Rindu Awak 200% #Bab 20

“NAIK ni?” soal Armel seraya menuding jari ke arah motosikal Yamaha Lagenda merah yang dinaiki oleh Faezrul. Matanya seperti mahu terjojol memandang Faezrul.

“Yalah... Habis tu awak nak jalan kaki?” soal Faezrul sambil memandang wajah isterinya yang sudah berkerut-kerut. Dah macam rupa manusia tak pernah tengok motor aje lagaknya.

Makin terbuntang biji mata Armel memandang suaminya itu. “Mana I reti naik motor macam ni! Tak naklah!” Dia membentak geram.

“Tak reti? Naik motor pun tak reti? Awak ni datang dari hutan ke apa naik motor pun tak pandai?”

“Apa?!” Mata Armel terjegil. Mulut lelaki ni semakin hari memang semakin terasa bisanya. Makin lama makin menyakitkan jiwa dan raga.

“Tak apa, tak apa. Esok lusa saya order superbike Honda Fireblade ya?” Faezrul masih ingin menyakat dengan riak wajah yang bersahaja. 

Hee... jawapan tu kalau tak menyakitkan telinga aku ni memang tak sah! “Naik ajelah kereta, apa salahnya? Kalau susah sangat, biar saya je yang drive!” Armel merengus di hujung kata.

“Jalan kampung ni sempit, Cik Puan Armel Aisya Mohd. Zahirin. Kalau bawak kereta nak berhenti nanti susah. Naik motor kan lagi senang. Nak berhenti ke apa, takdelah menyusahkan orang.” 

Wajah Armel sudah cemberut. Tidak pernah seumur hidupnya membonceng motosikal seperti itu. “Siapa suruh you berhenti? I tak suruh you berhenti pun.”

“Yalah... kan saya nak bawak awak tengok pokok beras. Awak jugak beria-ia cakap kat abah tadi nak tengok pokok beras, kan? Naik kereta leceh nak berhenti kat tepi jalan, orang nak lalu-lalang payah. Kalau naik ni, nak masuk dalam sawah padi tu pun boleh kalau awak nak.” 

Armel mendengus. Makin sakit hati apabila Faezrul mengejeknya dengan frasa ‘pokok beras’. Ikutkan hati ingin sahaja ditenyeh-tenyeh mulut itu sampai berbuih.

“Kalau awak tak nak naik, tak apalah. Saya pergi sorang ajelah kalau macam tu. Saya pun dah lama tak jalan-jalan kat kampung ni jumpa kawan-kawan lama. Awak duduk ajelah kat rumah ni. Dia orang semua pun ada kat atas tu. Kot-kotlah awak nak main dengan budak-budak ni ke? Kan?” ucap Faezrul dengan selirik senyuman pada wajahnya sambil memandang ke arah beberapa orang anak buahnya yang sedang ligat bermain di laman. Bukannya dia tidak tahu Armel cukup tidak senang dengan keletah anak-anak buahnya. Memang tidak ada rasa keibuan langsung perempuan ni.

Seketika Armel melarikan pandangan ke arah anak-anak saudara Faezrul yang leka bermain. Sesaat kemudian pandangannya kembali menatap dinding wajah Faezrul. Masih ada senyuman pada bibir lelaki itu.

“Hee!” Armel merengus geram. Tanpa menanti lagi dia menaiki motor itu. Sengaja dihentak-hentak sehingga bergoyang-goyang kenderaan bertayar dua itu.

“Hai... awak ingat ni kuda ke apa?” 

“Hee! Jalan ajelah!” marah Armel bengang sambil menampar bahu lelaki itu.

Faezrul menahan tawa. Namun, dia sendiri hairan dengan dirinya sendiri. Mengapa dia suka benar menyakat gadis itu?

KEHIJAUAN sawah padi yang terbentang luas begitu memukau pandangan. Tona biru langit petang kelihatan cantik kontra dengan bendang yang menghijau. Julung kali melihat panorama seakan itu di depan mata membuatkan dia Armel lupa seketika pada keadaan hatinya yang walang. 

Sungguh ini merupakan satu ketenangan mutlak yang dirasa buat pertama kalinya. Breathtakingly beautiful! Akan tetapi rasa dan perasaan itu hanya disimpan dalam hati. Dia tidak mahu Faezrul mengesan sebarang stimulasi positif dari dirinya.

Setelah beberapa minit melewati bendang yang luas di kiri dan kanan jalan, akhirnya Faezrul memberhentikan motosikalnya di satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok-pokok padi yang menghijau di sekeliling. 

Kesekian kali, pandangan Armel bagai dipukau dek keindahan pemandangan di hadapannya. Tidak jauh dari situ kelihatan sebuah pondok kecil yang berdiri di tengah-tengah sawah. ‘Cantiknya suasana di sini. Rugi pulak tak bawak polaroid,’ desis hatinya.

“Jom?” ajak Faezrul sebaik sahaja mereka turun dari motosikal. Dia menapak ke depan tanpa menanti sebarang respon dari Armel. Armel hanya menurut langkah pemuda itu tanpa sebarang kata. Sememangnya hatinya terasa begitu teruja untuk mampir ke pondok kecil yang dilihat itu.

“Awak nak pergi sana tak?” soal Faezrul seraya menuding jari ke arah pondok di tengah sawah itu.

“Ada apa kat sana?” 

“Apa yang awak nampak dari sinilah,” jawab Faezrul selamba. 

Bagai dijentik rasanya mendengar jawapan lelaki itu. Suara dan nadanya kedengaran seakan-akan kombinasi yang ideal untuk melahirkan rasa-rasa sakit hati di jiwanya. Apa ilmu lelaki ni pakai gamaknya? Muka tu pun sama! Muka mintak penunjal jari hantu!

“Awak nak pergi ke tak nak ni?”

Armel menarik muka. Pandangannya dihala ke arah lain. Namun, tiba-tiba dilihat Faezrul terlebih dahulu melangkah meninggalkannya. ‘Lelaki ni, geramnya aku!’ Lantas dia menapak mendapatkan Faezrul yang sedang mengorak langkah ke petak sawah menyusuri batas-batas kecil di situ.

Faezrul berpaling ke belakang. Dilihat Armel dengan wajah tidak puas hatinya sedang menghampiri. 

“Kenapa you suka sangat menyakitkan hati orang?” marah Armel tanpa mampu dikawal-kawal lagi. ‘Ikutkan hati nak aje aku selam-selam kepala kau dalam paya ni!’

“Hati orang, bukan hati awak,” balas Faezrul dengan suara yang mendatar. Baginya wajah seperti singa betina kebulur itu cuma ibarat seekor tikus mondok yang sedang menggigit kain perca sahaja. Seketika dia membayangkan wajah isterinya itu seperti wajah seekor tikus. Tidak semena-mena dia tertawa kecil.

“Habis I ni bukan orang?” Seperti hendak terkeluar-keluar biji mata Armel memandang wajah pemuda di hadapannya itu.

“Eh, ya tak ya, lah. Saya ingatkan awak tikus padi tadi.”

Pantas sahaja tangan Armel menampar lengan Faezrul sekuat hati. Lelaki itu benar-benar menaikkan api kemarahannya. 

“Awak ni nak marah aje. Saya cakap main-main pun awak nak ambil hati.” Wajah Armel direnung tepat. Setiap perilakunya seakan-akan tidak pernah kena di mata gadis itu.

“Hei, kalau nak bergurau ada caranya. You tu bercakap ikut sedap mulut aje. Anoyying tahu tak?” Ya, cara tutur kata lelaki itu amat menyakitkan hati. Seperti bilah-bilah tajam yang menghiris telinganya. Hairannya, semakin dijawab hatinya pula yang sakit sendiri. Lelaki itu cukup pandai buat muka selamba. 

“Okeylah... kita pergi kat pondok tu sekejap ya? Kita duduk dekat situ sekejap lepas tu kita balik. Boleh?” Faezrul seakan-akan ingin memujuk. Namun, nadanya masih kedengaran seperti ingin mengusik.

Satu jelingan dilemparkan ke arah Faezrul. Namun, entah kenapa rasa hatinya bagai terbuai seketika dengan tutur kata yang kedengaran lembut dari lelaki itu. 

Faezrul mengisyaratkan matanya mengajak Armel menurut langkahnya. Bagai dipengaruhi satu kuasa, Armel hanya mengikut pemuda itu dari belakang. 

Perlahan-lahan dia meniti batas yang membentuk petak-petak sawah itu. Permukaannya yang berair membuakan selipar yang dipakai sedikit tenggelam tatkala dipijak. Dilihat Faezrul semakin jauh meninggalkannya. Tiba-tiba, entah macam mana kakinya terperangkap dalam selut. Terbenam ibarat digam-gam. Sedaya upaya dia mengimbangi tubuhnya agar tidak jatuh. “Faez!” jeritnya. 

Faezrul yang tadi pantas melangkah berpaling ke belakang. Dilihat Armel sedang terpacak di tengah-tengah batas sambil cuba menarik keluar kaki dari selut. Dia tertawa kecil di situ sebelum melangkah mendapatkan Armel.

