sungguh dia persis seorang manusia primitif Amazon yang terkebil-kebil melihat segalanya di pusat membeli-belah mewah itu.
Entah kenapa dia terasa janggal di situ. Namun kala melihat Zaryn dan Ezril yang tampak bersahaja, dia cuba membiasakan diri. Menurut sahaja ke mana kedua-duanya pergi.
Seketika mereka singgah di salah sebuah restoran bernama Food Republic untuk makan tengah hari. Deretan kedai yang terletak di tepi laluan pejalan kaki itu tampak luas dan dipenuhi orang ramai dari berbilang bangsa. Menampakkan ciri urban gaya hidup warga kota.
Buku menu yang tersenarai dengan nama-nama makanan aneh itu dibelek-belek. Saat si pelayan bertanyakan menu yang diinginkan, dia hanya menunjuk dengan jari. Cuma perlu bercakap dalam bahasa Inggeris, “Give me this”. Mudahkan berpura-pura tahu? Risiko; jika makanan tidak menepati citarasa padanlah muka sendiri.
Setengah jam menjamu selera, mereka beredar. Melewati satu persatu kedai di situ. Sesekali mereka akan singgah membelek pakaian-pakaian yang terjual.
Ezril sudah dengan haluannya di bahagian pakaian lelaki. Manakala Zaryn sudah menghala ke bahagian pakaian wanita. Wisya hanya menurut namun dia turut membawa haluan sendiri tatkala Zaryn sedang sibuk membelek pakaian yang ada.
Satu per satu pakaian di situ diperhati. Tidak perlu ditinjau tag harga yang melekat pada setiap pakaian yang ada. Semestinya harganya tidak mampu untuk dibeli oleh Wisya. Mahal bagai nak gila.
Kian jauh jaraknya dengan Wisya memusing satu kedai pakaian itu. Tiba-tiba kedengaran namanya dipanggil. Spontan Wisya berpaling. Kelihatan Ezril sedang menggamitnya. Lantas dia menghampiri lelaki itu.
“Look at this... Mana awak rasa lagi cantik?” soal Ezril sambil menunjukkan dua T-shirt ke pada Wisya.
“Ish, manalah saya tahu... Taste awakkan?” balas Wisya bersahaja. Apa ke pulak tanya aku?
Ezril tersenyum mendengar jawapan gadis itu. “Awak rasa yang mana? Saya tiba-tiba tak boleh bezakan yang mana lagi okey.”
Seketika Wisya memandang wajah lelaki itu. Ah, entah kenapa setiap kali melihat Ezril dia berasa Ezroy yang kini berada di depan matanya. Gila!
“Yang biru kot?” ucap Wisya sambil menunjuk ke arah t-shirt berwarna biru di tangan kiri Ezril.
“Biru? Hmm.. Okeylah, saya ambik yang ini,” ucap Ezril tanpa sebarang ragu lagi.
Wisya terlongo. Apa begitu mudah lelaki itu menurut pandangannya? Dilihat Ezril sudah membawa baju itu ke kaunter. Perlahan-lahan dia menapak ke kaunter. Zaryn juga sudah berada di situ mendapatkan Ezril. Tidak terlihat pula sebarang pakaian yang ingin dibelinya.
Setelah itu, mereka keluar menapak ke kedai lain pula. Sambil berjalan, mereka berbual. Celoteh kedua beradik itu ada waktu mencuit hati Wisya. Namun dia lebih banyak membisu dari menyumbang suara.
“Sekejap along. Nak kencing!” ujar Zaryn tatkala melewati tandas. Gaya bercakap nak buat pengumuman.
“Ish kau ni macam tak menyempat. Pergi cepat...”
“Along dengan Kak Wisya tunggu tau?” ujar Zaryn lantas melangkah laju menuju ke tandas.
“Penat ke?” soal Ezril menancap pandangan ke dinding wajah Wisya.
“Tak adalah...” balas Wisya pendek sambil tersenyum. “Biasa shopping kat sini ke?” soal Wisya sekadar berbasa basi.
“Jarang... lagipun kat sini barang mahal... Membazir aje... Sekarang ya lah ada sale...Sale pun macam tak sale jugak. Sama aje,” ulas Ezril dengan senyuman yang seakan tidak pernah lekang.
Wisya terdiam. Jawapan Ezril membuang tanggapan yang bermain di fikirannya. Sangkanya tempat-tempat seperti itu sahaja menjadi pilihan pemuda itu. Namun ternyata dia salah mengandai.
“Mana-mana pun sama. Waktu sale tu pun sama macam harga biasa. Tapi... besar erk tempat ni?” ucap Wisya sambil matanya melilau ke arah sekeliling.
“Awak tak pernah pergi sini sebelum ni?” tanya Ezril. Masih tidak berkalih pandangan pada wajah Wisya.
Wisya menggeleng. “Saya nak cari apa kat sini? Lagipun jauh dengan Shah Alam... Paling jauh pun saya pergi, Mid Valley tu aje.. Itu pun baru sekali dua. Bila dah tua-tua macam ni, tak ada nafsu nak merayap jauh-jauh buang masa kat shopping mall...”
Serentak Ezril tertawa. “Tua? Habis kalau awak tua saya ni super tualah ya?”
Wisya tertawa sama. “Betullah... paling kuat pun, Jusco Bukit Raja tu aje tempat melepak. Sana semua ada, wayang, KFC, Mc’Donalds.. Complete set. Dalam sebulan tak jejak kaki kat sana memang boleh sawan buih.”
Kali ini tawa Ezril semakin kuat.
“Amboi bukan main lagi ketawa? Cerita pasal apa ni?” Tiba-tiba Zaryn muncul tanpa disedari. Di pandang wajah Wisya dan Ezril silih berganti yang masih dengan sisa tawa.
“Tak ada apa-apa... haaa siap dah?” tanya Ezril menumpukan pandangan ke wajah Zaryn.
“Beres along...” Zaryn menayang gigi. “Kita nak pergi mana pulak lepas ni?”
“Solat Zohor lepas tu...” Ezril tidak meneruskan kata-katanya. Pandangannnya terhala semula ke wajah Wisya yang seakan-akan menanti kata-kata yang seterusnya.
“Tengok wayang!” sambung Zaryn seraya memetik jarinya. “Boleh Kak Wisya?”
“Takde hal... Janji jangan tak balik rumah sudah...” balas Wisya tanpa sebarang bantahan. Oh, betapa easy goingnya aku!

3 comments:

[rania firdaus] said...

pavilion? gua tak pnh sampai lg situ tau... rasa mcm diri ni tak layak je... hahaha...

nana, ezril ngan wisya ni beza umo wape?

Unknown said...

beznya klau dpt cg tusyen mcm wisya...haha sporting.

Rain said...

sempoi watak wisha ni. jgn bawak balik umah sudah

haha. yang tu yang nak tu!

boleh book novel dari sini?