Curi-Curi Suka #1

Dingin suhu penyaman udara mula terasa biarpun sudah mengenakan ­sweater. Kalkulator di depan mata dicapai. Seketika dia membelek nota subjek High Voltage mencari bab yang perlu diulangkaji.
Fokusnya ditumpukan sepenuhnya pada kertas-kertas yang dikepil kemas itu. Sesekali tangannya lincah menari-nari di kalkulator mengira angka-angka. Seketika kemudian dia mencatat sesuatu di kertas.
Sejam berlalu, Wisya berhenti. Fokusnya terganggu dengan bunyi bising yang kedengaran dari arah rak buku di hadapannya. Serentak pandangannya tertumpu pada wajah-wajah yang tidak dikenali yang sedang meriah bergelak ketawa.
Satu jelingan tajam dilemparkan ke arah mereka. Sungguh kehadiran kelompok itu tidak begitu disenangi. Kot ya pun nak buat bising carilah meja yang jauh sikit. Tak nampak ke aku tercongok kat sini tengah menelaah buku? Gumam Wisya dalam hati.
Tiba-tiba mereka mengambil tempat betul-betul di hadapan mejanya. Kian memekaklah bunyi suara mereka bercakap. Hui, sabar ajelah aku!
Malas mempedulikan mereka, Wisya mengalih tumpuan pada pembelajarannya yang tergendala. Lama kelamaan, suara mereka beransur perlahan. Konsentrasi Wisya kian di paras tertinggi. Alam sekelilingnya seakan beku.
Tidak sedar jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6 petang. Lantas segala jenis buku dan nota dikemas. Cukuplah setakat yang mampu untuk hari ini. Sempat dia menjeling pelajar-pelajar lelaki yang di hadapannya. Mereka tampak tekun mengulangkaji.
Tiba-tiba pandangannya bagai terpaku pada seraut wajah di hadapannya. Tidak berkelip anak matanya memandang wajah itu.
Apa memang wujud lelaki berbangsa Inggeris di fakulti kejuruteraan UiTM ini? Mengapa dari tadi dia langsung tidak perasan pada wajah itu? Malah selama hampir tiga tahun berada di situ, tidak pernah pula dia melihat wajah lelaki itu di sekitar fakulti.
Tiba-tiba lelaki itu mengangkat muka. Serentak pandangan mereka bertembung. Wisya terpana kala menyaksikan sepasang mata berwarna hijau pemuda itu. Bagai tertelan butir durian rasanya tatkala lelaki Mat Salleh itu melemparkan senyuman ke arahnya.
Cepat-cepat Wisya melarikan pandangan. Terkocoh-kocoh dia mengemas alatannya lantas terus beredar.
Tiba di tangga entah macam mana dia tidak perasan seorang lelaki yang sedang naik ke situ. Serentak tubuhnya merempuh lelaki itu. Kakinya yang baru mencecah satu anak tangga itu serta-merta hilang imbangan.
Tubuh Wisya bagai dilambung. Tidak mampu lagi digapai besi penghadang di sebelahnya, lantas dia tergolek sehingga ke bawah. Segala alatan yang dipegang di tangan tercampak entah ke mana.
“Aduhhh!” Wisya menyeringai sakit. Tubuhnya sudah tertiarap di situ. Seluruh badannya terasa sakit. Sakit yang seakan-akan ingin melumpuhkan segenap otot-otot yang ada. Spontan semua mata terarah ke arahnya. Lihatlah dunia, aku jatuh tergolek!
Kalaulah diberi kuasa mengecilkan diri seperti di dalam drama bersiri Honey I Shrunk the Kids, alangkah baiknya jika boleh diaplikasi pada ketika ini...
“Are you okay?” Dalam kepayahan untuk bangkit semula, tiba-tiba telinganya menangkap suara seorang lelaki. Serentak dia mengangkat muka.
Wisya terkedu. Wajah lelaki Inggeris yang tersenyum ke arahnya tadi kini berada di depan mata. Sekilas dia menangkap sebatang tubuh tinggi lampai yang sedang berdiri di belakang lelaki Inggeris itu.
Pemuda itulah yang dilanggarnya sebentar tadi. Aduh, mana aku nak letak muka aku ni? Malunya! Pasti ramai yang mentertawakannya tadi. Kalau kejadian itu berlaku di PTAR1 tidak mengapalah juga kerana dia jarang-jarang ke sana.
Ini tidak, ia berlaku di perpustakaan fakulti kejuruteraan yang mana saban waktu dia mengunjungi tempat itu setiap hari dan barangkali ada juga yang mengenali dirinya di situ.
Ya ALLAH, bagaimana aku nak meneruskan kehidupan di hari mendatang? Dahlah jatuh macam nangka busuk. Tertiarap pulak tu!
“Hei, are you okay?” ulang lelaki Inggeris itu kesekian kali tatkala melihat Wisya mematung di situ.
Wisya termangu-mangu. Entah kenapa bebola matanya lebih tertumpu pada seorang lelaki di belakang lelaki Inggeris itu. Pandangannya semacam sahaja menikam wajahnya.
“Lain kali jalan guna mata, bukan guna lutut!” tempelak lelaki itu tidak semena-mena.
Wisya terkedu. Kereknya mamat ni! Tahulah dia yang cuai namun kecuaiannya terkena pada diri sendiri. Dia yang jatuh tegolek, bukan lelaki itu. Apahal nak angin tak memasal?
“Sorry, saya tak sengaja,” ucap Wisya perlahan mengakui silapnya walau hatinya agak sebal melihat wajah dompok lelaki yang dilanggarnya itu. Ini semua gara-gara senyuman si mat salleh itu tadi.
Pelik, selama ni berapa ramai lelaki yang senyum ke arahnya tidaklah dihairankan sangat. Sekali mat salleh tu senyum, tak pasal-pasal menggelabah. Heh!
“Agak-agak boleh berjalan tak ni?” soal lelaki berwajah Inggeris itu sambil menghulurkan buku, nota dan kalkulator milik Wisya.
Wisya terkejut. Serentak pandangannya beralih ke dinding wajah lelaki Inggeris itu. Boleh cakap Melayu ke?
“Aaa.. boleh... saya tak apa-apa. Sikit aje ni,” balas Wisya sambil mengutip buku, kalkulator dan kertas notanya di tangga. Tingkahnya sedikit kalut. Tanpa sebarang kata lagi dia terus melangkah menuruni tangga. Dia ingin beredar cepat. Tidak sanggup lagi menjadi bahan tontonan ramai di situ.

9 comments:

Eimma said...

cayelah wisya.. mat salleh boleh senyum kat dia.. hihih

[rania firdaus] said...

m i da 1st to comment here?

[rania firdaus] said...

cehhh... bkn yg 1st... sedey2...

LZ's Novel said...

Eima: Mat salleh berhati melayu ni eima.. :D

Kak Rania: Hehehe.. 2nd pon blh apa.. :D

Nur Azila said...

rasanya hero mesi lelaki inggeris kan,,, lakimingeris u mesti kacukan.. ahhaah.. main2 agak2 je..heh:D

Unknown said...

besnye yg kerek2 tu hero...adus..susahnye nk milih..haha mcm kte pulak heroin..

LZ's Novel said...

Nur Azila: Hehhe.. Sepraise!

Alfa: Haha.. Btul2 mjiwai ni.. :D

ameyra amin said...

mule2 bce pon dah best .laki kerek tu mesti hero kan ?tak sabar nak bace next bab nie .

Hafimi Huzin said...

best..done with chapter one