“Apasal tak cabut aje selipar ni? Awak tarik macam ni, sampai subuh esoklah jawabnya melekat kat dalam selut ni. Hisy!”

“Nak cabut macam mana kalau dah macam ni? Eee...” Armel mendengus geram. Tak reti nak sabar langsung!

“Sekejap... awak berdiri diam-diam. Jangan tarik kaki tu. Tanggalkan dulu selipar ni.” Faezrul sudah menghulurkan tangannya untuk membantu Armel mengimbangi tubuhnya. 

Namun belum pun sempat menerima arahan, selipar Armel sudah terputus akibat ditarik dengan daya kekuatan kakinya. Natijahnya, tubuhnya hilang imbangan. Namun, dengan cepat tangan Faezrul menarik tubuhnya lantas dipaut sekuat yang mungkin. Sepantas kilat tubuh Armel sudah berada di dalam dakapannya.

Seperti ada renjatan yang berlaku antara mereka, masing-masing terpaku, memandang antara satu sama lain. Beberapa saat kemudian mereka seakan-akan tersedar sendiri. Dengan pantas pelukan dileraikan. 

“Selipar awak dah putus.” Faezrul bersikap bersahaja seakan-akan tidak ada apa-apa berlaku antara mereka seraya mengangkat selipar Roxy berwarna ungu itu ke arah Armel.

“Habis tu macam mana I nak jalan ni? Tengok ni! Kotor tahu tak?” Armel membentak sambil menunjukkan kedua-dua kakinya yang sudah berlumuran lumpur.

“Tak kotor... Selut ni tanah aje bukannya najis. Awak tu pun asal dari tanah,” sindir Faezrul. Terasa pedih hati dan telinga Armel mendengarnya. Geramnya aku.

“Nah, awak pakailah selipar saya ni.” Faezrul menanggalkan kedua-dua seliparnya. 

Armel terpinga-pinga sambil memandang selipar Faezrul yang sudah ditanggalkan itu. Kemudian pandangannya terkalih pada wajah suaminya itu.

“Pakailah... Lagipun bahaya kalau awak tak pakai selipar. Takut terpijak apa-apa nanti saya jugak yang susah.” Memang dah cukup menyusahkan rasanya menghadap gadis yang cerewet seperti itu. Namun, dia masih bersabar selagi termampu. Apalah sangat bebelan mak nenek itu jika hendak dibandingkan dengan keceluparan mulut Armel selama ini.

Armel terus menyarung selipar milik Faezrul. Besar bukan main. Dah macam perahu kaki lelaki ni. Namun, entah kenapa ada rasa halus yang menyentuh hatinya membuatkan dia rasa serba salah. Apatah lagi melihat kaki Faezrul tanpa sebarang alas itu. Ah lantak kaulah. Kau yang nak bagi sangat selipar kau kan? Bukan aku mintak pun.

Batas yang berselut itu benar-benar menyukarkan pergerakkan Armel. Sesekali kakinya terbenam juga. 

Seketika Faezrul menoleh ke belakang. Dilihat isterinya itu masih terkial-kial menapak di batas kecil itu. Kedua-dua seliparnya masih terpegang di tangan. Sayang sangat selipar tu gamaknya. Atau dia fikir selipar itu boleh dijahit semula barangkali.

Tiba-tiba Faezrul menghulurkan tangannya ke arah Armel membuatkan gadis itu tergamam beberapa ketika. Bagai didorong satu bisikan halus, dia menyambut huluran tangan pemuda itu lantas berjalan seiring sehinggalah sampai ke pondok kecil di tengah sawah.

Bayu yang bertiup kuat terasa begitu nyaman menyapa tubuh mereka di pondok kecil itu. Liuk lentok pokok padi yang menurut arah tiupan angin mencipta melodi alam yang kedengaran gemersik di telinga. 

“Eee... apa tu?” Suara Faezrul memecah lamunan Armel. Jari lelaki itu tertuding ke arah kakinya. Serentak pandangannya terarah pada ‘objek’ hitam yang melekat dicelah ibu jari kakinya. Diamati seketika daripada jarak yang lebih dekat lantas disentuh. Lembik dan licin.

“Benda apa ni?” Dahinya sudah berkerut-kerut mengenalpasti objek di kakinya itu. 

“Awak pernah dengar perkataan linch?” 

“You must be joking right?” Bagai hendak tersembul biji mata Armel mendengar perkataan itu. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat haiwan itu di depan mata. 

“Bergurau apa? Itulah dia bendanya.” Faezrul ketawa. 

Serentak Armel dapat mengenalpasti haiwan berlendir yang melekat di celah jari kakinya itu. Jeritannya mula kedengaran. Kakinya dilibas-libas dan dihentak-hentak sesuka hati. Habis tercampak selipar Faezrul yang tersarung di kaki. Namun lintah itu masih melekat di situ.

“Tolonglah buangkan! Eeeeee!” Tubuh Armel sudah menggeliut kegelian. Rasa nak terkencing pun ada.

“Biarkan ajelah dia kat situ. Bukan boleh mati pun.” Faezrul masih ingin menyakat. 

Tiba-tiba baju Faezrul ditarik. “I said throw it away!” Armel menjerit sekuat hati. Ikutkan hati mahu sahaja dia melalak di situ. Sungguh dia benar-benar geli akan haiwan kecil berlendir berwarna hitam pekat itu.

Seketika wajah Armel diperhati. Jelas rasa takut itu terzahir pada riak wajah isterinya itu. Timbul pula rasa kasihan di hatinya. Lantas kaki Armel dipegang lalu dibawa ke pahanya.

Perlahan-lahan lintah itu ditanggalkan. Armel memejam matanya rapat. Menahan rasa geli yang amat tatkala terasa tekstur kulit haiwan itu di kakinya. 

“Ya ALLAH... banyaknya darah! Hisy, kena bawak pergi hospital ni.” 

Suara Faezrul membuatkan mata Armel terbeliak besar. “Mana?” soalnya dengan suara seperti ingin menangis. Dia membelek-belek kakinya. Memang ada kesan darah di celah ibu jari kaki. 

“Tak ada pun. Darah sikit aje bekas kena gigit. Takut sangat...” tutur Faezrul bersahaja. 

“Mana dia?” soal Armel sambil mencari-cari lintah tadi di atas tanah.

“Dia? Tu... kenapa awak nak bawak balik? Goreng tepung sedap tu.” Faezrul masih mengusik sambil menuding jari ke arah lintah yang sudah tergolek di atas tanah.

“Eeei...” Armel mempamerkan reaksi kegelian melihat lintah yang sudah kekenyangan mengisap darahnya tadi. Tiba-tiba dia bingkas menyarung selipar lantas memijak-mijak lintah itu sekuat hati dengan sumpah seranah yang entah apa-apa keluar dari mulut. 

“Padan muka! Hisap darah aku lagi!” gumam Armel. 

Faezrul ketawa geli hati. “Macam tu sekali ek?”

“I tak derma darah I free free kat binatang ni tahu? You tahu lintah tu kotor dan bila dia gigit kaki I, bakteria-bakteria yang ada kat badan lintah tu berjangkit kat kulit I?”

Tu dia... Sekritikal itukah gadis ini berfikir? Seketika kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Kamera diaktifkan dan kemudian dihalakan ke wajah Armel. Tap! Satu imej Armel terakam di dalam telefonnya. Dia tergelak kemudiannya. Mahal gambar ni!

“Patutnya awak berterima kasih kat lintah tu sebab hisap darah awak yang tak berapa nak bersih tu. Awak tahu tak bila seekor lintah tu hisap darah manusia, dia cuma hisap darah kotor? Cuba tengok lintah tu. Sebab tulah darah lintah yang awak pijak tu warna dia pekat. Oh, itu bukan darah lintah tapi darah awak. Tengok... kotorkan darah awak. Hai... tak tahulah pulak awak ni ada masalah obsessive compulsive disorder.”

“Whatever... I nak balik sekarang!” Tidak ada yang cantik lagi daripada mata Armel di sekitar tempat itu. Hatinya panas. Sakit hati dengan bidasan kata suaminya. Lepas tu boleh pulak dia snap gambar aku yang sedang menunjuk perasaan. 

“Aye aye captain!” sahut Faezrul. Tanpa menanti Armel, dia bangun lantas mengorak langkah mendahului Armel meninggalkan kawasan pondok itu. 

Armel terpinga-pinga. Sikap Faezrul seakan itu benar-benar membiuskan perasaannya. Matanya terpandangkan batas yang terpaksa dititi sekali lagi itu. Ah, bencinya!

Rindu Awak 200% - Bab 19

GELAK tawa yang kedengaran dari arah dapur memecah keheningan waktu pagi di rumah itu. Iqbal yang duduk di kerusi hanya tersenyum melihat gelagat anak cucu dan menantu-menantunya yang sibuk mengemas dapur. Senang hatinya melihat kesemua mereka berkumpul di depan mata. 

“Zill, Armel mana?” soal Iqbal sambil menancapkan pandangan pada anak lelaki kesayangannya yang sedang sibuk melayan anak-anak buahnya menjamu sarapan pagi. 

“Armel kat dalam bilik, bah. Tengah kemas bilik kot?” jawab Faezrul acuh tak acuh. Tangannya masih menyuap nasi goreng ke mulut Ilnia.

“Lah... kenapa tak ajak dia makan sekali?” soal Afwani.

“Dia cakap dia pening kepala, tak larat nak bangun.” 

“Pening kepala? Hai... awal-awal dah pening?” Zaiyani, kakak sulung yang sedang membasuh pinggan menyampuk sambil tertawa nakal. Serentak, suara abang-abang iparnya kedengaran giat mengusik.

“Hisy, ada ke... Dia pening kepala biasa aje tu. Penat kot,” ujar Faezrul seakan-akan tidak terkesan apa-apa dengan usikan nakal ahli keluarga yang lain. 

“Tak pergi tengok dia?” soal Iqbal lagi. Entah kenapa hatinya berasa tidak enak. 

“Sekejap lagi, bah. Zill nak suapkan Nia ni.”

“Dah, tak payah. Pergi tengok bini kau tu. Kang entah pengsan, entah dah tergolek duduk kat dalam bilik tu. Ish, dia ni! Ada pulak ditinggal-tinggal macam tu bini tu. Nia, mari sini kat mama.” Afwani mengambil Ilnia dari atas riba Faezrul. Si kecil itu gemar betul berkepit dengan bapa saudaranya itu. Kalau boleh nak melekat aje dengan Faezrul.

Tanpa menanti lagi, Faezrul bingkas bangun dan membasuh tangan kemudian beredar dari dapur. Ketika masuk ke dalam bilik, dilihat Armel masih lena di atas katil. 

“Armel...” panggil Faezrul perlahan sambil duduk di birai katil. Matanya tertancap tepat pada wajah isterinya itu. Gadis itu sedikit pun tidak berkutik. Dia ni tidur ke memang dah pengsan?

Dia tahu Armel sengaja ingin mengelak dari bersua muka dengan ahli keluarganya yang lain. Kerana itu dia mencipta pelbagai alasan untuk tidak keluar dari bilik itu.

Kesekian kali nama Armel diseru. Kali ini wajahnya didekatkan sedikit ke wajah Armel. Gadis itu tersedar. Bagai terkena renjatan, dia terbangun dengan sendirinya. Mujur sahaja kepalanya tidak terhantuk ke kepala Faezrul.

“Apa you buat ni?” soal Armel sambil memegang butang pijamanya. Manalah tahu kalau-kalau lelaki itu mahu mengambil kesempatan. 

“Kejutkan awak bangunlah. Tu.. dah pukul berapa.” Faezrul mengunjuk jam di dinding.

Sekilas Armel melingas memerhatikan jarum jam yang sedang menunjukkan pukul 9.30 pagi. Wajahnya sudah berkerut seribu tanda tidak puas hati. “It’s still early okay!”

“Itu kat KL tapi kat kampung 9.30 pagi tu dah lewat! Duduk kat kampung ni kenalah ikutlah cara orang kampung. Bangun cepat! Dia orang semua asyik sebut-sebut nama awak kat dapur tadi. Sekurang-kurangnya tunjuk-tunjuklah sikit muka tu,” kata Faezrul selamba.

Armel membulatkan matanya. Ewah bukan main lagi dia mengarah-arahkan aku ya? “You tahu tak I tak selesa duduk dekat rumah ni? Dengan anak-anak buah you yang memekak tak henti-henti dari siang sampai ke malam. Rimas! Tahu tak rimas!”

“Tahu... Awak mana pernah tak rimas, kan? Saya pun rimas tengok awak rimas,” balas Faezrul bersahaja.

“Eee... You ni kan... I cekik baru tahu!” Kedua-dua tangan Armel diangkat seolah-olah ingin dicekik leher lelaki itu sekuat hati. Tidak mampu diungkap lagi rasa geramnya terhadap Faezrul. 

Faezrul tertawa kecil. “Armel... Armel... Dah... awak bangun, lepas tu awak pergi mandi. Nanti saya bawak awak jalan-jalan keliling kampung. Okey?” Lagaknya seperti memujuk seorang kanak-kanak sahaja. Dia bingkas bangun menarik cadar sehingga tegang, menyusun bantal dan melipat selimut. 

“Jalan keliling kampung? Apa yang ada kat kampung ni? Kalau setakat you nak tunjuk pokok-pokok beras kat tepi-tepi jalan semua tu, nak tunjuk hutan-hutan yang ada kat kampung ni, tak payahlah. I’m not interested!”

Tiba-tiba Faezrul ketawa. Armel terdiam. Pandangannya tertancap tepat pada wajah itu. 

“Apasal you ketawa?” soal Armel dengan nada geram. Seketika kemudian dia meneliti pakaiannya. Manalah tahu kalau-kalau butangnya tercabut ke, seluarnya terlondeh ke. 

“Pokok beras?” Tawa Faezrul bersambung lagi. Sungguh perasaannya bagai digeletek lucu saat ini. Perutnya ditekan tatkala rasa senak mula terasa.

Kening Armel bertaut. Dah hilang akal apa lelaki ni ketawa tak berhenti-henti. 

“Orang tak panggil pokok beras, orang panggil pokok padi. Tapi tak apa. Confident tu penting,” tutur Faezrul masih dengan sisa tawanya. 

Armel bingung seketika. Sejenak dia bermonolog sendirian. Pokok beras... pokok padi... pokok beras... pokok padi... Seketika dia keliru dengan kedua-dua frasa itu. Pandangannya terkalih semula pada wajah Faezrul. Lelaki itu masih tertawa sambil melipat selimut. Tiba-tiba dia malu sendiri. Baru sedar akan kesalahan sebutan. 

Namun, dalam masa yang sama geram melihat Faezrul yang masih belum berhenti mentertawakannya. Pantas dia mencapai bantal yang sudah tersusun elok di atas katil lalu dibalingkan ke tubuh lelaki itu. Padan muka kau!

ARMEL menurut langkah Faezrul menuju ke dapur. Seketika dia menjeling ke arah anak-anak buah Faezrul yang berkumpul di ruang tamu. Sudah lintang pukang keadaan ruang tamu itu dilihatnya. Ada yang baring terlentang menonton televisyen, ada yang bergumpal ibarat di gelanggang gusti dan ada pula yang berlari-lari menangkap bola. Aduh... Boleh mati aku menghadap keadaan macam ni hari-hari! 

Setibanya di dapur, kelihatan ipar duai dan adik-beradik Faezrul sedang berkumpul di dapur. Suasanya kelihatan meriah sekali. Berat rasa hatinya, berat lagi rasa kaki ingin melangkah menghampiri kumpulan manusia yang kelihatan begitu asing di matanya itu. 

Faezrul terlebih dahulu melangkah meninggalkan dia yang terpacak sendirian. Lelaki itu memang tak ada rasa peduli langsung padanya. Menonong sahaja dia mendapatkan Afwani dan Zaiyani yang sedang duduk bersila mengupas bawang di lantai.

“Armel, mari duduk sini,” sapa Iqbal. 

Armel terpinga-pinga seketika tatkala melihat bapa mertuanya menarik kerusi meja makan itu untuknya. Seketika dia melirik ke arah Faezrul. Pemuda itu buat tidak tahu sahaja padanya. Malah, tampak begitu asyik berbual dengan adik beradiknya yang lain. Entah kenapa hatinya terasa sakit. Walhal dia lebih suka jika lelaki itu membuat hal sendiri tanpa mempedulikannya. 

Dia melabuhkan punggung di sebelah Iqbal. Secalit senyuman dilemparkan. Dari jendela yang terkuak lebar. Hamparan sawah padi yang menghijau menarik perhatiannya.

“Kat rumah ni macam ni lah, Armel kalau semua balik. Bising sikit...” tutur Iqbal sambil merenung tepat ke wajah menantu barunya itu. Wajah yang dirasakan tidak begitu mesra pada pandangannya. 

Bising sikit? Macam tu punya bingit bagai nak pecah rumah boleh dikata bising sikit? Kalau bising banyak agaknya mesti dah macam bunyi gempa bumi gamaknya.

Namun, seboleh mungkin Armel cuba mengawal ekspresi wajahnya. Dia masih ingat, dia yang menyebabkan perkahwinan itu berlaku. Maka tidak seharusnya dia memprotes dalam bentuk sikap macam mana sekalipun terhadap ahli keluarga Faezrul. Maka, kepala otaknya masih lagi rasional.

“Sawah kat luar tu sawah abah ke?” soal Armel sekadar berbasa-basi. Hendak tergeliat juga lidahnya menggelar Iqbal dengan panggilan abah. Sungguh terasa begitu pelik dan asing.

Seketika kemudian Iqbal membuang pandang ke luar jendela. “Ha’ah... tapi abah tak kerjakan sawah tu dah. Dah tak larat, Armel. Jangan kata nak membajak nak menanam, nak melangkah ke sawah tu pun abah tak larat. 

“Habis tu siapa yang tanam pokok-pokok tu?” Berhati-hati Armel mengajukan soalan. Risau juga lidah ni terlepas cakap pokok beras di depan Iqbal. Kalau didengar oleh Faezrul, mahu dia dijadikan bahan ejekan di dapur itu. 

“Adik abah, Pak Lang Zaid. Yang duduk rumah dekat depan sana tu,” beritahu Iqbal sambil menuding jari ke arah rumah yang hanya kelihatan bumbung dari situ. “Nasib baiklah dia ada kalau tak terbiar macam tu ajelah sawah abah tu.”

Armel mengangguk. Sebetulnya dia sudah tertarik dengan persekitaran kawasan rumah itu sejak kali pertama lagi. Namun, hati yang dirundung duka seolah-olah membutakan matanya pada keindahan yang tersaji di depan mata itu.

“Petang nanti pergilah ajak Zill tengok-tengok kawasan kampung ni,” saran Iqbal seraya melarikan pandangan ke arah Faezrul yang sedang bersila membantu kakak-kakaknya mengupas bawang. Entah dia dengar entah tidak akan kata-katanya tadi.

“Itulah... Ingatkan nak ajak jugak dia jalan-jalan tengok kawasan kampung ni, tapi dia cakap dia malas. Nak berehat dulu sehari dua hari ni.”

Jawapan Armel membuatkan Faezrul terkesima seketika. Serentak bebola matanya terarah pada Armel. Wajah gadis itu tampak bersahaja tanpa memandang ke arahnya. Cis, memandai-mandai aje dia mereka-reka cerita.

“Alah... kalau setakat nak ronda-ronda kat kampung ni apalah sangat. Bukan jalan kaki pun,” tutur Iqbal lagi.

“Entah kau ni, Zill. Macamlah kau kena menapak dari rumah ni nak bawak isteri kau pusing-pusing kat kampung ni. Kalau nak berehat, banyak lagi masa kau boleh berehat kat rumah ni. 

Nama aje pengantin baru. Duduk memerap aje kat dalam rumah. Tak romantik langsung! Sekurang-kurangnya carilah privacy sikit. Ini tak...” Zaiyani menyampuk tidak semena-mena. 

“Alah, kalau kena jalan kaki pun apa ada hal. Orang kalau dah nama pengantin baru, asal berdua, jalan kaki, merangkak pun apa ada hal. Betul tak Kak Armel?” Giliran Nazneen pula mencelah. 

Armel hanya tertawa kecil. Tidak sangka pula kakak-kakak dan adik iparnya turut sama menghentam Faezrul. 

Bagai tertelan sebiji bawang rasanya ditempelak Nazneen. Amboi kalau dapat sekali berkumpul aku ajelah yang kena bahan. Kalaulah mereka tahu siapa sebenarnya Armel di belakang mereka... Semestinya gelak tawa seakan itu tidak akan wujud.

“Itulah... Saya teringin jugak nak tengok sawah padi kat kampung ni. Yalah kat KL tu, mana ada semua tu. Tengok sawah depan mata pun tak pernah. Tak apalah abah... Banyak masa lagi kat sini. Depan rumah ni pun dah boleh nampak sawah.” Suaranya sengaja dinadakan seolah-olah sedikit kecewa. 

Sekilas dia menjeling Faezrul yang masih bersila di lantai. Pandangan lelaki itu sudah semacam memandang ke arahnya. Hah... baru padan muka kau! Meriah lagi kau gelakkan aku tersalah cakap tadi. Sekarang kau rasa.


“NAIK ni?” soal Armel seraya menuding jari ke arah motosikal Yamaha Lagenda merah yang dinaiki oleh Faezrul. Matanya seperti mahu terjojol memandang Faezrul.

“Yalah... Habis tu awak nak jalan kaki?” soal Faezrul sambil memandang wajah isterinya yang sudah berkerut-kerut. Dah macam rupa manusia tak pernah tengok motor aje lagaknya.

Makin terbuntang biji mata Armel memandang suaminya itu. “Mana I reti naik motor macam ni! Tak naklah!” Dia membentak geram.

“Tak reti? Naik motor pun tak reti? Awak ni datang dari hutan ke apa naik motor pun tak pandai?”

“Apa?!” Mata Armel terjegil. Mulut lelaki ni semakin hari memang semakin terasa bisanya. Makin lama makin menyakitkan jiwa dan raga.

“Tak apa, tak apa. Esok lusa saya order superbike Honda Fireblade ya?” Faezrul masih ingin menyakat dengan riak wajah yang bersahaja. 

Hee... jawapan tu kalau tak menyakitkan telinga aku ni memang tak sah! “Naik ajelah kereta, apa salahnya? Kalau susah sangat, biar saya je yang drive!” Armel merengus di hujung kata.

“Jalan kampung ni sempit, Cik Puan Armel Aisya Mohd. Zahirin. Kalau bawak kereta nak berhenti nanti susah. Naik motor kan lagi senang. Nak berhenti ke apa, takdelah menyusahkan orang.” 

Wajah Armel sudah cemberut. Tidak pernah seumur hidupnya membonceng motosikal seperti itu. “Siapa suruh you berhenti? I tak suruh you berhenti pun.”

“Yalah... kan saya nak bawak awak tengok pokok beras. Awak jugak beria-ia cakap kat abah tadi nak tengok pokok beras, kan? Naik kereta leceh nak berhenti kat tepi jalan, orang nak lalu-lalang payah. Kalau naik ni, nak masuk dalam sawah padi tu pun boleh kalau awak nak.” 

Armel mendengus. Makin sakit hati apabila Faezrul mengejeknya dengan frasa ‘pokok beras’. Ikutkan hati ingin sahaja ditenyeh-tenyeh mulut itu sampai berbuih.

“Kalau awak tak nak naik, tak apalah. Saya pergi sorang ajelah kalau macam tu. Saya pun dah lama tak jalan-jalan kat kampung ni jumpa kawan-kawan lama. Awak duduk ajelah kat rumah ni. Dia orang semua pun ada kat atas tu. Kot-kotlah awak nak main dengan budak-budak ni ke? Kan?” ucap Faezrul dengan selirik senyuman pada wajahnya sambil memandang ke arah beberapa orang anak buahnya yang sedang ligat bermain di laman. Bukannya dia tidak tahu Armel cukup tidak senang dengan keletah anak-anak buahnya. Memang tidak ada rasa keibuan langsung perempuan ni.

Seketika Armel melarikan pandangan ke arah anak-anak saudara Faezrul yang leka bermain. Sesaat kemudian pandangannya kembali menatap dinding wajah Faezrul. Masih ada senyuman pada bibir lelaki itu.

“Hee!” Armel merengus geram. Tanpa menanti lagi dia menaiki motor itu. Sengaja dihentak-hentak sehingga bergoyang-goyang kenderaan bertayar dua itu.

“Hai... awak ingat ni kuda ke apa?” 

“Hee! Jalan ajelah!” marah Armel bengang sambil menampar bahu lelaki itu.

Faezrul menahan tawa. Namun, dia sendiri hairan dengan dirinya sendiri. Mengapa dia suka benar menyakat gadis itu?

KEHIJAUAN sawah padi yang terbentang luas begitu memukau pandangan. Tona biru langit petang kelihatan cantik kontra dengan bendang yang menghijau. Julung kali melihat panorama seakan itu di depan mata membuatkan dia Armel lupa seketika pada keadaan hatinya yang walang. 

Sungguh ini merupakan satu ketenangan mutlak yang dirasa buat pertama kalinya. Breathtakingly beautiful! Akan tetapi rasa dan perasaan itu hanya disimpan dalam hati. Dia tidak mahu Faezrul mengesan sebarang stimulasi positif dari dirinya.

Setelah beberapa minit melewati bendang yang luas di kiri dan kanan jalan, akhirnya Faezrul memberhentikan motosikalnya di satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok-pokok padi yang menghijau di sekeliling. 

Kesekian kali, pandangan Armel bagai dipukau dek keindahan pemandangan di hadapannya. Tidak jauh dari situ kelihatan sebuah pondok kecil yang berdiri di tengah-tengah sawah. ‘Cantiknya suasana di sini. Rugi pulak tak bawak polaroid,’ desis hatinya.

“Jom?” ajak Faezrul sebaik sahaja mereka turun dari motosikal. Dia menapak ke depan tanpa menanti sebarang respon dari Armel. Armel hanya menurut langkah pemuda itu tanpa sebarang kata. Sememangnya hatinya terasa begitu teruja untuk mampir ke pondok kecil yang dilihat itu.

“Awak nak pergi sana tak?” soal Faezrul seraya menuding jari ke arah pondok di tengah sawah itu.

“Ada apa kat sana?” 

“Apa yang awak nampak dari sinilah,” jawab Faezrul selamba. 

Bagai dijentik rasanya mendengar jawapan lelaki itu. Suara dan nadanya kedengaran seakan-akan kombinasi yang ideal untuk melahirkan rasa-rasa sakit hati di jiwanya. Apa ilmu lelaki ni pakai gamaknya? Muka tu pun sama! Muka mintak penunjal jari hantu!

“Awak nak pergi ke tak nak ni?”

Armel menarik muka. Pandangannya dihala ke arah lain. Namun, tiba-tiba dilihat Faezrul terlebih dahulu melangkah meninggalkannya. ‘Lelaki ni, geramnya aku!’ Lantas dia menapak mendapatkan Faezrul yang sedang mengorak langkah ke petak sawah menyusuri batas-batas kecil di situ.

Faezrul berpaling ke belakang. Dilihat Armel dengan wajah tidak puas hatinya sedang menghampiri. 

“Kenapa you suka sangat menyakitkan hati orang?” marah Armel tanpa mampu dikawal-kawal lagi. ‘Ikutkan hati nak aje aku selam-selam kepala kau dalam paya ni!’

“Hati orang, bukan hati awak,” balas Faezrul dengan suara yang mendatar. Baginya wajah seperti singa betina kebulur itu cuma ibarat seekor tikus mondok yang sedang menggigit kain perca sahaja. Seketika dia membayangkan wajah isterinya itu seperti wajah seekor tikus. Tidak semena-mena dia tertawa kecil.

“Habis I ni bukan orang?” Seperti hendak terkeluar-keluar biji mata Armel memandang wajah pemuda di hadapannya itu.

“Eh, ya tak ya, lah. Saya ingatkan awak tikus padi tadi.”

Pantas sahaja tangan Armel menampar lengan Faezrul sekuat hati. Lelaki itu benar-benar menaikkan api kemarahannya. 

“Awak ni nak marah aje. Saya cakap main-main pun awak nak ambil hati.” Wajah Armel direnung tepat. Setiap perilakunya seakan-akan tidak pernah kena di mata gadis itu.

“Hei, kalau nak bergurau ada caranya. You tu bercakap ikut sedap mulut aje. Anoyying tahu tak?” Ya, cara tutur kata lelaki itu amat menyakitkan hati. Seperti bilah-bilah tajam yang menghiris telinganya. Hairannya, semakin dijawab hatinya pula yang sakit sendiri. Lelaki itu cukup pandai buat muka selamba. 

“Okeylah... kita pergi kat pondok tu sekejap ya? Kita duduk dekat situ sekejap lepas tu kita balik. Boleh?” Faezrul seakan-akan ingin memujuk. Namun, nadanya masih kedengaran seperti ingin mengusik.

Satu jelingan dilemparkan ke arah Faezrul. Namun, entah kenapa rasa hatinya bagai terbuai seketika dengan tutur kata yang kedengaran lembut dari lelaki itu. 

Faezrul mengisyaratkan matanya mengajak Armel menurut langkahnya. Bagai dipengaruhi satu kuasa, Armel hanya mengikut pemuda itu dari belakang. 

Perlahan-lahan dia meniti batas yang membentuk petak-petak sawah itu. Permukaannya yang berair membuakan selipar yang dipakai sedikit tenggelam tatkala dipijak. Dilihat Faezrul semakin jauh meninggalkannya. Tiba-tiba, entah macam mana kakinya terperangkap dalam selut. Terbenam ibarat digam-gam. Sedaya upaya dia mengimbangi tubuhnya agar tidak jatuh. “Faez!” jeritnya. 

Faezrul yang tadi pantas melangkah berpaling ke belakang. Dilihat Armel sedang terpacak di tengah-tengah batas sambil cuba menarik keluar kaki dari selut. Dia tertawa kecil di situ sebelum melangkah mendapatkan Armel.

“Apasal tak cabut aje selipar ni? Awak tarik macam ni, sampai subuh esoklah jawabnya melekat kat dalam selut ni. Hisy!”

“Nak cabut macam mana kalau dah macam ni? Eee...” Armel mendengus geram. Tak reti nak sabar langsung!

“Sekejap... awak berdiri diam-diam. Jangan tarik kaki tu. Tanggalkan dulu selipar ni.” Faezrul sudah menghulurkan tangannya untuk membantu Armel mengimbangi tubuhnya. 

Namun belum pun sempat menerima arahan, selipar Armel sudah terputus akibat ditarik dengan daya kekuatan kakinya. Natijahnya, tubuhnya hilang imbangan. Namun, dengan cepat tangan Faezrul menarik tubuhnya lantas dipaut sekuat yang mungkin. Sepantas kilat tubuh Armel sudah berada di dalam dakapannya.

Seperti ada renjatan yang berlaku antara mereka, masing-masing terpaku, memandang antara satu sama lain. Beberapa saat kemudian mereka seakan-akan tersedar sendiri. Dengan pantas pelukan dileraikan. 

“Selipar awak dah putus.” Faezrul bersikap bersahaja seakan-akan tidak ada apa-apa berlaku antara mereka seraya mengangkat selipar Roxy berwarna ungu itu ke arah Armel.

“Habis tu macam mana I nak jalan ni? Tengok ni! Kotor tahu tak?” Armel membentak sambil menunjukkan kedua-dua kakinya yang sudah berlumuran lumpur.

“Tak kotor... Selut ni tanah aje bukannya najis. Awak tu pun asal dari tanah,” sindir Faezrul. Terasa pedih hati dan telinga Armel mendengarnya. Geramnya aku.

“Nah, awak pakailah selipar saya ni.” Faezrul menanggalkan kedua-dua seliparnya. 

Armel terpinga-pinga sambil memandang selipar Faezrul yang sudah ditanggalkan itu. Kemudian pandangannya terkalih pada wajah suaminya itu.

“Pakailah... Lagipun bahaya kalau awak tak pakai selipar. Takut terpijak apa-apa nanti saya jugak yang susah.” Memang dah cukup menyusahkan rasanya menghadap gadis yang cerewet seperti itu. Namun, dia masih bersabar selagi termampu. Apalah sangat bebelan mak nenek itu jika hendak dibandingkan dengan keceluparan mulut Armel selama ini.

Armel terus menyarung selipar milik Faezrul. Besar bukan main. Dah macam perahu kaki lelaki ni. Namun, entah kenapa ada rasa halus yang menyentuh hatinya membuatkan dia rasa serba salah. Apatah lagi melihat kaki Faezrul tanpa sebarang alas itu. Ah lantak kaulah. Kau yang nak bagi sangat selipar kau kan? Bukan aku mintak pun.

Batas yang berselut itu benar-benar menyukarkan pergerakkan Armel. Sesekali kakinya terbenam juga. 

Seketika Faezrul menoleh ke belakang. Dilihat isterinya itu masih terkial-kial menapak di batas kecil itu. Kedua-dua seliparnya masih terpegang di tangan. Sayang sangat selipar tu gamaknya. Atau dia fikir selipar itu boleh dijahit semula barangkali.

Tiba-tiba Faezrul menghulurkan tangannya ke arah Armel membuatkan gadis itu tergamam beberapa ketika. Bagai didorong satu bisikan halus, dia menyambut huluran tangan pemuda itu lantas berjalan seiring sehinggalah sampai ke pondok kecil di tengah sawah.

Bayu yang bertiup kuat terasa begitu nyaman menyapa tubuh mereka di pondok kecil itu. Liuk lentok pokok padi yang menurut arah tiupan angin mencipta melodi alam yang kedengaran gemersik di telinga. 

“Eee... apa tu?” Suara Faezrul memecah lamunan Armel. Jari lelaki itu tertuding ke arah kakinya. Serentak pandangannya terarah pada ‘objek’ hitam yang melekat dicelah ibu jari kakinya. Diamati seketika daripada jarak yang lebih dekat lantas disentuh. Lembik dan licin.

“Benda apa ni?” Dahinya sudah berkerut-kerut mengenalpasti objek di kakinya itu. 

“Awak pernah dengar perkataan linch?” 

“You must be joking right?” Bagai hendak tersembul biji mata Armel mendengar perkataan itu. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat haiwan itu di depan mata. 

“Bergurau apa? Itulah dia bendanya.” Faezrul ketawa. 

Serentak Armel dapat mengenalpasti haiwan berlendir yang melekat di celah jari kakinya itu. Jeritannya mula kedengaran. Kakinya dilibas-libas dan dihentak-hentak sesuka hati. Habis tercampak selipar Faezrul yang tersarung di kaki. Namun lintah itu masih melekat di situ.

“Tolonglah buangkan! Eeeeee!” Tubuh Armel sudah menggeliut kegelian. Rasa nak terkencing pun ada.

“Biarkan ajelah dia kat situ. Bukan boleh mati pun.” Faezrul masih ingin menyakat. 

Tiba-tiba baju Faezrul ditarik. “I said throw it away!” Armel menjerit sekuat hati. Ikutkan hati mahu sahaja dia melalak di situ. Sungguh dia benar-benar geli akan haiwan kecil berlendir berwarna hitam pekat itu.

Seketika wajah Armel diperhati. Jelas rasa takut itu terzahir pada riak wajah isterinya itu. Timbul pula rasa kasihan di hatinya. Lantas kaki Armel dipegang lalu dibawa ke pahanya.

Perlahan-lahan lintah itu ditanggalkan. Armel memejam matanya rapat. Menahan rasa geli yang amat tatkala terasa tekstur kulit haiwan itu di kakinya. 

“Ya ALLAH... banyaknya darah! Hisy, kena bawak pergi hospital ni.” 

Suara Faezrul membuatkan mata Armel terbeliak besar. “Mana?” soalnya dengan suara seperti ingin menangis. Dia membelek-belek kakinya. Memang ada kesan darah di celah ibu jari kaki. 

“Tak ada pun. Darah sikit aje bekas kena gigit. Takut sangat...” tutur Faezrul bersahaja. 

“Mana dia?” soal Armel sambil mencari-cari lintah tadi di atas tanah.

“Dia? Tu... kenapa awak nak bawak balik? Goreng tepung sedap tu.” Faezrul masih mengusik sambil menuding jari ke arah lintah yang sudah tergolek di atas tanah.

“Eeei...” Armel mempamerkan reaksi kegelian melihat lintah yang sudah kekenyangan mengisap darahnya tadi. Tiba-tiba dia bingkas menyarung selipar lantas memijak-mijak lintah itu sekuat hati dengan sumpah seranah yang entah apa-apa keluar dari mulut. 

“Padan muka! Hisap darah aku lagi!” gumam Armel. 

Faezrul ketawa geli hati. “Macam tu sekali ek?”

“I tak derma darah I free free kat binatang ni tahu? You tahu lintah tu kotor dan bila dia gigit kaki I, bakteria-bakteria yang ada kat badan lintah tu berjangkit kat kulit I?”

Tu dia... Sekritikal itukah gadis ini berfikir? Seketika kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Kamera diaktifkan dan kemudian dihalakan ke wajah Armel. Tap! Satu imej Armel terakam di dalam telefonnya. Dia tergelak kemudiannya. Mahal gambar ni!

“Patutnya awak berterima kasih kat lintah tu sebab hisap darah awak yang tak berapa nak bersih tu. Awak tahu tak bila seekor lintah tu hisap darah manusia, dia cuma hisap darah kotor? Cuba tengok lintah tu. Sebab tulah darah lintah yang awak pijak tu warna dia pekat. Oh, itu bukan darah lintah tapi darah awak. Tengok... kotorkan darah awak. Hai... tak tahulah pulak awak ni ada masalah obsessive compulsive disorder.”

“Whatever... I nak balik sekarang!” Tidak ada yang cantik lagi daripada mata Armel di sekitar tempat itu. Hatinya panas. Sakit hati dengan bidasan kata suaminya. Lepas tu boleh pulak dia snap gambar aku yang sedang menunjuk perasaan. 

“Aye aye captain!” sahut Faezrul. Tanpa menanti Armel, dia bangun lantas mengorak langkah mendahului Armel meninggalkan kawasan pondok itu. 

Armel terpinga-pinga. Sikap Faezrul seakan itu benar-benar membiuskan perasaannya. Matanya terpandangkan batas yang terpaksa dititi sekali lagi itu. Ah, bencinya!

Rindu Awak 200% - Bab 18

PLASTIK sampah hitam yang dipegang dicampakkan ke dalam tong sampah di hadapan rumah. Ketika hendak melangkah masuk ke pintu pagar, sebuah kereta Range Rover Evoque putih dilihat berhenti betul-betul di bawah pokok di depan rumah. Armel terpaku seketika.

Beberapa saat kemudian, sesusuk tubuh lampai suaminya keluar dari perut kereta membuatkan Armel terpaku seketika di situ. Memang sejak semalam dia perasan kehadiran kereta itu di situ. Sangkanya ia milik jiran. Mana tahu kereta itu kepunyaan Faezrul. Benaknya mula diserbu persoalan. Masakan lelaki itu mampu memiliki kereta SUV mewah seperti itu. 

Entah-entah pinjam dengan kawan. Lepas tu saja nak buat berlagak dengan aku. Heh! Tak apa, aku nak tengok sampai bila kau boleh berlakon!

Tapi seingatnya kereta itu jugalah yang dibawa oleh Faezrul ketika kali pertama lelaki itu berkunjung ke rumahnya dulu. Ah, orang kalau nak menipu macam-macam cara boleh buat! Hati Armel terus-terusan berprasangka.

“Buat apa kat luar ni?” soal Faezrul sambil tersenyum tatkala menghampiri Armel yang hanya mengenakan legging dan T-shirt besar separas paha. Rambutnya masih basah menandakan dia baru selesai mandi.

Tanpa menjawab pertanyaan Faezrul, Armel terus menapak masuk ke dalam meninggalkan pemuda itu. Sebal rasanya menatap wajah lelaki itu. Apatah lagi tatkala mengenang perkara semalam. Entah kenapa dia jadi malu sendiri. 

Faezrul hanya mengeluh. Namun, cepat-cepat dia mengorak langkah mendapatkan isterinya. Pintu rumah yang terbuka ditutup perlahan. “Armel, sekejap... Saya nak bercakap dengan awak.”

Langkah gadis itu mati semerta. Lantas dia berpaling. 

Dengan perlahan Faezrul menghampiri gadis itu. Anak matanya tertunak tepat ke wajah Armel. Dalam diam dia mengumpul kekuatan. 

“Apa lagi?” Wajah Armel seperti malas melayan.

“Semalam kenapa tak tidur dalam bilik?”

“Tu aje you nak tanya?” Armel menyoal dengan lirikan mata yang menjengkelkan. 

Faezrul terdiam. 

“I nak tidur dekat dalam bilik tu ke, ruang tamu ke, kat garaj ke, tak ada kena mengena dengan you okey?” Membulat mata Armel memandang Faezrul. 

“Awak kena ingat dalam rumah ni bukan kita berdua aje. Sekurang-kurangnya awak fikirkan mama dengan papa awak tu...”

Armel mendengus kasar. Tidak mampu menerima teguran lelaki itu. “I tak nak tidur dekat dalam bilik tu. Faham?”

“Kenapa? Awak takut saya buat apa-apa kat awak ke? Alah, kalau awak tak bagi usik, tak adanya saya nak usik...” soal tutur Faezrul bersahaja. 

Armel terkesima seketika. Wajah Faezrul dipandang dengan seribu satu rasa. Ikutkan hati mahu sahaja dikonyok-konyokkan wajah itu. Hee menyampah betul aku!

Faezrul tertawa kecil. Wajah Armel yang tampak serba tidak kena itu mencuit hatinya. Haaa... tahu takut... “Malam ni saya nak awak tidur dalam bilik tu. Maksud saya, bilik kita. Saya tak nak mama dengan papa fikir yang bukan-bukan. Nanti awak jugak yang susah, kan?”

Bilik kita? Heh, tolonglah. Bilik itu bilik aku. Hak milik persendirian. Tiada istilah ‘bilik kita’ untuk kamar itu. Tak malu punya lelaki! “Hei, you ingat you siapa suka-suka mengatur hidup I?” marah Armel dengan rasa yang mendongkol. 

“Saya siapa? Awak... ada skizo ke?” Faezrul menyoal serius menjongketkan kening. Berhadapan dengan Armel harus bijak bermain dengan psikolog.

Sungguh jawapan yang berupa soalan itu benar-benar menyakitkan hati Armel. Fikirnya Faezrul mudah diayam-ayamkan. Namun, ternyata firasatnya salah. Lelaki itu juga tahu menggunakan bahasa sinis. Malah ekspresi wajahnya yang tenang itu benar-benar buat Armel rasa tercabar. Tanpa menanti lagi, dia mengangkat kaki beredar meninggalkan suaminya. Sakit hatinya menghadap wajah yang dihiasi senyuman seribu makna itu.

Entah kenapa, dia benar-benar terasa kalah dengan ketenangan lelaki itu. Dahulu, dengan Raizil tidak pernah pula lelaki itu membantah kata-katanya. Segala kemahuannya dituruti oleh pemuda itu. Namun di penghujung cerita mereka, Raizillah yang mengkhianati hubungan yang sudah lama terjalin itu. Ah, Raizil lagi!

JAM menunjukkan pukul 11.30 malam. Sejak dari tadi Faezrul menanti kemunculan isterinya. Selepas makan malam tadi, gadis itu menghilang ke tingkat atas. Dia tahu Armel sedang berada di ‘bilik hijau’nya. Namun, sengaja dia membiarkan waktu berlalu. Terus menunggu kehadiran Armel di kamar. Kelihatannya gadis itu langsung tidak mengendahkan kata-katanya siang tadi. 

Samsung Galaxy Tab di tangannya diletakkan di atas meja. Lantas dia menapak keluar menuju ke bilik tempat Armel berada. Tombol pintu dipulas. Berkunci. 

Faezrul melingas ke sekeliling. Dia yakin waktu seperti ini, Raziqah dan Zahirin sudah lena dibuai mimpi di dalam bilik mereka yang terletak agak jauh dari bilik itu.

Perlahan-lahan pintu bilik diketuk. “Armel...” panggilnya cuba mengawal suara agar tidak didengari oleh kedua-dua mertuanya.

Kesekian kali pintu bilik diketuk. Nama Armel diseru lagi. Kali ini sedikit kuat. Tiba-tiba pintu bilik dibuka kasar. Terpacul wajah Armel di muka pintu. Muka macam nak telan orang.

“You nak apa ni hah?!” marah Armel dengan suara yang cuba dikawal. Ikutkan hati tidak ingin dia membuka pintu, namun mendengar suara Faezrul dan ketukan pintu berkali-kali membuatkan dia berubah fikiran. Bimbang kalau-kalau Raziqah dan Zahirin terjaga dari lena. ‘Geramnya dengan lelaki ni! Nak aje aku pulas leher dia sampai patah!’ 

“Boleh saya masuk dalam?” pinta Faezrul langsung tidak gentar menghadapi wajah Armel ibarat singa betina itu. 

“No way!” Armel menolak daun pintu rapat ke tubuhnya. Tidak mahu memberi sedikit ruang pun untuk Faezrul lolos ke dalam kamar itu. 

“Okey, tak apa. Kalau awak tak nak bagi saya masuk, saya tunggu depan bilik ni sampai pagi esok.” Faezrul sekadar ingin menduga sambil menjongketkan keningnya.

Armel membulatkan mata. Nampaknya lelaki itu benar-benar mahu menguji kesabarannya. Heh... bersabar ke aku selama ni? Kalaulah boleh ditumbuk muka itu sekuat hati...

“Up to you!” Pintu bilik ditutup semula. Malas ingin melayan lelaki itu lagi. Peduli apa dia nak tunggu depan bilik tu sampai pagi esok ke, sampai minggu depan ke. 

Armel menghempaskan tubuhnya ke katil. Novel Inggseris tulisan Jodi Picoult yang dibaca tadi dicapai semula. Dia meneruskan bacaan. Namun, setiap detik hatinya tidak tenang. Apakah Faezrul serius dengan kata-katanya sebentar tadi? Seketika dia mengerling ke arah pintu.

15 minit kemudian dia bingkas bangun semula. Perlahan-lahan dia menghampiri pintu. Dilihat kaki Faezrul masih berdiri di hadapan pintu. Mamat ni memang gila.

Dia merengus kasar. Nampaknya Faezrul benar-benar mengotakan katanya. ‘Tak boleh jadi ni! Geramnya aku!’ Dia mengetap gigi sambil mengenggam kedua-dua tangannya kejap. Ikutkan hati mahu sahaja dilibas-libas lelaki kampung tak sedar diri itu.

Tanpa bertangguh lagi, tombol pintu dipulas. Wajah Faezrul yang sedang tersenyum lebar itu benar-benar mendatangkan rasa jengkel di jiwanya. 

“You dah gila erk? You memang nak mama dengan papa I nampak you duduk depan bilik ni, kan? You memang sengajakan?”

“Kalau saya sengaja, tak payah saya nak tercanguk kat depan ni. Baik saya ketuk pintu bilik dia orang, cakap kat dia orang yang anak dia tak nak tidur dengan suami dia,” balas Faezrul selamba.

Bergerak-gerak rahang Armel menahan emosi. Wajahnya sudah merah padam. Perasaan dan hatinya seperti ditembak 44 das. “Boleh saya masuk?” soalnya dengan senyuman lebar. Seronok pula rasanya melihat amarah Armel yang tidak mampu dilepaskan itu.

Armel mendengus. Hatinya berkepal dengan seribu satu rasa yang menyakitkan. Dia mencapai novel di atas katil lantas menarik kerusi duduk menghadap meja kecil berwarna hijau yang dihiasi hiasan comel berupa karekter katak hijau bermata besar. 

Ya, baru kini Faezrul perasan bilik itu dipenuhi dengan pelbagai jenis hiasan berupa karakter katak berwarna hijau. Boleh dikatakan di setiap sudut, hiasan dari karakter yang sama berada di dalam biliknya. Dari saiz kecil hinggalah bersaiz besar. 

Malah di atas katilnya itu juga penuh dengan bantal dan patung katak. Ya ALLAH, gila katak ke apa perempuan ni? 

“Ini bilik kerja awak ke?” soal Faezrul lantas duduk menghadap isterinya yang sedang tekun membaca novel di tangannya. Segaris senyuman tersungging pada bibir sambil matanya terus melilau melihat setiap objek di dalam bilik sederhana besar itu.

“Tak adalah. Ni bilik mayat,” balas Armel pantas. Boleh kau tanya aku ni bilik kerja? Aku masih jobless okey. Tak tahu-tahu lagi?

“Oh... maksud awak kalau awak dah mati nanti awak nak orang mandikan mayat awak dekat dalam bilik ni lah ya? Hmm... nice!”

Bagai dihempuk dengan objek keras mendengar soalan yang keluar dari mulut Faezrul itu. Lantas dia berpaling. “Why are you so anoyying?” Bergerak-gerak rahang Armel menahan amarah. Hee.. kecik besar kecik besar aje aku tengok dia ni.

Faezrul tertawa kecil membuatkan Armel kian terbius. Apakah marahnya itu dianggap satu gurauan oleh lelaki ini? “Okey, okey. Saya mintak maaf. Saya bergurau aje.” Dia tertawa kecil. Bagi Faezrul, dia harus menghadapi apa jua perlakuan Armel sekalipun penerimaan gadis itu begitu dingin. Jodoh itu sudah menjadi tetapan dalam hidupnya. Apa salahnya dia cuba belajar untuk sayang pada Armel? Semudah itukah?

Satu jelingan maut dilemparkan ke arah Faezrul. Kemudian dia menghadap novel di tangannya. Lagi lama dia menatap wajah itu, lagi rasa mudarat hati dan perasaannya. Atau lebih ekstrem lagi jika tidak boleh dikawal, wajah lelaki itu akan dicakar-cakar kerana geram.

Faezrul bingkas bangun menghampiri Armel. Dia berdiri di sisi gadis itu sambil menancap pandangan pada buku yang sedang dibaca oleh isterinya. 

“Awak baca buku apa ni?” soal Faezrul berpeluk tubuh dan kemudian bersandar di dinding menghadap Armel.

“You boleh senyap tak? I duduk dalam bilik ni sebab nak cari ketenangan, kedamaian, bukan nak dengar you bercakap, tanya macam-macam. Kalau you rasa you tak ada peranan apa-apa kat sini, lebih baik you keluar! You keluar, you masuk bilik you lepas tu you tidur!” Keras suara Armel melampiaskan rasa geramnya. Dia sudah tidak mampu mengawal perasaan amarahnya.

Kata-kata itu ditangkis dengan senyuman. Lucu amat gadis ini apabila menghambur kemarahan. Mimik wajahnya cukup dramatik. Seolah-olah sedang menonton satu watak di kaca televisyen sahaja. “Saya cuma akan keluar kalau awak keluar sekali dari bilik ni.”

Armel membulatkan matanya. Mana tahu lelaki itu akan bersikap tegar seakan itu. “Kalau you tak bawak mulut pasal kita kat mama dengan papa, dia orang takkan tahu kita tidur asing-asing. Hei, can’t you see? I’m reading here. So, I boleh guna alasan ni untuk habiskan masa malam I dekat bilik ni. Easy...” Dia menjongketkan keningnya.

“Apa beza baca buku dekat bilik ni dengan dekat bilik sana?” Faezrul masih tidak jemu meladeni kerenah gadis itu.

“Orang macam you kalau I explain pun you takkan faham,” tempelak Armel sinis seakan-akan merendah-rendahkan kredibiliti Faezrul. Namun, lelaki itu masih jua tampak tenang.

“Hmm... kalau macam tu tak apalah. Ambiklah berapa banyak masa pun awak nak baca novel tu. Saya tidur dulu. Dah mengantuk. Hari pun dah lewat ni.”

“Haa baguslah. Silakan keluar dengan segala hormatnya. Jangan lupa tutup semula pintu nanti ya?” pesan Armel sambil matanya tertancap pada novel di tangannya. Lega rasanya lelaki itu mahu beredar. Huh... aman dunia aku!

Faezrul bingkas dari meja. Namun bukan menghala ke pintu sebaliknya terus merebahkan tubuhnya ke atas katil.

Terbuntang mata Armel melihat tingkah pemuda itu. Sangkanya Faezrul akan keluar dari kamar itu, namun jangkaannya meleset. Lelaki ini memang sudah melampau!

“Selamat malam. Jangan tidur lewat-lewat sangat ya? Tak elok untuk mata,” ucap Faezrul selamba lantas menutup mata sambil memeluk patung katak hijau besar di sebelahnya. 

Armel ternganga. Dia kehilangan kata. Hatinya bagai dicekik-cekik kala ini. Lelaki itu benar-benar mencabar kesabarannya!


BAGAI hendak terkehel leher Armel diandam selama dua jam lamanya. Pinggangnya juga seperti sudah mahu patah kerana terlalu lama duduk. Ikutkan rasa hati yang panas, mahu sahaja ditumbuk muka mak andam di depan mukanya itu. 

Ikutkan hatinya lagi, dia tidak ingin ditempek dengan pelbagai jenis alatan mekap di kulit mukanya kerana baginya setiap kali melihat wajahnya di cermin, wajahnya tidak ubah seperti seorang pondan. Walhal mekap yang dikenakan sudah terlalu nipis dan natural atas permintaannya pada mak andam bersanggul tinggi itu.

Majlis bertandang itu diadakan dengan sederhana dan serba ringkas. Itupun atas permintaan Faezrul sendiri. Sesungguhnya adat yang sebetul-betulnya tidak pernah menggalakkan perkara-perkara yang berlebih-lebihan. Cukuplah melaksanakan apa yang perlu menurut syarak. 

Wajah kelat Armel yang muncul dari muka pintu masjid menarik perhatian sanak-saudara yang hadir. Sungguh dia tidak mampu lagi memaniskan wajah dalam keadaan lenguh dan sengal satu badan seperti itu. Ditambah lagi dengan persalinan berfabrik panas yang tersarung ke tubuhnya.

“Tu wife kau?” soal Azad yang sedari tadi masih belum berpeluang melihat wajah isteri sahabatnya itu. Tidak berkalih pandangannya memandang sesusuk tubuh lampai mengenakan persalinan berwarna ungu yang sedang melangkah turun ke perkarangan masjid itu. 

Faezrul hanya tersenyum kecil. Fokusnya kembali semula pada wajah Armel yang sudah mula tersenyum melayan sanak-saudaranya yang lain. Dia menarik nafas lega. Satu sikap Armel yang dia puji, gadis itu tidak pernah berlaku sombong dengan keluarganya. Namun, apabila ditanya dia hanya menjawab apa yang perlu. Mesranya hanya suam-suam kuku.

“Peh! Kalau macam ni punya bini, aku kena maki hari-hari pun tak apa, bro.” 

“Banyaklah kau punya maki. Eh, kau jadi pengapit aku tau? Jom cepat. Dia orang dah panggil tu,” ajak Faezrul lantas mengorak langkah mendapatkan Armel dan ahli keluarganya yang lain.

Paluan kompang yang kedengaran begitu membingitkan telinga. Sungguh telinga Armel bagai hendak pekak mendengar bunyi alat muzik tradisional itu dimain dengan kadar berulang-ulang. Apa-apa entah orang-orang kampung ni. Hatinya membebel-bebel sendiri sejak dari tadi. Namun seboleh mungkin dia cuba tersenyum kepada semua. Biarlah plastik pun, janji rupa senyum!

Mempelai di arak ke kediaman pengantin lelaki terus ke meja makan beradab. Alangkah terkejutnya Armel melihat keadaan rumah kayu di pinggiran sawah itu. Tubuhnya terasa berpeluh-peluh tatkala mengenangkan dia akan menghabiskan masanya selama seminggu di situ. 

Cuaca yang panas benar-benar merimaskan Armel. Sudahlah fabrik kain berenda-renda yang dikenakan itu terasa gatal satu badan. Ada lagi tudung di kepala yang membuatkan seluruh badannya seakan-akan dipanggang di situ.

Faezrullah yang memintanya mengenakan tudung untuk majlis menyambut menantu itu. Katanya tidak manis jika dilihat oleh orang kampung jika tidak bertudung nanti. 

KEKOK! Itulah yang dirasakan Armel ketika berada di dalam rumah itu. Suasana, sekitar dan keadaannya benar-benar tidak menyenangkan hatinya. Ditambah lagi dengan suara bising anak-anak buah Faezrul di setiap ruang di dalam rumah. ‘Dia orang ni tak reti duduk diam ke? Dari tadi asyik memekak aje.’

Tanpa mempedulikan mereka, Armel melangkah keluar ke anjung rumah. Barulah tenang sedikit hatinya. Seketika dia melayan perasaan merenung kegelapan di sekitar rumah kayu itu. Tidak ada apa yang mampu menarik perhatiannya di situ. 

“Armel Aisya...” 

Suara dari arah belakang itu melenyapkan segala mainan perasaan Armel. Lantas dia berpaling. Faezrul sudah berdiri di sebelahnya. Lelaki itu tersenyum. Namun, seketika kemudian dia melontar semula pandangan ke arah depan, tidak menghiraukan kehadiran suaminya di situ. 

“Jom makan?” ajak Faezrul lembut. Wajah Armel yang mendung ditatap. Sejak dari tadi, secalit senyuman pun tidak terukir pada bibir gadis itu. Ingin bertanya, bimbang juga isterinya itu mengamuk. 

“I dah kenyang...” balas Armel mendatar. 

Faezrul mengeluh. Kemudian dia berpaling menghadap suasana gelita di kawasan rumahnya. Sesaat dua dia cuba menyelami hati gadis di sebelahnya. Ada waktu dia dapat merasa ada sesuatu yang disembunyikan Armel. 

Jika tidak masakan tiba-tiba gadis itu mahu berkahwin dengannya dan kemudian meminta cerai pada malam kedua mereka. Dia hairan mengapa sekejap sahaja pendirian gadis itu berubah-ubah.

“Cuba awak tengok kat sana tu,” kata Faezrul sambil menuding jari ke arah kawasan bendang yang gelap gelita.

Terus mata Armel terarah ke situ. 

“Awak ada nampak apa-apa?”

Armel berpaling memandang wajah Faezrul. Seketika kemudian matanya melilau semula mencari ‘sesuatu’ yang dimaksudkan Faezrul itu. Namun, tidak ada apa-apa yang ditangkap oleh penglihatan dek kegelapan yang pekat. 

“Mana ada apa-apa!” Kening Armel sudah bertaut. Tiba-tiba bulu romanya meremang tegak. Ke dia nampak hantu?

“Awak tahu depan rumah ni ada apa?” Faezrul menyoal memandang wajah Armel yang tampak bingung.

“Sawahlah.” 

“Macam mana awak tau kat situ ada sawah?” 

“You ingat I ni dah hilang ingatan ke apa? Dah memanglah depan rumah you ni ada sawah!” tutur Armel dengan tona suara yang sedikit meninggi. 

Faezrul hanya memperlihatkan senyuman pada wajah. “Katakanlah satu hari nanti, kawasan sawah kat depan ni orang tambak untuk buat bangunan, buat kondominium, banglo ke, awak boleh ingat lagi tak kawasan tu dulu kawasan sawah padi?”

“Ada ke orang nak buat kondominium dekat kampung macam ni?”

“Saya cakap, kalau. Awak faham soalan ke tak ni?” tanya Faezrul bersahaja.

“You ni dah kenapa tanya soalan bodoh macam ni? Of courselah ingat. Melainkan kalau I dah nyanyuk!” 

Faezrul tertawa kecil. ‘Mudahnya menjentik emosi gadis ini.’ Hatinya berdesis. Seketika kemudian dia menghadap semula pandangan ke depan. Ruang antara mereka sepi seketika.

“Macam mana awak tak nafikan kat sana ada sawah padi walaupun awak tak nampak sawah tu sekarang, macam tu jugak awak tak boleh nafikan realiti awak sekarang, Armel. Sebab sawah tu dah masuk dalam memori jangka panjang awak dan awak akan ingat sampai bila-bila. Kalau pun tapak sawah padi tu dah tak ada satu hari nanti, asal kawasan tu awak takkan boleh lupa. Yang awak nampak cuma perubahan tapi yang ada kat hati awak, cuma kenangan yang tak boleh diusik oleh sesiapa pun. Sama ada awak suka atau tak, yang dah berubah takkan berpatah semula pada masa lampau.”

Armel tersentak. Apa lelaki itu tahu akan sejarah silamnya? “Apa maksud you ni? I tak faham.” Suara Armel sudah tergagap-gagap.

“Abang Zill...” panggil Nazneen. 

Armel tersentak. Nama gelaran itu sangat meninggalkan kesan di hatinya. Rasanya amat menyakitkan. Kenapa mesti nama gelaran kedua-dua lelaki itu serupa?

“Kenapa tak masuk lagi? Dia orang semua tengah tunggu Kak Mel dengan Abang Zill,” ucap Nazneen lembut. Walaupun Armel muda setahun darinya, terpaksa jugalah dia menggunakan gelaran ‘kak’. 

“Okey Neen... Sekejap lagi abang masuk,”

Nazneen beredar kemudiannya. 

“Jom, sayang?” Satu senyuman nakal tergaris pada bibir Faezrul.

Armel buat muka meluat. Berbulu telinga aku! Namun, langkah pemuda itu sudah mendahuluinya. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia mengikut.